Friday, March 2, 2012

Dari Bkt Merah ke Kuantan: Berapa nilai harga kesihatan penduduk?

Merdeka Review - Pada 26 Februari 2012, tatkala perhimpunan "Hentikan Lynas" diadakan hampir serentak di seluruh negara, malah seluruh dunia - ketika orang ramai menuju ke Kuantan untuk menyertai Himpunan Hijau 2.0, anda dan sekumpulan kawan telah tiba di Bukit Merah di Ipoh.  Satu perhimpunan juga diadakan di sini, berdekatan dengan tapak asal kilang pemprosesan Asian Rare Earth.

Ini kali pertama anda menjenguk ke Bukit Merah.  Ancaman yang diakibatkan kilang ini sejak tahun 80-an pada kurun yang lalu, masih belum terhenti.  Anda yang dilahirkan selepas tahun 1980, langsung tidak tahu dengan kisah silam ini - seolah-olah tragedi ini tidak pernah berlaku - jika isu nadir bumi ini tidak hangat diperbincangkan sejak tahun kebelakangan ini.

Cuacanya panas.  Anda bersama kawan turun dari kereta.  Di tapak asal kilang pemprosesan Asian Rare Earth, tidak kurang orang yang telah mengangkat poster dan kain rentang, dengan mesej anti-Lynas, yang ditulis dalam bahasa yang berbeza.  Ada yang mengambil gambar, ada pula yang melaungkan slogan.  Anda langsung tidak tahu bahawa "kilang beracun" yang singgah di bibir penduduk, rupa-rupanya begitu dekat dengan kawasan perumahan - seandainya anda tidak turun ke padang sendiri, dan ia sememangnya menggeramkan!

Protes penduduk ketika itu...

Tatkala anda merenung, bagaimana peristiwa silam ini bermula pada ketika itu, kelompok manusia telah berjalan menuju ke sebuah kereta, yang dijadikan "pentas sementara".  Beberapa orang wakil berdiri di atas kereta, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Anti-Radioaktif Perak (PARC) Hew Yoon Tat.  Anda mengikut kelompok manusia itu, mendapati ada di kalangannya berusia 60-an dan 70-an.  Ada kawan yang menyifatkan ini pertemuan orang tua.  Dalam hati kamu semua sedar, bahawa mereka ini adalah anggota yang menyertai gerakan Anti-Radioaktif dahulu.

Pada tahun 1982, kilang pemprosesan nadir bumi Asian Rare Earth mula beroperasi di Bukit Merah, Ipoh.  Penduduk tempatan kemudiannya mendapati kilang ini bakal menghasilkan sisa radioaktif, dan kawasan itu akan menjadi antara tapak pembuangan sisa radioaktif yang terbesar di Asia, lantas mengancam kesihatan penduduk dan generasi yang akan datang.  Pada tahun 1984, penduduk Bukit Merah, Papan, Menglembu dan lain-lain berhimpun untuk membantah operasi kilang pemprosesan nadir bumi Asian Rare Earth.

Selepas beberapa orang wakil memberi ucapan mereka, anda mengikut kelompok orang untuk berarak ke jalan raya di tapak asal kilang Asian Rare Earth, menyatakan tuntutan anda kepada kereta yang meluncur di jalan raya dengan poster dalam tangan.  Pada ketika ini seorang polis wanita Cina turun dari keretanya, membuat rakaman dengan kamera untuk disimpan sebagai rekod.  Kereta yang lalu di situ tidak henti membunyikan hon, dan menyemarakkan lagi semangat orang di situ.

Orang di situ mengambil gambar, bersorak - dan pandangan anda tidak pernah meninggalkan orang tua di situ.  Seorang makcik tua berada di sisi anda, dengan tangannya di belakang.  Secara diam beliau merenung kemeriahan di depannya.  Anda cuba bersembang dengannya, untuk mengetahui bagaimana penduduk tempat berjuang ketika itu.

"Waktu itu, kilang ni dibina dengan begitu saja.  Kami pun tak tahu apa kilang itu, malah berkata ada kilang maka ada peluang pekerjaanlah.  Gembiranya.  Manalah kita tahu rupa-rupanya ia sebuah kilang 'racun'," secara perlahan-lahan makcik tua itu memberitahu anda.

Anda tidak terkejut, hanya mengeluh.  Padahal "tipu dan bohong" itu sesuatu yang lumrah di negara anda.  Anda terkenang filemErin Brockovich yang diubahsuai dari kisah benar dalam realiti.  Dalam filem itu, watak utama Erin Brockovich secara tidak sengaja mendapati pekan Hinkley di Amerika Syarikat mengalami pencemaran yang menggugat kesihatan penduduk.  Namun, punca pencemaran, iaitu syarikat PG&E pula menyelindung apa yang berlaku sebenarnya.

Maka kesihatan seumur hidup penduduk Hinkley telah digadaikan.  Sama seperti di Bukit Merah, selepas kilang pemprosesan nadir bumi mula beroperasi, bau yang busuk sering terhidu di sekitar kilang.  "Sangat busuk!  Anak-anak semua jatuh sakit.  Ada yang kena anemia, ada yang kena leukemia.  Waktu itu rumah saya dijadikan klinik sementara, kami mengupah doktor dari Pulau Pinang, untuk datang merawat kanak-kanak di kampung kami."

Selain usaha menyelamatkan diri, penduduk tempatan ketika itu melancarkan gerakan memprotes.  Lebih sukar, kan?  Gerakan ketika itu, fikir anda.  Malah hari ini, anda masih bimbang, sama ada Himpunan Hijau 2.0 di Kuantan bakal mengulangi apa yang berlaku ketika perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011- dibedil gas pemedih mata, disembur meriam air berkimia dan dibelasah FRU.  Apatah lagi pada zaman 1980-an, di mana ISA masih bermaharajarela.

"Betul, di sinilah kami protes.  Berapa kali dibedil gas pemedih mata.  Malah kami berjalan dari sini ke mahkamah di Ipoh, berdua-dua, saling memegang tangan.  Di pertengahan perjalanan, FRU menghalang.  Tapi kami berjaya akhirnya.  Tidak kurang yang ditangkap, pengerusi kita antaranya."  Dua orang pakcik tua, yang usianya hampir 60-an, menuding ke arah Hew Yoon Tat, (gambar kanan) mengisahkan peristiwa silam ini.

Anda menyelak maklumat, mendapati apa yang diceritakan pakcik tua itu berlaku pada 7 September 1987.  Mereka berarak dari Bukit Merah ke mahkamah di Ipoh, kira-kira 8 km jauhnya.  Mereka dihalang polis ketika melalui Menglembu, dengan sembilan orang ditangkap.  Mereka dibebaskan kemudiannya.  Akhirnya lebih 1,000 orang berjaya sampai di mahkamah untuk menyatakan tuntutan mereka.  Pada 27 Oktober 1987, lebih 100 orang yang ditahan di bawah ISA, termasuk Hew Yoon Tat dan lain-lain.  Mereka dibebaskan selepas dua bulan.

Menurut pakcik tua itu, terdapat ikan di dalam longkang di kampung, sebelum kilang itu dibina.  Selepas kilang itu didirikan, tiada lagi makhluk bernyawa dalam parit, malah timbul lapisan bahan kimia di permukaan airnya.  Mereka yang bekerja di kilang nadir bumi ketika itu akan dipaksa untuk bersara selepas didapati berpenyakit.

Siapa yang dimanfaatkan daripada kilang pemprosesan nadir bumi ini?  Siapa pula dimangsakan?  Anda teringat filem itu, Erin Brockovich mempersoalkan peguam yang mewakili pihak syarikat PG&E, berapa harga kesihatan mereka?  Anda juga teringat filem Tan Chui Mui, Lai Kwan's Love - bagaimana Lai Kwan menjaga anaknya yang terencat akalnya kerana kilang pemprosesan nadir bumi.  Nasib sedemikian sepatutnya bukan milik mereka.  Namun, betapa kejamnya realiti apabila keuntungan dikejar tanpa mempedulikan nyawa dan kesihatan manusia.

Perjuangan penduduk tempatan bersama pertubuhan-pertubuhan yang lain berjaya mendesak agar kilang Asian Rare Earth ditutup pada tahun 1992.  Makcik tua itu berkata, 10 tahun mereka buat, 10 tahun kita protes di situ.  Ketabahan dan kecekalan ini amat disanjungi.  Namun, apa yang berlaku telah berlaku, dan gagal diperbaiki semula pada hari ini.

Dalam satu tulisan Lee Chean Chung, "Dari komuniti dengan populasi 11,000 orang, terdapat bayi yang cacat sejak dilahirkan, malah dalam tempoh lima tahun, lapan orang dijangkiti leukemia, dan tujuh orang daripadanya telah meninggal dunia.  Walaupun mantan Perdana Menteri Mahathir dan ramai menteri ketika itu menjamin bahawa tapak pembuangan sisa radioaktif dibina mengikut piawaian, namun penilaian selepas itu menunjukkan tahap radioaktif di sekitar kilang itu 25 kali ganda lebih tinggi dari tahap yang selamat."

Selepas 30 tahun, kerajaan masih tidak mengambil iktibar dari pengajaran ini, dengan sengaja mengulangi langkah sebelumnya.  Maka mereka yang pernah terlibat dalam perjuangan anti-kilang nadir bumi, semuanya tampil ke depan.  Malah meskipun tidak senang ketika bergerak, mereka tetap mahu menyahut gerakan anti-Lynas di bawah matahari yang terik.  Mereka mungkin kelihatan tenang, namun gagal diukur sejauh mana dalamnya luka mereka dalam hati.

Kira-kira sejam selepas aktiviti di Bukit Merah, kulit anda dan kawan anda kemerahan lantaran keterikan matahari.  Beberapa hari selepas itu, anda asyik menatap semula gambar dan berita yang berkenaan - ada kalanya terharu, ada kalanya marah.  Akhirnya, anda terbaca satu berita, yang terlepas dari pandangan anda ketika berada di Bukit Merah.  Lai Kwan (gambar kanan) dalam filem yang diarah Tan Chui Mui, datang berseorangan ke situ dengan menunggang basikal.  Beliau kelihatan mengangkat kad anti-Lynas bersama kelompok manusia di situ.  Begitu teguhnya beliau, sehingga meleburkan hati anda.

Anda faham bahawa perjuangan belum selesai, malah ia harus diteliti dalam konteks globalisasi.  Sama ada kilang pemprosesan nadir bumi di Kuantan, mahupun loji tenaga nuklear di Taiwan, keadilan alam sekitar bukan sekadar dengan tuntutan "jangan bina di belakang rumah saya".  Lai Kwan hanya antara susuk yang menjadi mangsa di bumi ini.  Beliau tidak keseorangan.  Apabila lebih ramai orang bersatu, sudah pasti mereka mampu menggegarkan sistem yang bersedia untuk menelan mereka.

Anda hanya berharap, kekuatan akan terkumpul dalam tempoh ini, tidak dibubuh noktah hanya selepas tamatnya satu perhimpunan.  Kerana anda sedar, jauh lagi perjalanan perjuangan.

*Leong Yew Sen ialah kolumnis MerdekaReview, edisi bahasa Cina.  Disedut, diterjemah dan disunting dari teks asal, dengan tajuk asal "Kenali Bukit Merah, Hentikan kilang pemprosesan nadir bumi".

KLIK UNTUK TABUNG BLOG INI

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template