Thursday, September 1, 2011

Hassan Ahmad meninggal dunia sebelum memoir, galeri menjadi realiti


Jangan kita lupa detik ini. detik perjuangan mengembalikan bahasa ibunda sebagai penganti kepada bahasa penjajah selama 6 tahun bermaharajalela. mana fakta bahawa ada bangsa di dunia ini maju disebabkan didikan oleh bangsa asing?

HHRS 2.0 - Jangan mereka hancurkan lagi impian pejuang bahasa dengan gerakan dalam usaha kembalikan bahasa penjajah dalam subjek matematik dan sains sebagai platform untuk orang melayu ini pandai berbahasa inggeris..

Khalil Yaakob (kanan) berbual dengan isteri Alllahyarham Hamimi Mohamad Shariff (dua dari kanan) dan saudara mara. – Foto oleh Choo Choy May



Hassan Ahmad meninggal dunia sebelum memoir, galeri menjadi realiti



TMI - Memoir dan galeri peribadi merupakan antara beberapa rancangan yang telah diatur oleh bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad, yang meninggal dunia hari ini, tetapi tidak sempat menjadi kenyataan.

Hassan yang juga Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya kira-kira pukul 2 petang tadi.

Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara sekitar tengah hari esok. Jenazah akan dimandikan di Masjid Kampung Tunku di sini sebelum dibawa ke tanah perkuburan antara pukul 10.30 hingga 11 pagi.

“Dua impian ayah tidak tercapai... beliau sudah mula bercakap-cakap mengenai galeri dan muzium peribadi, sepatutnya kami mula kerja ini selepas sambutan Aidilfitri,” kata anak sulungnya Aida ketika ditemui di rumahnya lewat petang ini.

“Bapa saya ada buku dalam jumlah yang banyak, terlalu banyak... sepatutnya kami hendak mengkatalogkan semua buku beliau dan kemudian buat satu galeri dan muzium mini, tapi tak menjadi kenyataan,” kata beliau lagi.

Aida berkata, mereka telah merancang untuk menjayakan pelan itu dalam dua tahun.

Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider di rumahnya semalam sempena 1 Syawal, Hassan berkata memoir beliau akan dihasilkan akhir tahun ini.

“Dalam tiga empat bulan lagi akan siap,” kata beliau ketika kelihatan ceria menjamu selera hidangan Aidilfitri sambil menunjukkan beberapa gambar yang diambil bersama pemimpin politik tempatan dan asing termasuk bersama bekas perdana menteri Indira Gandhi, empat bulan sebelum mendiang ditembak mati.

Anak kedua Hassan, Hasmirawati berkata bapanya meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke hospital berhampiran selepas mengadu sakit perut sejak awal pagi tadi.

Hassan, Tokoh Bahasa, meninggalkan seorang balu Datin Hamimi Mohamad Shariff, 68, dan dua anak perempuan.

Antara menziarah jenazah Allayharham hari ini ialah Yang Dipertua Melaka Tun Khalil Yaakob, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam, bekas ketua setiausaha negara Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan bekas setiausaha agung Umno Tan Sri Sanusi Jundi.

Beberapa penulis dan karyawan negara juga hadir sama.

Tengku Razaleigh dalam kenyataannya berkata, negara telah kehilangan seorang cendekiawan dan seorang diplomat disegani banyak pihak.

“Allahyarham seorang individu yang baik, seorang nasionalis, yang telah banyak menyumbang kepada negara dalam bidang pendidikan dan juga seorang diplomat (Wakil Tetap Malaysia ke Unesco),” katanya kepada The Malaysian Insider.

Ahmad Sarji yang juga Pengerusi Yayasan Karyawan berkata, pemergian Hassan merupakan satu kerugian besar kepada negara memandangkan beliau terus-menerus menyumbang kepada kemajuan sastera Melayu.

“Beliau telah banyak menyumbang kepada karya dan sastera Melayu. Kehilangan beliau sesuatu yang amat mengejutkan. Saya baru jumpa beliau minggu lalu membincangkan mengenai seminar penghayatan Hang Tuah, yang telah dirancang untuk diadakan... beliau telah bersetuju untuk sama-sama menjayakannya,” kata beliau lagi.

“Saya tidak tahu sama ada beliau menderita apa-apa penyakit, memandangkan beliau begitu dinamik dan effisien dalam kerja beliau,” katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan masalah kesihatan dialami Allahyarham.

Bekas pengerusi lembaga pengelola DBP Datuk Johan Jaaffar menyifatkan Hassan sebagai “tokoh besar” dalam bidang sastera negara ini.

“Beliau juga seorang pakar linguistik luar biasa dan seorang rakan tulen dalam dunia kesusasteraan negara. Beliau personaliti agung dalam dunia intelektual,” kata beliau yang tidak ketinggalan mengatakan Allahyarham juga sebagai “seorang ketua yang terbaik bagi kami (di DBP).”

Hassan merupakan ketua pengarah DBP ketika Johan, kini Pengerusi Kumpulan Media Prima, menyertai agensi kerajaan itu yang terletak di bawah penyeliaan Kementerian Pelajaran.

Ketua Penerangan PKR Dr. Mohd Noor Manuty yang turut terkejut dengan berita kematian Hassan berkata, “kita kehilangan seorang tokoh bahasa dan bangsa yang dihormati dan banyak berjasa dalam perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.”

“Saya juga baru jumpa beliau di kedai buku Islam Seksyen 14 dekat musim raya ini, dia masih bersemangat menyatakan pilihan raya umum ke-13 akan memihak kepada Pakatan Rakyat,” katanya merujuk kepada minat Hassan mengikuti bidang politik.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas berkata, “Allahyarham Datuk Dr Hassan Ahmad telah kembali kerahmatullah pada Hari Kemerdekaan.”

“Allahyarham Datuk Dr Hassan ibarat suluh di malam kelam, menerangi alam kebahasaan dan sastera bangsa. Beliau sampai ke penghujung hayat, terus gigih memperjuangkan untuk mendaulatkan Bahasa Kebangsaan,” katanya.

Tambah beliau, masyarakat Melayu kehilangan seorang pejuang yang banyak berbakti kepada masyarakat dalam bidang bahasa dan sastera bangsa.

“Walaupun sudah bersara, beliau terus aktif memberi pandangan mengenai apa sahaja isu... beliau terus aktif dan boleh membincangkan sesuatu isu dengan mendalam. Beliau biasanya akan menghantar SMS kepada saya setiap minggu, memberi pandangan dan input mengenai isu-isu semasa.

“Malah beliau tidak pernah ketinggalan menghadiri aktiviti anjuran Perkasa sama ada yang kecil ataupun besar,” katanya lagi.

Free advertising

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template