Saturday, October 1, 2011

Hishamuddin Rais: Bawa kes kematian dalam tahanan ke antarabangsa

MR - Dengan mengambil contoh "kes kapal selam scorpene", aktivis sosial Hishamuddin Rais melontarkan cadangan agar badan bukan kerajaan (NGO) membawa kes kematian dalam tahanan ke antarabangsa, untuk membuat desakan dari luar negeri, dan bukannya berulang-kali membuat laporan di balai polis yang sesungguhnya tidak membuahkan hasil.

Malah, Hishamuddin Rais (gambar kiri menyifatkan usaha "membuat laporan terhadap polis tentang salahlaku polis" sebagai "kerja gila", dan sesiapa yang berbuat demikian berulang-kali semestinya seseorang manusia yang tidak siuman.

Beliau juga mengambil kesempatan untuk menyindir, bahawa "parang" telah menjadi senjata penjenayah, sungguhpun menyedari polis kita bersenjatakan pistol. "Parang yang sama" digunakan, termasuklah peserta perhimpunan BERSIH 2.0, seolah-olah semua penjenayah menggunakan parang yang sama ketika bertindak - dan ianya hanya berlaku di Malaysia, kata Hishamuddin Rais.

Hishamuddin juga menegur NGO, bahawa kenyataan hanya dikeluarkan apabila mangsa keganasan polis adalah orang tempatan, tetapi berdiam diri apabila buruh asing menjadi mangsa, seolah-olah "buruh asing itu berkelas rendah". Beliau menyelar sikap rakyat Malaysia yang sedemikian, yang untuknya "lebih malang apabila kita mendakwa diri kita sebagai muslim".

Demikianlah kata-kata Hishamuddin Rais dalam forum "Hak Anda dan Kuasa Polis", anjuran bersama SUARAM, Rumah Anak Teater, Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok, Amnesty International Malaysia dan KOMAS, semalam. Forum yang bertempat di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor ini menarik kehadiran kira-kira 100 orang, membariskan dua orang lagi panelis, iaitu peguam hak asasi manusia Edmund Bon dan M. Visvanathan, dengan Faisal Mustafa sebagai moderator.
Polis diberi kuasa terlalu besar

Ketika mengulas penyalahgunaan kuasa polis, Edmund Bon (gambar bawah, berdiri) menuding jari kepada peruntukan kuasa yang terlalu besar kepada penguatkuasa.

"Rakyat perlu faham, apabila kita membincangkan politik, pada hakikatnya kita membincang bagaimana untuk mengembalikan sebahagian kuasa kepada golongan minoriti dalam masyarakat, memulangkan kuasa kepada rakyat, dan bukannya memberi kuasa yang begitu besar kepada kehakiman, penguatkuasa dan parlimen. Kita tidak boleh mengelakkan diri daripada isu ini, yang padahalnya isu politik," jelas Edmund Bon.

M. Visvanathan, peguam yang mewakili keluarga mendiang R.Gunasegaran, berkongsi dengan hadirin proses perbicaraan kes kematian R.Gunasegaran. Pada jam 5 petang 16 Julai 2009, R.Gunasegaran yang berumur 31 ditangkap dan ditahan di Balai Polis Sentul atas tuduhan penyalahgunaan dadah. R.Gunasegaran pengsan di lokap pada kira-kira jam 7 petang hari itu, dan didapati mati ketika tiba di hospital.

Pada 25 Oktober 2010, inkues membuat penghakiman "open verdict", dengan dua kemungkinan "mati kerana dadah", atau "mati dipukul". Sehingga hari ini, anggota polis yang dituduh membelasah R.Gunasegaran tidak dikenakan tindakan.

Tiada surat kematian diberikan kepada keluarga R.Gunasegaran sungguhpun sudah dua tahun R.Gunasegaran meninggal dunia. "Dari segi teknikalnya, R.Gunasegaran masih hidup, rekod Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan bahawa beliau masih hidup," kata M. Visvanathan (gambar kanan).

Beliau meneruskan, "Tiada siasatan, boleh dikatakan tiada sebarang tindakan. Hampir setahun (penghakiman dibuat), apa jadi? Tiada apa-apa berlaku. Beliau hanya satu nama dalam sistem. R.Gunasegaran. Bagaimanapun, beliau adalah seorang warga Malaysia, beliau mempunyai haknya."

KLIK UNTUK TABUNG BLOG INI

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template