Friday, December 30, 2011

Zakat: ‘Sampai bila Jamil Khir mahu berselindung’ kata Nik Nazmi

TMI - Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus menuntut pentadbiran Najib memberikan penjelasan berhubung penyalahgunaan wang zakat didakwa melibatkan Datuk Seri Jamil Khir Baharom sambil sekali lagi meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak lagi berselindung di sebalik pegawai kerajaan.

Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar) berkata beliau berterima kasih kepada Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Che Mat Che Ali kerana memberikan penjelasan.

Bagaimanapun Nik Nazmi berkata penjelasan yang diberikan Che Mat bercanggah dengan beberapa perkara yang masih menjadi tanda tanya.

“Che Mat menganggap isu yang dibangkitkan ini berbaur politik namun jawapan Che Mat bercanggah dengan beberapa pihak yang tiada kaitan dengan Pakatan Rakyat termasuk penjelasan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim (pada 21 Jun 2011) yang mengakui bahawa kos guaman dibayar menggunakan peruntukan zakat.

“Pada 23 Jun 2011, peguam pula meminta pandangan Mufti Wilayah Persekutuan tentang penggunaan wang zakat bagi membiayai kos guaman dan laporan Ketua Audit Negara yang mengesahkan bahawa kos guaman dibayar menggunakan peruntukan zakat ,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru beliau meminta Che Mat memberikan penjelasan tentang percanggahan yang berlaku termasuk mengenai prosedur permohonan peruntukan yang diluluskannya selaku setiausaha.

Semalam Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Dr Muhammad Yamin Ismail mengatakan pembiayaan kos guaman Jamil Khir dan dua lagi pegawai kanan agensi itu dalam menghadapi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim diambil daripada geran kerajaan.

Sebelum ini Laporan Audit Negara mengesahkan sebanyak RM63,650 telah dikeluarkan daripada dana zakat MAIWP bagi mendahulukan bayaran khidmat guaman untuk ketiga-tiga mereka.

“Namun dalam hal ini sewajarnya Jamil Khir yang tampil menamatkan sebarang keraguan. Saya tegaskan semalam bahawa janganlah beliau berselindung di sebalik pegawai kerajaan,” tambah Nik Nazmi.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template