Tuesday, September 13, 2011

Hari Hartal. Apa itu hartal yang berlaku pada tahun 1947? ini sejarah besar yang patut rakyat tahu






Akhbar Utusan Melayu, 20 Oktober 1947

Singapura 19 Oktober — Malaya akan berhartal mulai pukul enam pagi esok sampai dua belas tengahmalam.

Pagi-pagi tadi orang ramai bersibuk membeli beras di pasar atau di kedai untuk bersedia kerana hari Isnin. Pasar-pasar telah sesak luar dari biasa pagi tadi. Pukul sembilan pagi tadi, Pusat Tenaga Ra’ayat cabang Singapura dan Gabungan Persatuan Buruh Singapura bahagian Melayu mengadakan satu perjumpaan besar di restoran kita untuk memberi penerangan tentang hartal. Anggota-anggota yang bergabung dengan PUTERA telah sibuk bekerja seminggu lamanya memberi penerangan ke kampung-kampung tentang erti dan maksud hartal.

Syarahan-syarahan telah diadakan manakala surat-surat sebaran dalam bahasa Melayu memberi penjelasan tentang hartal telah dibahagikan pada rakyat.

Dalam penerangan-penerangan itu, mereka menegaskan bahawa hendaklah disiplin cara damai dalam menjalankan hartal dipegang betul-betul oleh rakyat.

Sementara itu bagi pihak pemerintah pula pihak yang berkuasa polis seluruh Malaya telah pun menyatakan bahawa mereka telah siap sedia menghadap sesuatu kemungkinan yang buruk pada hari hartal esok.

Bilangan orang-orang polis yang akan berjaga esok akan ditambah dan sekali lagi pihak-pihak yang berkuasa polis menyeru kepada orang ramai supaya memberitahu padanya jikalau mereka diugut dan diancam pada hari hartal itu.

Dalam lapangan perkhidmatan pengangkutan kota pula pihak buruh Traction Company nampaknya berkeras hendak ikut berhartal.

Gabungan Persatuan Buruh Singapura telah meminta persatuan-persatuan yang bergabung dengannya berjumlah 73 buah itu supaya jangan bekerja pada hari hartal itu.

Buruh perkhidmatan-perkhidmatan Municipal yang bekerja dalam pejabat-pejabat pengangkut najis dan sampah, memperbaiki jalan-jalanraya, gas, pembersih bandar dan anti-malaria adalah difahamkan akan berhartal juga.

Lebih kurang 1,000 orang buruh yang bekerja dalam jabatan-jabatan elektrik dan air telah diminta oleh persatuan buruhnya supaya menggunakan bijak pandai masing-masing iaitu sama ada mahu berhartal atau tidak adalah terserah pada mereka.

Perkhidmatan bas antara kampung Melayu dan Geylang Seraya serta Geylang ke Changi khabarnya tidak akan berjalan pagi ini.

Kita tidak tahu sama ada semua pekhidmatan-perkhidmatan bas “private” akan membatalkan perkhidmatannya selama sehari esok tetapi Tuan Lee Kong Chian, pengurus Dewan Perniagaan Cina semalam telah meminta supaya syarikat-syarikat bas tersebut merundingkan soal sama ada mereka mahu berhartal atau tidak.

Taukeh-taukeh bas mengatakan bahawa mereka suka berkhidmat pada hari hartal itu tetapi takut kalau buruh mereka tidak mahu datang pada hari itu.

Gudang-gudang perniagaan bangsa Eropah menyatakan bahawa buruh mereka sanggup bekerja pada hari hartal iaitu seperti Warren Brasres, Robinsons, Borneo Motorist dan Frasier and Neave.

Kedai-kedai di luar bandar Singapura difahamkan akan tutup mengikut perintah persatuan masing-masing.

Sementara itu, Council Cina di Kuala Lumpur Tuan A.C.T. Kwong telah berseru kepada orang-orang Cina supaya jangan mengacau keamanan pada hari hartal itu untuk muslihat memelihara persaudaraan antara bangsa di negeri ini.

Di Penang Persatuan Buruh Muslim telah mengeluarkan kenyataan bahawa buruh India Muslim akan bekerja pada hari hartal.

Dewan Perniagaan Cina Singapura telah membahagikan 35,000 surat siaran kepada semua kedai-kedai dan persatuan-persatuan yang bergabung di bawahnya supaya berhartal esok.

Naib Pengerusi Dewan Perniagaan Cina mengatakan semalam bahawa mereka akan turut berhartal kalau saudagar-saudagar lain berhartal esok.

Sementara itu Persatuan Pekerja-pekerja Dalam Rumah-rumah Singapura bahagian Melayu Singapura dalam persidangannya pada malam 15 haribulan kelmarin di rumah persatuannya nombor 26 Friendship Street telah mengambil keputusan akan menyertai pemogokan hartal esok.

KLIK UNTUK TABUNG BLOG INI

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template