Tuesday, January 3, 2012

Ramai saksi yang melihat anggota polis menendang, dan memukul mahasiswa

Insiden UPSI: Mahasiswa buat laporan polis, dakwa polis gunakan kekasaran
TMI - Kumpulan Aktivis mahasiswa, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) hari ini membuat desakan kepada Polis Bukit Aman agar segera menyiasat kejadian keganasan polis sewaktu demonstrasi mereka di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ketika malam tahun baru lalu.

“Kami mendesak pihak polis Bukit Aman untuk melihat berkaitan perkara ini kerena kami percaya terdapatnya penyiasatan yang indipenden untuk menyiasat kejadian sebenar,” peguam mereka, Fadiah Najwa Fikri berkata kepada pemberita di sini selepas laporan polis dibuat.

“Terdapat ramai saksi yang melihat anggota polis menendang, dan memukul mahasiswa. Malah, kami sendiri ada menyimpan gambar dan video polis menggunakan kekerasan untuk menyuraikan kumpulan itu,” tambahnya.

Fadiah menyatakan bahawa Malaysia berada di bawah Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mana Perdana Menteri “telah berulang kali menyatakan negara akan mengutamakan kepentingan demokrasi dan hak asasi manusia ke peringkat tertinggi.”

“Tapi adakah ini yang Najib maksudkan sebagai mengutamakan demokrasi dan hak asasi manusia?” Soalnya.

“Ini adalah satu penipuan. Pelajar-pelajar ini tidak bersenjata, mereka hanya menyuarakan hak mereka menuntut kebebasan akademik, tetapi dipukul oleh 200 pegawai,” katanya lagi.

Sementara itu, Presiden Bebas, Haziq Abdul Aziz, yang merupakan salah seorang daripada 17 pelajar yang ditahan pihak berkuasa berkata, pegawai polis yang terlibat harus dibawa ke muka pengadilan dan dihukum.

“Tiada hak istimewa buat polis yang yang melakukan jenayah,” katanya.

“Kami mengharapkan pihak polis akan mengambil tindakan tegas ( terhadap pegawai terlibat) dan tiada ‘double standard’ dalam menjalankan siasatan,” tambahnya lagi.

Dalam kejadian malam tahun baru lalu, sekitar 60 mahasiswa daripada SMM dan Bebas mendakwa telah dipukul oleh anggota polis sehingga mengakibatkan seorang daripada pemimpinnya, Mohd Safwan Anang terpaksa dikejarkan ke Hospital Slim River.

Safwan mendakwa telah disepak di dada menggunakan lutut oleh anggota polis dan mengalami pecah bibir serta sesak nafas.

Peguamnya, Mohd Khairuddin Othman semalam mendakwa pihaknya akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak polis di atas insiden tersebut dalam masa terdekat.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template