Sunday, February 5, 2012

Rampas tanah SR Islam Darul Bayan, Umno Terengganu Tidak Mahu Islam!

Buletin Online - Tindakan rakus pihak kerajaan UMNO/BN negeri Terengganu pimpinan Menteri Besar Dato Seri Ahmad Said merampas tanah yang telah dianugerahkan kepada Sekolah Rendah Islam Darul Bayan (SRIDB) di Mukim Paka sewaktu zaman pemerintahan kerajaan PAS (1999-2004) melengkapkan lagi siri kezaliman kerajaan UMNO/BN di negeri ini.

Samada dari segi pentadbiran mahupun dari segi logik akal, tidak ada alasan lansung yang manasabah, mengapa kerajaan UMNO tergamak bertindak zalim merampas sebahagian tanah 2 ekar yang telah dikurniakan kepada SRIDB untuk dipecah lot dan dibahagi-bahagikan kepada 5 orang JKKK yang merupakan pimpinan UMNO Cawangan. Padahal insitusi pendidikan Islam ini, yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAT) telah banyak berjasa, melahirkan ramai pelajar yang cemerlang dan bakal menjadi ulamak.

Kalau pengambilan balik tanah rakyat ini dibuat berdasarkan tujuan akta atau kanun tanah negara, sudah tentulah ianya untuk kepentingan awam khususnya untuk tujuan pembangunan. Sedangkan kompleks sekolah ini telah pun didirikan bangunan untuk memenuhi kepentingan awam bagi menampung tempat pendidikan rakyat. Di sinilah kita boleh melihat apa yang dilarang oleh Nabi SAW tentang fahaman assobiyyah (kebangsaan) iatu, "membantu kaummu di atas dasar kezaliman", sememangnya sudah menjadi darah daging UMNO. Mereka sanggup menukarkan kepentingan pembangunan sekolah agama yang diberi keutamaan oleh ibu bapa sekarang kepada kepentingan kroni mereka, JKKK.

Saya teringat sewaktu bersama pimpinan kerajaan PAS dahulu, kami difitnah dengan begitu dahsyat (dengan gambar besar terpampang di merata tempat) menzalimi anak-anak kecil tadika yang terpaksa mengusung kerusi-meja kerana kerajaan PAS didakwa bertindak menghalau mereka yang terpaksa berpindah ke bangunan baru. Sedangkan apa yang sebenarnya berlaku pada waktu itu, Kerajaan Negeri dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KEMAS berada di bawahnya) telah berbincang dan bersetuju supaya untuk jangka panjang mana-mana tadika yang ditempatkan di balai raya akan dipindahkan ke bangunan yang lebih selesa oleh pihak kementerian, dengan itu balai raya boleh dikembalikan kepada fungsi asal sebagai pusat komuniti termasuk untuk mengadakan mesyuarat dan bilik gerakan kampung. Tidak banyak pun tadika yang berpindah, sebahagian besarnya kekal di balai raya sehingga sekarang, tetapi UMNO berjaya membuat dakyah (dengan mengambil gambar sewaktu anak-anak ini berpindah) yang menggambarkan kerajaan PAS terlalu zalim menghalau anak-anak kecil yang memerlukan pendidikan.

Sekarang apa pimpinan UMNO nak jawab berhubung isu perampasan tanah yang melibatkan masa depan pendidikan anak-anak orang Melayu Islam kita ini? Di mana peranan UMNO sebagai juara pendidikan rakyat? Apakah mereka tidak mempunyai sekelumit iman pun sehingga sanggup menggagalkan pembinaan asrama untuk pelajar-pelajar anak-anak yatim yang bakal didirikan di tanah rampasan tersebut? Adakah mereka akan berbohong lagi seperti dahulu atau sebagaimana yang mereka lakukan dalam isu lembu NFC yang melibatkan penyelewengan wang rakyat RM250 juta. Ramai pihak membuat kesimpulan bahawa pimpinan UMNO Terengganu memang tidak berminat kepada pendidikan Islam dengan hujjah berikut :

a) Semua sekolah-sekolah agama di bawah kerajaan negeri dahulu dan institusi pengajian tinggi KUSZA telah diserahkan kepada kerajaan pusat, manakala negeri-negeri lain sedang mengembangkan sekolah dan IPT di bawah pentadbiran kerajaan negeri masing-masing.

b) Polisi kerajaan negeri yang tidak menggalakkan bahkan mengawal penghantaran pelajar jurusan agama ke Timur Tengah khususnya di Universiti al-Azhar menggambarkan mereka tidak berminat melahirkan lebih ramai ulamak.

c) Tidak bersedia memberikan zakat kepada pelajar-pelajar persendirian yang mengambil jurusan agama sedangkan salah satu asnaf zakat adalah hak pelajar iatu golongan yang berjihad pada jalan Allah.

Masyarakat mesti menghukum pemerintah seumpama ini. PRU 13 adalah tindakan yang paling bijak supaya UMNO tidak lagi diberi kuasa memerintah dan menguruskan masa depan kita dan menggantikannya dengan PAS (PGU - PAS ganti UMNO) yang mempunyai 'track record' sewaktu memerintah dahulu. RasuluLlah SAW menegaskan, doa mereka yang dizalimi tidak ada hijab di sisi Allah SWT. Dengan apa yang berlaku, isu ini menjadi tanda berakhirnya pemerintahan UMNO/BN dalam PRU 13 akan datang, insya Allah.

KLIK UNTUK TABUNG BLOG INI

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template