Wednesday, August 17, 2011

You shut up !


Setelah tolak Bersih 2.0, Wan Ahmad patut diam saja

RK - Pemuda DAP hari ini terkilan dengan kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang mahu tunjuk pandai berhubung keanggotaan Jawatankuasa Pemilih Parlimen mengenai sistem pilihan raya.

Ketua Pemuda DAP Kebangsaan Anthony Loke berkata, kenyataan Wan Ahmad yang mewakili pandangan SPR adalah tidak wajar sama sekali dan dipenuhi pula dengan unsur politik.

“SPR tidak ada kuasa sama sekali dengan penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen tersebut dan tidak berhak untuk menentukan hala tuju dan bagaimana jawatankuasa tersebut akan berfungsi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan Wan Ahmad yang “menyarankan jawatankuasa berkenaan hanya dianggotai wakil rakyat yang mewakili parti politik masing-masing tanpa campur tangan mana-mana NGO bagi mengelak wujudnya pelbagai kerenah yang boleh membantutkan reformasi.”

Tambah Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah, jawatankuasa pemilih Parlimen perlu ditubuhkan mengikut peruntukan dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan terma-termanya serta keanggotaannya perlulah diputuskan oleh kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.

“Walau pun terhad kepada Ahli-Ahli Parlimen, sebarang jawatankuasa pemilih Parlimen perlulah mendapat pandangan umum daripada pelbagai pihak supaya cadangan yang bakal dibentangkan adalah menyeluruh dan mewakili kepentingan semua lapisan masyarakat.

“Justeru, sekiranya badan bukan kerajaan khasnya Bersih 2.0 tidak dilibatkan dalam proses konsultasi dalam jawatankuasa pemilih Parlimen tersebut, penubuhan jawatankuasa tersebut adalah tidak bermakna,” katanya.

Loke yang juga Adun Lobak menjelaskan bahawa Bersih 2.0 telah membuktikan kredibiliti mereka memperjuangkan reformasi sistem pilihanraya di Malaysia dengan mendapat sokongan luar biasa pelbagai kaum dalam perhimpunan aman anjuran NGO itu pada 9 Julai lalu.

“Adalah wajar supaya Jawatankuasa Pemilih Parlimen yang bakal dibentuk kelak memberikan ruang kepada Bersih 2.0 dan masyarakat sivil secara umumnya untuk memainkan peranan aktif dalam proses menjana agenda perubahan tersebut,” katanya.

Oleh itu Loke mendesak agar SPR menukar paradigma mereka bahawa sistem pilihan raya hanya melibatkan parti-parti dan ahli-ahli politik.

“Sistem pilihan raya melibatkan setiap rakyat dan seharusnya semua pihak mengembeleng tenaga dan usaha untuk menghasilkan satu sistem pilihan raya yang bersih dan adil dan memacu demokrasi yang dewasa dan mantap.

“Keperihatinan pelbagai pihak dalam reformasi sistem pilihan raya adalah satu petanda yang baik terhadap kesuburan sistem demokrasi negara kita,” katanya. – Roketkini.com

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template