Friday, December 30, 2011

Rumah hancur sebegini rupa adun masih pekak badak? ayuh tukar kerajaan

Tok wakil Kemasik 'pekak badak’ atau 'teliga ‘kuali’
BO - Penduduk Kampung Tanjung Kemasik menyifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, Ir Rosli Othman sebagai wakil rakyat 'pekak ‘badak’.

Mereka bosan dan meluat dengan sikap tidak ambil peduli serta pilih ‘bulu’ wakil rakyat kerajaan Barisan Nasional (BN)
KLIK UNTUK TABUNG BLOG INI
Bayangkan, bagaimana peritnya penduduk di Kampung Tanjung Kemasik yang ditimpa bencana rebut serta hakisan ombak besar tidak diendahkan oleh wakil rakyat berkenaan.

Tinjauan mendapati beberapa buah rumah telah ditelan ombak manakala beberapa buah lagi yang terancam tidak diberikan penempatan baru.

Mangsa bencana, Puan Juliati Ismail, 30, dan suaminya Mohamad Abd. Rashid serta tiga anak mendakwa langsung tidak diberi bantuan meski pun rumah kedainya musnah lebih 50 peratus.

Menurutnya, bencana ribut pada 22 November lalu serta fenomena ombak besar pada pertengahan Disember 2011 memusnahkan rumah kediaman.

“Pada 22 November rumah kami kena ribut hingga tercabut atap lebih 50 peratus. Pada pertengahan Disember 2011 pula, sekali lagi kena ombak besar yang memusnahkan bahagian dapur dan bilik tidur.

“Masalahnya, kami langsung tidak diberi bantuan untuk membaiki atap akibat ribut atau tempat baru untuk perpindahan,” jelasnya kepada Harakah.

Katanya, beberapa buah rumah lain yang berhampiran diberi bantuan tersebut kerana disifatkan penyokong tegar Umno-BN.

Menurutnya, aduan pernah dibuat termasuk kepada wakil rakyat tetapi dukacita dimaklumkan tidak ada peruntukan.

Katanya, jika benar tidak ada peruntukan kerajaan kenapa mangsa bencana ribut lain mendapat bantuan tersebut.

“Saya sudah agak, ini (kes) kerana keluarga kami dilabelkan sebagai penyokong kuat PAS. Ayah saya memang orang PAS tetapi saya orang biasa sahaja dan pernah mengikuti program-program anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK),” ujarnya.

Menurutnya, wakil rakyat BN sering kali melalui kawasan bencana untuk melihat ‘projek’ tetapi tidak pernah bertanya khabar kepada keluarga berkenaan.

Bapanya, Ismail Besar, 65, menyifatkan Adun BN Kemasik sebagai wakil rakyat yang pekak ‘badak’ atau telinga ‘kuali’.

Menurutnya, permohonan tanah penempatan baru yang dibuat di kawasan Bukit Kukuran, Mukim Kemasik ditolak tanpa alasan.

Oleh kerana, katanya tanah dan rumah kediaman terancam dengan masalah ombak permohonan tanah penempatan baru dibuat kepada kerajaan.

“Saya buat surat permohonan tanah (kerajaan) penempatan baru bertarikh 22 Jun 2010 di Bukit Kukuran, Mukim Kemasik, Daerah Kemaman ditolak pada 16 Ogos 2011, lalu.

“Ini (permohonan) bukan buat main-main. Bila rumah kami kena ribut, kena ombak bantuan tidak diberi langsung. Inilah kerajaan dan tok wakil (Adun) yang pekak badak dan teliga kuali,” tegasnya dengan emosi.

Mengibas cerita lama, beliau mendakwa lima buah chalet yang pernah diusahakan ketika kerajaan PAS memerintah Terengganu dirobohkan oleh kerajaan Umno-BN.

Menurut beliau, sebaik sahaja kerajaan BN berjaya merampas kembali negeri ini dan pada tahun 2005 tindakan meroboh chalet dilakukannya.

“Cerita lama, tahun 2005 sebanyak lima buah chalet yang saya usahakan semasa kerajaan PAS Terengganu telah dirobohkan oleh kerajaan Umno-BN.

“Waktu itu, Menteri Besarnya, Idris Jusoh dan banyak lagi tanah-tanah rakyat yang diberikan oleh PAS (kerajaan) dirampas semula,” jelasnya.

Katanya, masalah tersebut tidak akan berlaku jika tidak lagi menyokong PAS dan bersama-sama dengan Umno-BN.

Manakala, Puan Faidai Ahkema Muhamad, 51, turut mengalami nasib malang serta tidak lena tidur sejurus fenomena ombak besar kembali membadai.

Katanya, gara-gara ombak besar sebanyak tiga kaki lagi tebing di belakang rumah yang didiami tujuh anak-beranak tersebut terhakis.

“Kami semua terpaksa berjaga malam dan hendak tidur pun tidak lena. Setelah keadaan ombak tidak kuat barulah rasa selamat.

“Tiga buah rumah yang berhampiran telah ditelan ombak dan keadaan hakisan semakin teruk setiap tahun,” ujar ketika ditemui di rumahnya.

Beliau mendakwa permohonan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) telah dibuat sejak 1 Januari 2010 lagi.

Malah, kata Faidai Ahkema surat permohonan tersebut mendapat sokongan pihak JKKK Pekan Kemasik yang hingga kini belum ada jawapannya.

“Bila saya tanya pihak berkenaan tentang rumah PPRT itu bukan jawapan diperolehi tetapi dimarahi,” ujarnya dengan nada sayu.

Menurutnya, sebagai anak jati Kemasik ini mahukan pembelaan agar sesuai dengan slogan kerajaan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Sementara itu, Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Kemasik, Ustaz Alias Abdul Hamid menggesa kerajaan negeri menyediakan penempatan baru atau memberikan rumah alternatif (PPRT).

Ini kerana, katanya penduduk yang menjadi mangsa fenomena ombak kuat memerlukan tempat tinggal yang selamat bagi meneruskan kehidupan.

“Kita (PAS) minta kerajaan negeri segera membantu mangsa-mangsa ombak dan hakisan ini yang perlukan tempat tinggal selamat.

“Kerajaan boleh beri tanah untuk penempatan baru atau rumah PPRT sebagai alternatif untuk mangsa ombak besar di Kemasik ini,” tegasnya.

Beliau turut mempersoalkan keadaan rekabentuk serta pembinaan benteng penahan hakisan ombak yang tidak kukuh.

Menurutnya, pembinaan benteng penahan hakisan yang tidak kukuh mengundang pembaziran wang rakyat berterusan oleh kerajaan BN Terengganu.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template