Friday, December 30, 2011

'V for Vendetta' pada malam Tahun Baru di Dataran Merdeka

Lautan topeng-topeng 'V' di Dataran Merdeka sebagai simbol resistansi menentang autoritarianisme

2011 akan terukir dalam sejarah sebagai Tahun Kebangkitan Rakyat seluruh dunia.  Bermula di Tunisia, kebangkitan ini kemudiannya merebak ke Mesir dengan rapat umum raksasa di Dataran Tahrir, yang kini menjadi imej dan simbol pembebasan dan kemerdekaan abad ke-21.  Kita juga lihat bagaimana kebangkitan gerakan "Indignados" di Sepanyol yang mula menduduki dataran Puerta del Sol di Madrid pada 15 Mei telah menjadi inspirasi kepada gerakan Occupy Wall Street pada 17 September dan juga Occupy Movement di seluruh dunia.  Gelombang demokrasi yang telah digerakkan sendiri oleh rakyat jelata tanpa pimpinan golongan elit ini sudah tentu akan menjadi Revolusi yang mengisi ruang hati dan minda lebih tujuh bilion insan serta generasi-generasi akan datang.

Peristiwa-peristiwa ini menjadi inspirasi buat Occupy Dataran untuk menduduki Dataran Merdeka setiap minggu bermula 30 Julai 2011.  Kami nekad kepada ideal  untuk menjiwai perubahan yang ingin kami lihat dalam masyarakat, untuk membentuk dan mempraktikkan satu model demokrasi akar umbi yang lebih partisipatif, non-partisan dan tanpa hirarki di Malaysia ini.  Sidang Rakyat (People's Assembly) yang kami jalankan setiap malam Sabtu di Dataran Merdeka merupakan satu manifestasi dan realisasi demokrasi langsung (direct democracy) dan penyertaan terbuka bagi sesiapa dan semua, tanpa mengira bangsa, fahaman mahupun kekayaan.

Tahun 2011 sudah hampir melabuhkan tirainya, namun sama seperti tahun-tahun sebelumnya, awan hitam masih menyelubungi langit negara kita.  Pencabulan hak asasi manusia dan kekangan hak demokrasi rakyat terus berleluasa.  Rakyat Malaysia menanggung pencabulan ini dalam pelbagai bentuk dan peringkat.  Seringkali sukar bagi rakyat biasa meluahkan isi hati dan mengekspresikan penindasan yang mereka alami.  Occupy Dataran mahu mencipta ruang dan platform bagi sesiapa sahaja menyalurkan kemarahan dan ketakpuasan hati mereka dengan cara yang lebih konstruktif dan bermakna.  Kami inginkan setiap orang mengorek isi hati dan menyuarakan tuntutan masing-masing.

Sebahagian tuntutan ini mungkin berkait kepada peristiwa ketidakadilan tahun ini: kekangan ke atas protes jalanan (contohnya BERSIH 2.0), kelulusan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011, isu berkontroversi Lynas, rampasan hartanah Orang Asli dan Orang Asal yang berterusan di Sabah dan Sarawak, amalan rasuah dalam kerajaan, eksploitasi dan kekangan hak dan kebajikan pekerja asing dan tempatan, kes kematian di SPRM, penindasan kebebasan akademik dan mahasiswa menggunakan AUKU, dan sebagainya.
Bagi menandakan titik akhir 2011 dan permulaan tahun baru 2012, kami menjemput SEMUA rakyat untuk menduduki Dataran Merdeka bersama kami pada jam 11 malam 31 Disember 2011.  Kami meminta SEMUA hadir memakai topeng "V" dan melakonkan semula babak dramatis terakhir dari filem "V for Vendetta".  Di seluruh dunia, topeng "V" merupakan simbol resistansi terhadap autoritarianisme.  Flashmob raksasa ini berbentuk partisipatif, secara simbolik mengekspresikan ketidakpuasan hati kita terhadap segala bentuk ketidakadilan dan peristiwa anti-demokratik yang berlaku di Malaysia sepanjang 2011.  Kita mahu suarakan CUKUP SUDAH, ENOUGH IS ENOUGH; MASA UNTUK DEMOKRASI SEBENAR SEKARANG, pada tahun 2012!

Objektif kami untuk SERUAN TINDAKAN PADA 31 DISEMBER ini ialah:
1. Untuk menuntut semula ruang awam dan menuntut semula Dataran Merdeka sebagai ruang terbuka dan demokratik untuk semua rakyat berhimpun secara bebas dan aman;
2. Untuk mempertahankan dan menuntut semula hak asasi rakyat untuk berhimpun secara aman, hak untuk memprotes dan hak untuk menduduki ruang awam;
3. Untuk membantah Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011;
4. Untuk menunjukkan solidariti kepada semua rakyat tertindas yang mengalami ketidakadilan dan pencabulan hak asasi mereka pada tahun 2011;
5. Untuk menunjukkan azam kami dalam menjadikan 2012 tahun perubahan sebenar demokrasi di Malaysia dalam segala aspek termasuklah politik, sosial dan ekonomi.

Kami menyeru kepada semua untuk menyertai kami pada 31 Disember 2011 dan membuat TUNTUTAN dengan lantang dan jelas di Dataran Merdeka.

JOM OCCUPY!

*Penganjur akan mengumumkan butir-butir khusus Flashmob 31 Disember tidak lama lagi, melalui halamanFacebook OccupyDataran.

KLIK UNTUK TABUNG BLOG INI

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template