Monday, November 14, 2011

Istana Negara Jalan Istana labuh tirai esok

TMI - Selepas mencatat 83 tahun sejarah yang indah berwarna-warni dan menyaksikan pertabalan tujuh daripada 13 Yang di-Pertuan Agong, kini sampailah sudah masanya untuk melabuhkan tirai penutupan Istana Negara esok.

Bangunan berwarna putih, yang ditandai dengan dua kubah emas tersergam indah dan tidak asing kepada setiap pengguna jalan raya yang melepasi Jalan Syed Putra, akan secara rasmi menyaksikan satu Istiadat Menurunkan Bendera Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 15 November.

Pada masa yang sama, Istana Negara yang baru di Jalan Duta akan secara rasmi menjadi istana bagi Yang di-Pertuan Agong yang seterusnya, lapor Bernama Online.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin, yang akan tamat tempoh jawatannya, mencatat sejarah sebagai Yang di-Pertuan Agong yang terakhir mendiami istana di Jalan Istana.
KLIK UNTUK TABUNG BLOG INI
Di sinilah berlangsungnya pelbagai istiadat merangkumi upacara mengangkat sumpah jawatan dan taat setia oleh Perdana Menteri, para menteri dan ketua hakim.

Istana ini juga menyaksikan beratus-ratus diplomat Malaysia menerima suratcara perlantikan untuk berkhidmat di luar negara dan menerima mengadap Perdana Menteri negara serta Pesuruhjaya Tinggi dan duta dari negara asing yang ditauliahkan ke Malaysia.

Manakala beribu-ribu rakyat Malaysia berkongsi kenangan hidup apabila menghadiri upacara pengurniaan bintang dan darjah kebesaran di Istana Negara.

Berdiri teguh di kawasan seluas 11.34 hektar di tepi Bukit Petaling menghadap Jalan Syed Putra, yang sebelum ini dikenali sebagai Lornie Drive, bangunan di tengah ibu kota yang menggamit perhatian sesiapa sahaja ini bukanlah bangunan biasa.

Sesungguhnya, ia adalah satu bangunan yang menjadi lambang keagungan rakyat negara ini kerana ia tempat bersemayam Ketua Negara Malaysia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Itulah, Istana Negara, yang menjadi bangunan kebanggaan rakyat dan lambang kedaulatan negara.

Sebagai sebuah Istana Negara yang pertama sebelum wujudnya pembinaan istana baru di Jalan Duta, mungkin masih ramai yang belum mengetahui akan cerita di sebalik bangunan itu.

Sebuah banglo (pada asalnya) yang dibina pada tahun 1928 dengan harga RM150,000, ia menjadi rumah kediaman seorang jutawan dari China iaitu Chan Wing.

Mendapat cetusan daripada kepakaran firma senibina terkenal, Swan & McLaren untuk mereka banglo berkenaan, ia diduduki oleh jutawan itu bersama keluarganya sehinggalah tercetus Perang Dunia Kedua, menurut majalah Tell.

Banglo yang kosong sebaik sahaja keluarga jutawan itu melarikan diri, telah digunakan sebagai mes Pegawai Tentera Jepun selama empat tahun pemerintahan mereka di Tanah Melayu bermula sejak tahun 1942 sehinggalah 1945.

Namun begitu, pemerintahan Jepun tidak bertahan lama. Sebaik sahaja Jepun tidak lagi berkuasa di Tanah Melayu, keluarga Chan Wing telah kembali pada 1946.

Bagaimanapun, mereka tidak menduduki banglo itu sebaliknya ia menjadi milik kepada British Malayan Administration (BMA) untuk digunakan sebagai mes pegawai kanan.

Kemudian, banglo itu bertukar milik apabila Kerajaan Negeri Selangor membelinya dan selepas diubahsuai ia dijadikan tempat bersemayam Sultan Selangor, Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah.

Bangunan yang dijadikan sebagai istana kepada Sultan Selangor itu kemudian bertukar milik sekali lagi apabila Kerajaan Persekutuan membelinya dengan harga RM1.4 juta pada tahun 1957 untuk dijadikan tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad, beberapa minggu sebelum pengisytiharan kemerdekaan.

Bagi mengangkat martabat bangunan itu sebagai sebuah kediaman rasmi pemerintah tertinggi negara, Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan RM328,000 untuk menjadikannya istana yang sesuai sebagai tempat bersemayam raja bagi sebuah negara merdeka yang baru.

Dengan menggunakan kepakaran arkitek Jabatan Kerja Raya, E.K. Dinsdale dari sudut rekaan, sementara pengubahsuaian pula dilakukan oleh kontraktor tempatan, proses kerja-kerja menaiktaraf itu tidak mempengaruhi struktur utama bangunan itu.

Pengubahsuaian yang hanya mengambil masa selama empat bulan sahaja menyaksikan jumlah penambahan bilik yang sebelum ini 13 kepada 20 bilik, dengan dapur bagi 100 orang, balai mengadap, empat bilik tetamu, dua balai kemasukan dan satu dewan santapan.

Sebaik menjelang tahun 1980-an, Istana Negara telah mengalami pengubahsuaian besar-besaran dengan penambahan Balairong Seri Utama yang menempatkan singgahsana. Ini adalah kali pertama singgahsana diletakkan di Istana Negara di mana sebelum ini pertabalan Yang di-Pertuan Agong diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman terletak di Jalan Ampang.

Proses penambahan singgahsana baru ini yang bertujuan mengangkat martabat Istana Negara telah dibina di bawah pengelolaan arkitek Jabatan Kerja Raya, Kapt David Wee dengan berasaskan kepada alat kebesaran diraja.

Dibina tujuh tingkat dan bertiang tujuh, ia melambangkan alam semesta yang mempunyai tujuh lapisan langit dan tujuh lapisan bumi dan diperbuat daripada kayu cengal yang diukir indah dan halus.

Sebaik sahaja Balairong Seri Utama ini siap, pertabalan Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Sultan Abu Bakar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-tujuh telah diadakan di sini pada 1980.

Istana Negara, bukanlah sekadar tempat bersemayam pemerintah tertinggi negara. Malah, ia juga memainan peranan penting sebagai sebuah bangunan yang melambangkan kedaulatan negara.

Untuk tujuan itu, Istana Negara diperuntukkan beberapa bilik penting khusus bagi upacara tertentu merangkumi bilik Singgahsana Kecil, Dewan Mengadap, Bilik Duta, Bilik Permaisuri dan Balairong Seri.

Istana baru bernilai RM800 juta ini mempunyai keluasan yang lebih besar, jelas bakal menjadi mercu dan simbol kebanggaan sistem pemerintahan Raja Berpelembagaan negara ini.

Biarpun sudah ada Istana Negara yang baru, namun bangunan di Jalan Istana ini akan terus diingati sebagai sebuah tempat yang menyaksikan kelahiran tradisi diraja dan peranan pentingnya dalam sejarah negara ini.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template