Thursday, February 2, 2012

Pelajar serbu Yayasan Terengganu tuntut laptop dan elaun yang tidak dibayar

Buletin Online - Lebih 20 orang pelajar Kolej Trefound, Trefound Educare Sdn. Bhd. (TE) telah menyerbu pejabat Pengarah Yayasan Terengganu bagi mendapatkan penjelasan janji yang belum ditunaikan.

Menurut sumber, para pelajar ditawarkan berkursus di instusi milik penuh Yayasan Terengganu itu telah dijanjikan sebuah Laptop percuma, pinjaman bagi pembiayaan pelajaran yang akan dibayar sebagai elaun sebanyak RM250 sebulan.

Namun, sehingga kini seramai 180 orang pelajar terbabit tidak menerima pemberian laptop percuma dan tidak dibayar elaun bulanan sebanyak RM250 sejak pengambilan mereka pada bulan Februari, 2011.

Sumber tersebut berkata, mereka telah beberapa kali berusaha dan bertemu dengan pihak pengurusan Yayasan Terengganu untuk menuntut janji dan menyelesaikan pembayaran elaun yang tertunggak, namun, katanya, segala usaha mereka gagal.

“Kami telah beberapa kali berusaha bertemu dengan pihak penguruan Yayasan Terenggan untuk menuntut janji dan menyelesaikan pembayaran elaun yang tertunggak, namun gagal,”katanya.

Bagaimana pun, pertemuan dan perbincangan dengan Pengarah Yayasan pada 31 Januari itu juga, hanya diakhiri dengan janji pengarah terbabit, yang hanya akan memberikan jawapan dalam masa 14 hari.

Oleh yang demikian, sumber tersebut berkata, pihaknya tidak berpuas hati dengan jawapan Pengarah Yayasan Terengganu yang banyak memberi jawapan ‘tak tahu’ tentang operasi anak syarikatnya, daripada memberikan jawapan yang sepatutnya sebagai seorang Pengarah.

Kata sumber itu lagi, Pengarah tersebut memberikan alasan beliau adalah baru menjawat jawatan tersebut, sedang kata sumber itu lagi, Pengarah itu adalah seorang pegawai tinggi Yayasan Terengganu sebelum ini.

Menurut laman rasmi Trefound Educare, Trefound Educare Sdn. Bhd. (TE) adalah syarikat milik penuh YAYASAN TERENGGANU yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 pada 4 Januari 1992. No. Syarikat adalah 231764 U.

TE kini beroperasi di Tingkat 4, Bangunan Yayasan Terengganu, Jalan Sultan Ismail, Kuala Terengganu dengan modal saham dibenarkan berjumlah RM500,000 dan modal berbayar berjumlah RM150,000.

Pada 1 Ogos 2002, TE telah dilantik oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran(JPK), Kementerian Sumber Manusia sebagai Pusat Bertauliah (Kod L01215) bagi menawarkan program-program latihan kemahiran kepada pelatih-pelatih.

TE adalah sebuah Institusi latihan yang menyumbang dan membekalkan tenaga mahir dan terlatih dalam bidang Sistem Komputer dan Sistem Maklumat untuk semua jabatan dan syarikat yang memerlukan.

Objektif TE sebagaimana menurut laman itu adalah untuk mengeluarkan tenaga kerja mahir negeri dan negara melalui penawaran program-program kemahiran Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.

Selain itu TE juga bertujua menjalankan program latihan berorientasikan industri melalui Sistem Latihan Dual National. Program ini menggabungkan latihan di tempat kerja dengan latihan di institusi disamping menjadi Training Provider kepada East Coast Economic Region (ECER) serta agensi-agensi untuk Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Pengerusi Lembaga Pengarah kepada TE adalah Bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus Che Azmi Bin Hj. A Rahman.

Manakala ahli-ahli Lembaganya terdiri daripada ADUN Kuala Berang Mohd Zawawi Bin Ismail, Timbalan Pengarah Yayasan Terengganu Mohamad Bin Sulong dan Ketua Penolong Pengarah yayasan Terengganu Mohammad Bin Kassim.

Ketua Pegawai Eksekutif TE sebagaiana menurut laman tersebut adalah Dr. Wan Shaari Wan Ismail

KLIK UNTUK TABUNG BLOG INI

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template