Thursday, February 16, 2012

PAS: Kerajaan ‘hilang akal’ wajibkan logo 1 Malaysia bagi produk kawalan

The Malaysian Insider - Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Mohd Firdaus Jaafar, menyifatkan kerajaan semakin hilang kewarasan apabila mewajibkan pengusaha tiga barangan kawalan iaitu tepung, gula dan minyak masak memaparkan logo 1Malaysia pada produk-produk mereka sekiranya ingin terus menikmati subsidi.

Mohd Firdaus berkata, syarikat yang terbabit terpaksa menanggung peningkatan kos dalam mematuhi arahan kerajaan yang dilihat tergesa-gesa walaupun kerajaan sedang mempertimbangkan bagi memberi pengeluar lebih banyak masa untuk mematuhi peraturan tersebut.

“Mahukah kerajaan menanggung segala kerugian mereka hanya kerana tiada logo 1Malaysia?” soalnya, sebagai respons kepada kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Tan Lian Hoe.

Ahli Parlimen Jerai ini turut mempersoalkan apa jaminan kerajaan terhadap tempoh penangguhan sedangkan sudah pastinya pengilang sudah pun menyimpan stok untuk produk mereka bagi tempoh jangka masa panjang.

Perlaksaaan itu jelasnya boleh menyebabkan timbulnya masalah birokrasi memandangkan track record kerajaan yang sememangnya terkenal dengan masalah itu.

“Cukuplah logo Halal sebagai contoh. Apakah kerajaan boleh mendabik dada bagi memastikan perlaksanaan ini akan berjalan dengan adil?” soalnya lagi dipetik Harakah Online.

Tambahnya lagi, barang-barang yang diwartakan adalah barang kawalan yang rakyat sepatutnya dapat menikmatinya dengan harga yang murah, namun ianya menimbulkan tanda tanya mengapa mesti dilaksanakan secara bersyarat.

“Bagaimana kalau pucuk pimpinan bertukar seperti mana Islam Hadhari ditukar kepada 1 Malaysia, bukahkah ini akan menimbulkan masalah yang lain kerana umum maklum perangai pucuk pimpinan Umno BN yang kerap menukar ‘tagline’ mengikut citarasa tersendiri,” katanya lagi.

Oleh yang demikian, pihaknya menasihati kerajaan, supaya tidak menjadi “Berhala Moden” yang perlu “disembah” untuk mendapatkan sesuatu akan tetapi menjadi sebuah kerajaan yang matang sekiranya 54 tahun pemerintahan Umno Barisan Nasional (BN) dijadikan ukuran.

“Rakyat sudah boleh menilai kerana mereka kini hidup di zaman langit terbuka dan dunia tanpa sempadan,” katanya lagi.

KLIK UNTUK TABUNG BLOG INI

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template