Sunday, September 18, 2011

15 bala


BALA BENCANA MENIMPA UMAT AKHIR ZAMAN



Marilah kita merenung dan memberi perhatian kepada amaran Rasulullah s.a.w dalam satu hadisnya yang diriwayatkan oleh Al-Tarmizi di dalam al-Sunan yang bermaksud:

"Dari Ali bin Abi Talib (karamallah huwajha), sabda Rasulullah s.a.w:

Apabila umatku melakukan lima belas perkara, maka nyatalah kepada mereka bala bencana. Lalu para sahabat bertanyanya: Apakah dia wahai Rasulullah? Sabda Rasulullah s.a.w: Apabila harta negeri menjadi milik yang berpusing di kalangan orang-orang yang tertentu, apabila amanah dianggap peluang untuk mendapat harta, apabila zakat dianggap cukai, apabila lelaki mentaati isterinya dan menderhakai ibunya, apabila ia memuliakan kawannya dan berkasar terhadap bapanya, apabila hingar bingar di dalam masjid, orang yang menjadi ketua di kalangan kaum ialah orang yang paling jahat dan hina, dimuliakan seseorang kerana takutkan kejahatannya, diminum arak, dipakai sutera oleh kaum lelaki, diambil penyanyi-penyanyi wanita dan alat-alat muzik untuk dipuja, orang-orang yang akhir di kalangan umat ini mengutuk orang yang terdahulu, maka tunggulah ketika itu bala bencana yang menimpa mereka, sama ada angin ataupun bumi yang menyapu mereka."

Hadithnya yang menggerunkan ini merupakan satu amaran kepada umat Islam, umat Muhammad s.a.w, walaupun mereka menjadi umat pilihan yang disifatkan oleh Allah di dalam al-Quran yang bermaksud:

"Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada yang baik, kamu mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah." (Surah Ali Imran: 110).

Apabila umat Islam meninggalkan kewajipan ini, bahkan berlakunya maksiat di kalangan mereka, tetapi mereka lupa kepada Allah dan Rasul, meninggalkan ajaran agama, maka berlakulah maksiat yang diberi amaran oleh Nabi s.a.w. Maksiat yang berlaku di semua peringkat, daripada peringkat orang yang memerintah sehinggalah kepada peringkat rakyat bawahan.

Apabila kebendaan menjadi matlamat dan tujuan, bukan mengabdikan diri kepada Allah, menegakkan agama Allah, mentadbir dunia dengan agama Allah dan menunaikan amanah. Harta yang diberikan oleh Allah yang melimpah ruah kepada negara umat Islam menjadi milik orang-orang yang tertentu, diberi kesempatan kepada orang yang memerintah dan puak-puak mereka.

Dilantik menjadi pemimpin yang merupakan suatu amanah yang diberi supaya menunaikan tanggungjawab untuk menegakkan agama Allah tidak lagi dianggap amanah, tetapi dianggap peluang untuk mendapat harta benda, untuk mendapat kesenangan dan kemewahan hidup. Bahkan kewajipan zakat yang diperintah oleh Allah supaya ditunaikan oleh orang yang berada untuk dibahagi-bahagikan kepada orang yang memerlukan bantuan dianggap cukai, tidak dianggap ibadat yang membersihkan hati dan harta benda mereka.

Keruntuhan akhlak berlaku di dalam rumahtangga, apabila orang tua tidak dihormati, tidak diberi ketaatan dan tidak diperlakukan dengan sopan dan akhlak yang baik, atau dengan lain perkataan menderhakai kedua ibu bapa. Orang-orang lelaki yang diberi kekuatan semangat oleh Allah SWT diperintah oleh orang perempuan, sehingga sanggup berkasar kepada ibu dan bapanya sendiri, lantaran mentaati isteri.

Begitulah keruntuhan akhlak yang berlaku di dalam rumah tangga. Masjid yang menjadi tempat beribadat tidak dihormati supaya dikerjakan ibadat di dalamnya, dipenuhi dengan zikrullah, dengan majlis ilmu, mengingatkan manusia kepada syariat Allah, menunaikan perintah Allah, meninggalkan larangannya, berzikir, bertasbih, bertahmid, bertahlil, berdoa, memuji dan memuja Allah SWT.

Sebaliknya menjadi hingar bingar tempat perbalahan, tempat berjual beli, tempat bercakap perkara dunia yang melalaikan yang tiada kena mengena dengan perkara agama. Yang menjadi pemimpin ialah orang yang jahat, bukannya orang yang baik. Dinilai manusia bukan kerana akhlak yang mulia, tetapi kerana kejahatan dan kezalimannya.

Nilaian manusia menjadi kebinatangan. Sebagaimana binatang menghormati orang yang lebih ke atas, manusia sudah turun kepada martabat haiwan, menghormati orang yang jahat dan melupakan orang yang baik. Berleluasanya maksiat yang dilakukan oleh orang-orang perseorangan. Arak diminum berleluasa. Perintah agama mengharamkan arak tidak diendahkan lagi.

Pakaian yang tidak bersopan yang dikhususkan kepada orang-orang perempuan bahkan diharamkan kepada orang-orang lelaki dipakai oleh orang-orang lelaki, seperti sutera, sebagaimana amaran Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Allah melaknat orang-orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki." Amaran Rasulullah s.a.w tidak diendahkan.

Berlakunya hiburan-hiburan yang melekakan manusia daripada ingatkan Allah, ingatkan mati, ingatkan hari akhirat. Mereka bersuka ria untuk memuaskan hawa nafsu dengan mengambil penyanyi-penyanyi wanita. Kaum wanita yang menjadi aurat yang sepatutnya dalam keadaan tertutup seperti yang diperintah oleh Islam, mereka dibenarkan terbuka di dalam perkara ilmu, dalam perkara menunaikan haji, dalam perkara ketaatan yang diizinkan oleh Allah SWT, mereka tidak boleh bebas melakukan unsur-unsur maksiat dan menjadi punca maksiat-maksiat.

Tiba-tiba mereka dilantik menjadi penyanyi-penyanyi yang dipuja dan disanjung serta dihormati. Alat-alat muzik menjadi barang-barang yang berharga sehinggalah peringkat bukan sahaja tidak mendengar nasihat dalam perkara agama. Orang-orang yang di akhir zaman sanggup mengutuk dan melaknat orang-orang Islam yang terlebih dahulu yang telah berjasa menegakkan Islam dan menyampaikan Islam kepada mereka.

Marilah kita menyedari amaran ini supaya kita tidak melakukannya, supaya kita dijauhkan oleh Allah daripada fitnah dan bencana, maksiat yang menghancur dan memusnahkan dunia. Marilah kita menegakkan kewajipan menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran. Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Dan takutlah kamu akan fitnah yang tidak mengenai orang-orang yang zalim sahaja." (Surah Al-Anfal: 25).

KLIK UNTUK TABUNG BLOG INI

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template