Monday, October 10, 2011

Jenazah jemaah haji maut jatuh bangunan dikebumikan

Jenazah jemaah haji maut jatuh bangunan dikebumikan
BH - Jenazah jemaah haji dari Malaysia yang meninggal dunia selepas terjatuh dari sebuah bangunan di Madinah, selamat dikebumikan di Perkuburan Baqi' berdekatan Masjid Nabawi, demikian menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Jemaah wanita yang berasal dari Shah Alam dan berusia 39 tahun itu dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan dan meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira 4 petang waktu tempatan kelmarin.

Jamil Khir berkata, kerajaan kini menunggu laporan lengkap siasatan daripada polis Arab Saudi berkenaan kes itu.

"Kita masih menunggu, belum dikeluarkan lagi sebarang laporan lengkap daripada pihak keselamatan dan polis Arab Saudi. Saya sudah pun menghubungi wakil kita dari Tabung Haji yang berada di Madinah yang memaklumkan bahawa kita masih menunggu laporan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Pemahaman Kedudukan Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini hari ini.

Mengulas lanjut seminar itu, beliau berkata penerangan tentang kedudukan sebenar Islam dan makna Islam adalah Agama Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan akan diberi sepanjang progam sehari anjuran IKIM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu.

"Bila kita sebut Islam di Malaysia, masyarakat akan mengganggap Islam sebagai agama rasmi, ada juga yang menyifatkan agama Islam hanya digunakan dalam majlis rasmi kerajaan seperti bacaan doa ataupun anggapan Islam itu sebagai cara hidup dalam kalangan umat Islam di negara ini.

"Seminar ini kita amat harapkan akhirnya ia akan membentuk satu kefahaman untuk melihat maksud agama Islam dalam konteks Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Jamil Khir berkata, mereka yang menggubal Perlembagaan Persekutuan sebelum kemerdekaan dulu menggunakan kebijaksanaan dalam merangkanya untuk menyatupadukan kira-kira 82 etnik termasuk di Sabah dan Sarawak dengan satu Perlembagaan yang mempunyai ikatan yang kuat.

Seminar sehari itu akan memberi kefahaman kepada peserta yang terdiri daripada orang awam dan kakitangan kerajaan mengenai kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan menerusi beberapa pembentangan kertas kerja

KLIK UNTUK TABUNG BLOG INI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template