Monday, January 2, 2012

Safwan akan ambil tindakan mahkamah insiden di UPSI

TMI - Mohd Safwan Anang, mahasiswa yang mendakwa dibelasah teruk oleh anggota polis ketika insiden demonstrasi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini mengeluarkan kenyataan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa atas kecederaan yang dialaminya.
Peguam kepada Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) ini, Mohd Khairuddin Othman mendakwa pihaknya akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak berkuasa berkenaan dalam masa terdekat.

“Safwan mendakwa dia dipukul menggunakan lutut oleh anggota polis terbabit sehingga pecah bibir, sakit dada, dan keadaannya sekarang stabil dan dia sudah sedarkan diri.

“Sehubungan itu, keluarganya akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak polis dalam masa terdekat, dan antara defendan adalah Ketua Polis Negara, Ketua Polis Perak, dan anggota polis yang terlibat dalam kejadian awal pagi tahun baru itu,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Menurut Khairuddin, keluarga Safwan akan membuat pemeriksaan kesihatan lanjutan berikutan pihaknya kini masih lagi belum memperoleh sebarang laporan kesihatan daripada Hospital Hospital Slim River.

Laporan The Malaysian Insider semalam menyatakan bahawa polis telah menafikan dakwaan mereka memukul beberapa aktivis mahasiswa semasa menghuraikan demonstrasi aman di UPSI dan menegaskan “tiada pergelutan” berlaku apabila tangkapan dibuat.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan sementara itu berkata “tindakan perlu” diambil demi keselamatan awam dan salah seorang mahasiswa “tercedera sendiri”.

“Kumpulan mahasiswa tidak mendengar arahan polis supaya bersurai dan kami terpaksa bertindak dengan menangkap mereka.

Menurut Khairuddin lagi, seorang pegawai penyiasat pihak polis hari ini ada berjumpa Safwan dan mengambil keterangannya.

“Keadaan Safwan masih lemah, dan sementara ini kami akan kumpulkan bukti, apabila Safwan sudah pulih sepenuhnya, kami akan membawa kes ini ke mahkamah,” katanya lagi.

Awal pagi tahun baru lalu, sekumpulan 60 mahasiswa telah mengadakan demonstrasi aman di perkarangan pintu masuk UPSI dan mendakwa telah berlaku pergelutan dengan pihak polis.

Ketika insiden tersebut, seramai 17 antara mahasiswa terbabit telah ditahan polis Tanjung Malim, dan kemudiannya dibebaskan.

Sementara itu, PKR dan DAP terus mengkritik tindakan polis terhadap mahasiswa, semasa demonstrasi aman untuk memberikan sokongan kepada aktivis mahasiswa dan menuntut kebebasan akademik di UPSI, Tanjung Malim selepas tengah malam kelmarin.

Parti pembangkang mendakwa polis termasuk dua anggota dari Unit Cawangan Khas menggunakan tindakan kasar terhadap mahasiwa yang didakwa mereka seramai 100 orang berbanding 60 orang yang dikatakan peguam hak asasi Fadiah Najwa Fikri apabila kumpulan itu enggan bersurai.

Ketika kejadian berkenaan, Safwan dikatakan dipukul, ditumbuk dan ditendang sehingga tidak sedarkan diri.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template