Friday, November 18, 2011

Ribuan rakyat serbu parlimen tuntut PM letak jawatan

Rakyat Kuwait tuntut PM letak jawatan
BO - Beribu rakyat Kuwait menyerbu bangunan Parlimen negara itu lewat kelmarin selepas pasukan polis memukul para penunjuk perasaan yang berarak ke kediaman Perdana Menteri, Sheikh Nasser Al-Mohammad Al-Sabah, bagi mendesaknya meletak jawatan.

Menurut saksi, sekurang-kurangnya lima penunjuk perasaan cedera dalam kejadian tersebut.

Di bangunan Parlimen, para penunjuk perasaan, yang turut terdiri daripada beberapa Ahli Parlimen (AP) pembangkang, menggesa agar Parlimen segera dibubarkan.

'Rakyat mahu menggulingkan ketua (kerajaan),' laung penunjuk perasaan ketika memasuki bangunan Parlimen.

[BANTAHAN RAKYAT: Para penunjuk perasaan kelmarin menyerbu bangunan Parlimen Kuwait dan mendesak Perdana Menteri negara itu meletak jawatan. -- Foto AFP]

Walaupun majoriti penunjuk perasaan beredar selang beberapa minit kemudian, beberapa aktivis berkata mereka akan terus berhimpun di luar bangunan itu sehingga Sheikh Nasser meletak jawatan.

Kuwait bebas daripada tunjuk perasaan besar-besaran yang sebelum ini berjaya mengguling pemimpin Mesir, Hosni Mubarak, dan Presiden Tunisia, Zine al-Abedine Ben Ali.
KLIK UNTUK TABUNG BLOG INI
Bagaimanapun, sejak tiga bulan lalu, negara Teluk itu berdepan dengan pergolakan politik dengan pihak pembangkang meningkatkan tekanan ke atas Sheikh Nasser.

Ini menyusuli dakwaan bahawa sekitar 16 AP menerima rasuah sekitar AS$350 juta ($452 juta).

Beberapa AP pembangkang telah mengaitkan kerajaan dengan amalan rasuah itu dan menuduh Sheikh Nasser, 71 tahun, memindahkan dana awam ke dalam akaun peribadinya di luar negara.

Sheikh Nasser bagaimanapun menafikan tuduhan itu.

Rabu lalu, sekitar 20 AP pembangkang telah memboikot sidang Parlimen, selang sehari kerajaan menolak usul pembangkang untuk menyoal Sheikh Nasser berkaitan tuduhan rasuah.

Tiga AP pembangkang kemudian memfailkan permohonan baru untuk menyoal Sheikh Nasser pada akhir bulan ini berkaitan kes rasuah melibatkan para AP dan pemindahan wang ke luar negara yang tidak sah.

Sheikh Nasser menjadi sasaran pembangkang sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada Februari 2006.

Beliau terpaksa meletak jawatan enam kali, membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya baru sebanyak tiga kali.

Pada Januari lalu, Amir Kuwait, Sheikh Sabah Al-Ahamd Al-Sabah, telah mengarahkan setiap rakyat Kuwait diberikan habuan bernilai 1,000 dinar ($4,695) dan kupon makanan percuma bagi meredakan bantahan rakyat.

Namun, habuan itu kelihatan kecil berbanding dengan apa yang diberikan oleh pemimpin negara Teluk lain.

Raja Abdullah dari Arab Saudi misalnya telah mengikrarkan sekitar AS$93 bilion ($120 bilion) bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan di sektor kerajaan dan perkhidmatan.

Bulan lalu, Qatar pula mengumumkan kenaikan gaji 60 peratus bagi kakitangan awam dan sehingga 120 peratus bagi pegawai tentera. -- AFP, AP, Reuters.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template