Tuesday, September 6, 2011

Tentukan syarat, masa, tarikh dan lokasi, DPPM tetap akan hadir menanti


Ayuh Khairy! kita berdebat demi kebenaran!

Buletinonline - Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mencabar YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia untuk menyahut jemputan DPPM untuk berdebat secara ilmiah bersama Ustaz Nasrudin Hassan, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia bagi mencari kebenaran fakta sejarah kemerdekaan negara.

DPPM mengingatkan YB Khairy Jamaluddin tidak layak untuk mencabar Hj Mohd Sabu untuk berdebat dengannya memandangkan beliau hanya seorang Ketua Pemuda UMNO sementara Hj Mohd Sabu adalah Timbalan Presiden PAS. Sekiranya benar mahu diadakan debat bersama Hj Mohd Sabu, maka Timbalan Presiden UMNO adalah calon yang paling sesuai. DPPM akan sentiasa menyokong berdebatan antara kedua tokoh ini jika diadakan perdebatan.

[Gambar - Setiausaha Pemuda PAS Khairul Faizi secara rasminya menghantar surat jemputan kepada Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaludin]

Medan yang paling sesuai untuk YB Khairy Jamaluddin adalah dengan Pemuda PAS. Inilah gelanggang yang paling dinantikan oleh anak-anak muda selama ini. Biarlah generasi muda pada hari ini menilai sejarah dari perspektif yang akan diungkapkan oleh kedua-dua tokoh pemuda ini. Sejarah juga akan mencatat bahawa pernah ada suatu perdebatan bagi mencari kebenaran disebalik sejarah kemerdekaan negara antara Pemuda PAS dan Pemuda UMNO.

Cabaran debat ini diadakan bagi mencungkil sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan negara yang selama ini digelapkan oleh penulisan sejarah yang berat sebelah. DPPM tidak sekali-kali menyalahkan pejuang kemerdekaan negara yang diangkat dan dimartabatkan selama ini. Sebaliknya yang paling dikesali adalah sejumlah besar pejuang-pejuang kemerdekaan negara yang sama-sama memerah keringat, air mata dan darah bagi mendapatkan sebuah kemerdekaan tidak dicatatkan dalam sejarah sebagai pejuang atau wira negara.

Sebagai contoh, rakyat yang selama ini membaca dari satu sumber sejarah merasa terkejut apabila Mat Indera tiba-tiba diangkat sebagai wira. Selama ini sejarah menganggap Mat Indera adalah petualang atau pengkhianat negara. Dalam pada serangan bertali arus terhadap Hj Mohd Sabu yang mendedahkan isu ini, buku biografi Pengukir Nama Johor yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2004 telah mengiktiraf Mat Indera sebagai tokoh negeri Johor. Ertinya Kerajaan negeri Johor sendiri mengiktiraf ketokohan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan.

Selain beliau, ramai lagi nama yang sebelum ini di’hitamkan’ dalam buku sejarah negara perlu dibersihkan nama mereka. DPPM mempunyai bukti ramai pahlawan negara yang terkorban bagi membela negara tidak diiktiraf peranan mereka. Justeru, jika Khairy Jamaluddin benar-benar ‘anak jantan’, DPPM mencabar beliau untuk berdebat di gelanggang terbuka. Tentukan syarat, masa, tarikh dan lokasi, DPPM tetap akan hadir menanti!



RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia


KLIK UNTUK TABUNG BLOG INI

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template