Friday, December 30, 2011

Dakwat kekal bukan jaminan PRU telus, tegas Anwar

TMI - Walaupun Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengumumkan pindaan peraturan bagi mewajibkan penggunaan dakwat kekal namun Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan ia bukan jaminan pilihan raya negara akan dijalankan dengan bebas dan bersih.

Ini kerana menurut Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh, masih terdapat banyak perkara yang perlu dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau menambah proses demokrasi dan pengendalian pilihan raya boleh dijalankan secara bebas dan adil sekiranya SPR melaksanakan lapan tuntutan yang dikemukakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0)

“Namun demikian, perubahan kecil ini tidak seharusnya dilihat sebagai jaminan kepada proses pengendalian pilihan raya yang telus, bebas dan bersih sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Anwar (gambar), selain 10 cadangan yang disyor PSC untuk memperbaiki proses pilihan raya, jawatankuasa yang melibatkan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Pakatan Rakyat dan Bebas juga perlu mempertimbangkan secara menyeluruh lapan tuntutan dikemukakan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.

“Saya percaya demokrasi dan proses pilihan raya bebas dan adil sewajarnya turut didukung dengan amalan serta pendekatan yang menjurus kepada kebebasan media dan kempen terbuka.

“Agensi media awam sewajarnya bersikap lebih adil dalam memberikan liputan untuk semua parti politik dan kempen politik parti-parti pembangkang sewajarnya tidak didiskriminasi menerusi tapisan melampau yang tidak munasabah serta mencabul hak kebebasan bersuara,” katanya.

Anwar menambah Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, PKR dan DAP komited dan menuntut agar PCS turut menumpukan perhatian kepada cadangan transformasi Bersih 2.0.

Kata beliau, PSC perlu mengkaji cadangan-cadangan itu sekiranya serius dalam menjamin pilihan raya yang bebas dan adil.

PSC akan membuat rumusan bagi 10 cadangan baru termasuk penggunaan dakwat kekal, yang dijangka akan dibentangkan di Parlimen Mac depan.

Semalam Pengerusi PSC, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata keputusan mengenai peraturan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-13 akan diketahui pada 1 Februari depan.

Beliau berkata peraturan itu sedang digubal dan kandungan dakwat masih dikaji oleh Jabatan Kimia dan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Pada 3 Disember lalu, SPR mengesahkan akan menggunakan dakwat kekal yang mengandungi “silver nitrate” pada pilihan raya umum akan datang, selepas tuntutan PSC menggunakan kaedah itu dipersetujui dan diluluskan oleh Parlimen.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template