Tuesday, March 13, 2012

Orang politik berkelahi, nasib OKU ibarat tahi

 
Merdeka Review - Kerenah politik tanahair tidak pernah kering di Malaysia. Saban hari kita dihidangkan dengan pelbagai isu di dada akhbar, televisyen mahu pun media portal online. Entah mengapa, sudah menjadi budaya agaknya segala masalah di Malaysia selalunya diselesaikan (baca: dicipta) oleh orang politik. Telagah dan polemik tidak sihat seakan sebati dan adakalanya keanak-anakan. Skandal seks, tuduh menuduh, fitnah dan adu domba sering menduduki carta teratas jika dibandingkan dengan perjuangan membela nasib rakyat terbanyak apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang cukup mencekik golongan marhaen.

Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) adalah di antara mangsa perang tidak berfaedah ini. Nasib mereka kian terumbang ambing. Yang selalu digula-gulakan di media oleh pemerintah tidak kira kerajaan Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat ialah membela kebajikan rakyat. Malah kerajaan baru-baru ini menyalurkan wang tunai ke sekolah dan pusat pengajian untuk dinikmati oleh segolongan rakyat sahaja. Bagaimana nasib anak-anak kurang upaya yang terlantar dan tidak layak masuk sekolah?

Berhujah bahawa bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sudah ada sangatlah dangkal malah istilah "bantuan" itu sendiri adalah sangat hina. OKU adalah rakyat Malaysia yang berhak menikmati hasil mahsul negara ini SAMA dengan yang lain. Menyalurkan bantuan ke badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menaungi sebahagian jenis kecacatan juga tidak mencapai ke seluruh sasaran. Itu belum lagi masuk sistem pendidikan yang ternyata masih jauh ketinggalan walaupun kononnya Malaysia sebuah negara yang maju.

Di Barat, sekolah khas untuk OKU adalah percuma. Ibu bapa yang punya anak OKU boleh bekerja seperti orang lain kerana urusan persekolahan dari menjemput hinggalah menghantar pulang diuruskan dengan cukup teratur. Penulis berpeluang membawa anak menjalani rawatan di Erkang Hospital, Beijing (gambar kiri) dan di sana pesakit diberi tempat tinggal untuk memudahkan proses rawatan dan latihan. Ini membuatkan penulis membayangkan jika di Malaysia terdapatnya pusat serenti untuk program pemulihan bagi penagih dadah mengapa tidak ada pusat pemulihan untuk OKU? Pusat Serenti wujud hampir di setiap daerah dan belanjanya pastilah besar dan jika penagih dadah dianggap pesakit bagaimana dengan OKU?

Amat panjang jika mahu dihuraikan dan beribu OKU di Malaysia menantikan sesuatu yang istimewa oleh pemerintah. Bukannya pertolongan yang "bermotifkan politik". Contohnya baru-baru ini ada OKU diberhentikan bantuannya kerana dikatakan penyokong pembangkang. Sebuah parti politik telah menggerakkan usaha membantu OKU ini. Langkah ini sangat dipuji akan tetapi mengapa kita harus membantu apabila ia berkaitan dengan hal-hal politik sahaja? Masih ramai yang dinafikan hak mendapatkan kemudahan. Bukan apabila ada kena-mengena dengan politik sahaja. Seperti sebuah parti politik yang bergegas membantu keluarga seorang imam yang dihukum penjara setahun kerana membaling selipar di dalam mahkamah. Dengan tidak memperkecilkan usaha-usaha pihak yang disebutkan tadi, adalah sangat baik jika orang politik memulakan tugas di kawasan mereka, mendekati rakyat yang memerlukan sebelum terbitnya perkara-perkara sebegini.

Mungkin contoh-contoh yang akan diberikan selepas ini juga terkeluar dari topik artikel ini tetapi penulis bermaksud untuk mengukuhkan hujah tentang pertelagahan kebudak-budakan amat merugikan rakyat apatah lagi OKU. Jika mahu membangkitkan sesuatu isu haruslah ikhlas dalam memperjuangkan rakyat bukan mempolitikkannya. Memperjuangkan isu lambakan produk tidak bermutu di pasaran adalah baik tetapi haruslah menyeluruh ke setiap pasaraya bukan hanya menyerang kedai 1Malaysia sahaja yang memang terbukti menjual produk rendah mutu. Bangkitkan juga penjualan makanan tidak berkhasiat yang dijual penjaja di luar pagar sekolah untuk memancing anak -anak kita.

Penulis percaya masih ada harapan untuk Malaysia. Kepada semua ahli politik walau apa pun idealismenya haruslah mengangkat rakyat sebagai agenda prioritinya. Bukan benda-benda bodoh. Bukan berkelahi sehingga rakyat seperti OKU terbiar kering seperti tahi. Rakyat Malaysia rata-ratanya baik dan jika pemerintahnya baik nescaya fajar sejahtera akan menyingsing dan rakyat pelbagai lapisan terutama OKU dilimpahi cahaya kedamaian.
 
*Ronasina (gambar kanan) dengan nama asalnya, Mohd Affandi Ramli, adalah penulis dan kartunis, juga pengasas Kempen Hope2walk.

KLIK UNTUK TABUNG BLOG INI

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template