Friday, February 3, 2012

Himpunan Hijau 2.0: Kelulusan lesen operasi sementara Lynas harus ditolak!

Merdeka Review - "Kami amat terkejut dan kesal dengan keputusan AELB bagi meluluskan lesen operasi sementara bagi sebuah projek yang begitu merbahaya, berisiko tinggi serta mempunyai pelbagai syarat yang masih belum dipenuhi ini. Keputusan ini adalah tidak logik dan tidak harus diterima sama sekali!" kata Wong Tack, Pengerusi Himpunan Hijau 2.0.

Menurutnya juga, "Pengeluaran lesen operasi sementara ini hanya akan membawa makna pihak berkuasa masih tidak mengetahui tentang risiko dan kesan yang akan diakibatkan projek ini. Penduduk Kuantan tidak harus dijadikan TIKUS MAKMAL untuk eksperimen ini. Malahan juga, kelulusan lesen ini seolah-olah diberi di bawah tekanan daripada pihak-pihak tertentu."

Jawatankuasa Himpunan Hijau 2.0 berpendapat bahawa lesen tidak harus diluluskan tanpa persediaan yang mencukupi daripada pihak berkuasa dan Lynas. Lesen telah diluluskan tanpa menjalani proses DEIA yang lengkap. Lebih-lebih lagi, adakah bayaran insurans USD50 juta yang disyorkan oleh Lynas ini setara dengan harga rumah penduduk-penduduk di Kuantan? Bagaimanakah pula dengan nyawa 700 ribu orang penduduk berserta kehidupan anak-anak kita pada generasi yang akan datang? Tanpa persetujuan penduduk-penduduk sekitar Gebeng dan Kuantan, operasi kilang ini harus ditangguhkan.

"Tindakan pihak berkuasa yang bercanggah dengan hak asasi manusia ini telah mengetepikan proses demokrasi berparlimen di Malaysia. Kerajaan telah bersikap pekak tanpa mempedulikan pandangan dan kehidupan rakyat, tetapi memilih untuk memelihara kepentingan kroni-kroni tertentu. Ini jelas bertentangan dengan konsep Perdana Menteri kita yang begitu lantang dilaungkan - Rakyat Didahulukan," kata Wong Tack.

Maka, kami memberi jaminan kepada pihak berkuasa dan Lynas bahawa perjuangan kita tidak akan berhenti setakad ini. Kami tidak akan mengalah, sebaliknya akan gigih berjuang dengan kekuatan dan komitmen yang lebih tinggi untuk menjatuhkan kilang ini! Kami berpegang kepada apa yang telah diberitahu sebelum ini bahawa, "Tanpa persetujuan rakyat, kilang Lynas tidak akan berjalan. Tanpa mempedulikan apa jua lesen yang telah diperoleh Lynas, sama ada dari pintu depan atau pintu belakang, kami penduduk-penduduk Kuantan dan Gebeng berazam untuk menghentikan operasi kilang itu!"

"Kami tidak akan mendiamkan diri apabila melihat kesihatan dan kehidupan anak-anak kita terancam. Kami tidak akan membenarkan sekali bahan-bahan mentah untuk mendarat di tanah air kita. Datanglah jika anda ingin membawa masuk bahan mentah, dan kami menjamin bahawa kehadiran bahan mentah anda akan disambut oleh kami, rakyat-rakyat yang tolak Lynas," kata Wong Tack.

Menurutnya lagi, "Keadaan kini amat kritikal, setiap rakyat tidak harus mendiamkan diri lagi mahupun lemah semangat."

Dengan ini, Jawatankuasa Himpunan Hijau 2.0 menyeru seluruh rakyat Malaysia bangkit dan hadirkan diri ke Himpunan Hijau 2.0 yang akan diadakan pada 26 Februari 2012 di Kuantan pada jam 9.30 pagi. Datanglah beramai-ramai bagi menyuarakan bantahan serta kemarahan anda, serta menunjukkan kepada mereka bahawa keputusan ini tidak akan diterima oleh rakyat Malaysia!

Himpunan Hijau merupakan inisiatif yang diadakan bagi menyatupadukan sesiapa yang berdedikasi untuk keadilan alam sekitar dan isu-isu kemanusiaan. Ini merupakan sebuah platform bagi meraih sokongan daripada semua individu bagi menentang ketidaksaksamaan yang makin berleluasa menimpa ke atas masyarakat Malaysia.

Himpunan Hijau yang pertama telah diadakan pada 9 Oktober 2011 dan dihadiri oleh lebih daripada 80 NGO, parti-parti politik serta persatuan-persatuan setempat dan sejumlah 5000-7000 orang telah bersama dengan kita. Kali ini, kami yakin bahawa orang ramai yang hadir ke Himpunan Hijau 2.0 akan melipat ganda.

KLIK UNTUK TABUNG BLOG INI

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template