Tuesday, August 16, 2011

Sidang DUN Perak seperti main-main


Roket Kini - Kerajaan Barisan Nasional telah menghina dan mempersendakan sidang Dewan Undangan Negeri Perak semalam dengan hanya memperuntukkan dua jam sahaja untuk bersidang.

Timbalan Pengerusi DAP Perak V. Sivakumar berkata ia adalah satu sejarah yang memalukan di negeri itu kerana niatnya sekadar memenuhi syarat birokrasi, iaitu perlu diadakan sidang dalam tempoh enam bulan.

“Dalam ucapan Yang Dipertua DUN, Datuk R. Ganesan menyebut bahawa sidang DUN kali ini diadakan semata-mata untuk memenuhi syarat tempoh enam bulan di antara mesyuarat-mesyuarat Dewan.

“Beliau seharusnya berasa malu menbuat kenyataan seperti itu seolah-olah kerajaan BN tidak berminat untuk membincangkan masalah rakyat,” katanya.

Sivakumar yang juga Adun Tronoh mengakui memang terdapat syarat enam bulan itu tetapi ia mendedahkan hipokrasi BN kerana takut untuk membincangkan isu-isu kepentingan rakyat di Perak.

“Undang-undang Tubuh Negeri Perak mahu memastikan bahawa sekurang-kurangnya Dewan Negeri bersidang dalam enam bulan supaya masalah rakyat boleh dibincangkan secara panjang lebar.

“Tetapi, Menteri Besar (Datuk Seri Zambry Abdul Kadir) dan pimpinan BN telah memanipulasi undang-undang itu hanya sekadar memenuhi syarat. Adakah kerajaan BN mengatakan bahawa di negeri Perak tidak ada masalah langsung untuk diketengahkan dalam Dewan yang mulia itu?” katanya.

Beliau menambah, tindakan BN jelas menggambarkan golongan pengecut yang tidak berani menghadapi wakil-wakil dari Pakatan Rakyat yang hendak membawa masalah rakyat ke forum tertinggi itu.

Menurutnya, BN mencari helah untuk melarikan diri daripada tanggungjawab selepas merampas kuasa kerajaan negeri daripada Pakatan secara tidak sah pada 2009.

“Apa guna kita ada pilihan raya dan wakil rakyat jika persidangan Dewan Negeri hanya diadakan untuk setengah hari sahaja? Sekali lagi kerajaan BN telah mencemarkan demokrasi di Perak,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Besar Perak yang dipilih oleh rakyat dalam PRU 2008, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin hari ini telah membuat laporan polis di sini terhadap kenyataan Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof, yang memberi amaran kepada wakil-wakil rakyat Pakatan di Perak.

Amaran Zakaria disiarkan dalam akhbar Sinar Harian di bawah tajuk “Jaga adab” di mana Zakaria dipetik sebagai berkata, “saya harap ahli-ahli Dewan menjaga tingkah laku ketika membentangkan suara rakyat. Sekiranya berlaku provokasi, kita akan atasi sebaik mungkin”.

Menurut Nizar, kenyataan Zakaria melanggar serta bertentangan dengan Kanun Keseksaan (Akta 574) perkara 124 kerana bersifat melampau dan keterlaluan.

“Sekaligus Zakaria mengenepikan Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak (Perlembagaan Perak), Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Tetap DUN yang mana saya dan semua ADUN telah mengangkat sumpah memelihara dan mendukungnya.

“Sebagai wakil rakyat dan ahli dewan, saya juga tertakluk kepada semua perkara yang terkandung di dalam Peraturan Tetap Dewan bagi mentadbir perjalanan mesyuarat termasuk adab, tatasusila, peraturan persidangan dewan serta tingkah laku kami,” katanya.

Beliau yang juga Adun Pasir Panjang berkata kenyataan Zakaria mengesahkan bahawa sejak rampasan kuasa oleh UMNO-BN pada bulan Februari 2009, kesemua persidangan DUN Perak telah dicerobohi oleh polis dengan kehadiran begitu ramai anggota serta kenderaan polis.

Nizar turut mengingatkan bahawa polis telah masuk dan menceroboh DUN Perak pada 7 Mei 2009 sewaktu Sivakumar, selaku Speaker Dewan pada waktu itu, sedang mengendalikan persidangan.

Menurutnya, Sivakumar telah diheret dan diangkat serta digulingkan oleh anggota polis dan beliau telah dikunci selama satu jam di bilik belakang Dewan sementara Adun-Adun Pakatan Rakyat dikasari oleh polis di dalam Dewan.

“Semua ini ditonton oleh media, rakyat, Orang-orang Besar Negeri, pengarah-pengarah kerajaan negeri dan Persekutuan. Siapa yang sebenarnya biadap bila Datuk Zakaria menyuruh kami “Jaga adab”?

“Kenyataan (Zakaria) ini juga menimbulkan keluh-kesah dan berupa ugutan serta pencerobohan terhadap bidang kuasa kami sebagai wakil rakyat,” tambahnya.

Beliau menggesa Zakaria supaya menarik balik kenyataanya dan memohon maaf kepada rakyat dalam tempoh bulan Ramadzan ini serta menasihatkan beliau berhenti menjadi perkakas UMNO-BN. – Roketkini.com

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template