Tuesday, February 21, 2012

Saya antara yang gagal gembira menyambut pemansuhan ISA

Merdeka Review - 1 Ogos 2009.  Kami ditahan selama tiga hari dua malam di Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil yang baru dibuka pada 27 Julai 2009, maka kami bernasib baik kerana tandas yang terbuka dan terdedah itu masih bersih.  Kami hanya dapat mandi pada jam 1.00 pagi hari Isnin (3 Ogos).  Dua hari tidak dapat mandi dan tiga hari menahan diri dari membuang air besar!  Syukur dengan tidak memakan nasi selama tiga hari kami selamat dari menyimpan makanan berat di dalam perut untuk diproses menjadi bahan buangan.  Kami hanya menjamah sedikit roti yang dikongsi bersama dan sedikit air kosong yang juga turut dikongsi.

Ini adalah sebahagian pengalaman yang berharga yang telah saya (gambar kanan, kanan) kongsikan pada tarikh 4 Ogos 2009 sebaik dibebaskan dari Penjara.  Berpeluang menghuni sebuah penjara.  Dipenjarakan kerana kami berani melawan.

Apa yang kami lawan hingga kami tertangkap pada tarikh tersebut 1 Ogos 2009?  Apakah signifikannya tarikh tersebut yang berjaya menarik perhatian puluhan ribu rakyat turun memenuhi segenap jalan di Kota Raya tanpa ada rasa gentar walau amaran demi amaran diberikan oleh pihak Polis untuk tidak turun ke jalanraya pada tarikh tersebut.

1 Ogos 2009 adalah hari ulangtahun ISA digubalkan pada tahun 1969, maka tarikh tersebut telah dipilih oleh GMI, Gerakan Mansuhkan ISA untuk menjadi lambang kebencian rakyat yang membuak kepada sikap pemerintah yang masih mahu mengekalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang zalim dan kuno.

Pada 1 Ogos 2009 dilaporkan puluhan ribu orang turun ke jalanraya di Kuala Lumpur walaupun pelbagai sekatan dijalankan dan amaran dikeluarkan.  Himpunan dicadangkan bermula pada jam 2.30 petang, namun seawal jam 3 pagi telah berlaku tangkapan oleh pihak polis ke atas mereka yang dipercayai datang ke perhimpunan tersebut.

ISA Zalim.  Saya tidak mempunyai ahli saudara yang pernah ditahan ISA, namun saya tetap berkongsi penderitaan mangsa kezaliman ISA khususnya yang menimpa para isteri tahanan ISA serta anak-anak mereka.  Saya melihat dan berkongsi penderitaan mereka.  Sebagai AJK Gerakan Mansuhkan ISA kami merancang pelbagai aktiviti seperti menghantar memorandum kepada SUHAKAM, Kementerian Dalam Negeri, PDRM termasuk cubaan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri.  Malah GMI juga membuat pertemuan dengan pihak Mufti setiap negeri di Malaysia bagai menjelaskan bahawa ISA juga adalah haram di sisi Islam dan mesti dimansuhkan.  Semuanya gagal.

Maka dengan kefahaman rakyat tentang betapa zalimnya ISA dan menghayati penderitaan keluarga maka rakyat berani untuk meluahkan rasa mereka di secara terbuka bagi membuat desakan.

Pada hari tersebut sejumlah 589 orang telah ditangkap dan dikumpulkan di Pusat Gerakan Am Cheras.  489 orang telah dibebaskan pada tarikh yang sama, 91 orang dihantar ke Pusat Tahanan Bukit Jalil untuk dilokapkan.  Akhirnya 29 orang telah didakwa di mahkamah dan dibicarakan. 16 orang didakwa menyertai perhimpunan haram dan 13 orang didakwa di bawah akta Pertubuhan.

Saya bersama anak lelaki, Ammar (gambar kanan, kanan), adalah antara yang ditangkap pada tarikh tersebut. Ammar yang ketika itu baru berusia 13 tahun telah dipenjarakan di Penjara Juvenil Sri Petaling bersama seorang rakannya yang berusia 16 tahun, Suhaib Mat Sah (gambar kanan, kiri), yang merupakan anak kepada seorang tahanan ISA yang masih meringkuk di dalam Kem Tahanan Kamunting ketika itu.  Anak saya melalui pengalaman yang perit dengan mereka digari dan dipakaikan pakaian lokap.  Dihalang dari berjumpa dengan peguam dan tidak diberikan makanan sehingga peguam menemui mereka pada jam 10 malam sedangkan kami ditangkap sejak jam 12.30 tengahari.  Ammar dan Suhaib dibebaskan keesokan harinya setelah dibawa ke hadapan majistret.

Saya dan empat orang lagi wanita ditangkap ketika kami duduk-duduk di bangku di hadapan Pertama Kompleks.  Perhimpunan dijangka bermula pada jam 2.30 petang.  Pada jam 12.30 tengahari sekumpulan polis yang berpakaian preman datang menghampiri kami dan mengepung kami sehingga sekumpulan polis yang beruniform datang dan mengarahkan kami menaiki sebuah trak polis.  Makluman awal mereka hanya mahu membuat sedikit dokumentasi ke atas kami.

Seterusnya kami dibawa dengan trak ke Cheras.  Di sana kami melihat ramai pihak polis telah bersedia ada di sana di satu tempat yang sungguh besar.  Proses dokumentasi dijalankan di sana.  Walaupun berada di bawah kawalan polis saya dan empat orang lagi sahabat wanita tetap menjalankan tugas kami menyampaikan maklumat kepada semua yang ditangkap dan dibawa ke sana.

"Jangan beri apa-apa keterangan kepada polis.  Kita hanya beri keterangan bila peguam kita ada bersama."  Kami berusaha menyampaikan kepada seramai mungkin akan hak mereka untuk berdiam diri.  Kami memberikan semangat kepada mereka.  Kami lantang, kami melawan apabila polis gagal menunaikan permintaan asas kami iaitu hak kami untuk bertemu dengan peguam yang setia menanti kami di luar pusat tahanan.

Akhirnya kami 29 orang, 24 lelaki dan lima wanita dipenjara dan didakwa di Mahkamah.  Perbicaraan berjalan hampir dua tahun.  Pada November 2011 Hakim membebaskan 13 orang yang dituduh di bawah akta Pertubuhan dan 16 orang lagi termasuk saya dan empat wanita yang lain diperintah untuk membela diri.

Dengan membuat pilihan untuk memberikan keterangan dari kandang salah dan tidak boleh disoal balas kami memberikan kenyataan bela diri kami pada 16 Januari 2012. Kami bersyukur kerana ianya selesai dengan pantas.  Tiada siapa yang suka didera terpaksa turun naik mahkamah berkali-kali bertahun-tahun lamanya.  Kami berpendapat tujuan sebenar peserta perhimpunan aman ditangkap, dipenjara dan didakwa tiada lain selain dari mahu mendera dan menyusahkan rakyat yang berani bangun melawan.

Pada malam 15 September 2011, bagi meraikan sambutan Hari Malaysia, dengan bangganya Perdana Menteri Malaysia membuat pengumuman bahawa Akta ISA akan dimansuhkan, begitu juga Seksyen 27 Akta Polis.  Ini memang satu pengumuman yang agak mengejutkan namun saya adalah salah seorang yang tidak menyambutnya dengan gembira dan bertepuk tangan.  ISA masih wujud, masih ada yang ditangkap dan ditahan di bawah ISA, kini ada seramai 13 keluarga yang baru menjadi mangsa kezaliman ISA di Tawau Sabah.

22 Februari 2012, esok adalah tarikh yang ditetapkan oleh Mahkamah untuk menjatuhkan hukuman ke atas kami 16 orang bagi dakwaan di bawah Seksyen 27 Akta Polis.  Ironi bukan?  Ianya sudah diumumkan untuk dimansuhkan namun kami masih menjadi menjadi mangsanya.

Apakah hukumannya pula?

"Hukuman - Mana-mana orang yang melakukan satu kesalahan di bawah seksyen ini boleh apabila disabitkan dikenakan denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit tetapi tidak lebih daripada RM10,000 dan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun."

Kami?  Pasrah kepada Allah Yang Maha Esa.  Kami tidak bersalah, kami bertujuan berhimpun dengan aman dengan peruntukan yang ada di bawah Perlembagaan.  Kami ditangkap sebelum perhimpunan berlangsung.  Kami rakyat biasa yang mahu bangun menentang kezaliman atas rakyat.

Atas prinsip ini kami tidak pernah mengaku bersalah atau terlintas di hati untuk mengaku bersalah.  Jika denda yang dikenakan atas prinsip perjuangan kami rela dipenjarakan demi sebuah perjuangan!

*Nashita Md Noor ialah ibu kepada empat orang anak, suri rumah, aktivis masyarakat, tiga kali ditangkap dan dua kali merengkuk dalam penjara.  Kini dibicarakan untuk dua kes perhimpunan aman, PROTES kenaikan harga barangan dan himpunan Mansuh ISA.

KLIK UNTUK TABUNG BLOG INI

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template