Thursday, August 4, 2011

RM200: Lebih daripada jumlah itupun peneroka berhak menerimanya, hasil penat lelah mereka mengusahakan ladang-ladang mereka.


Harakahdaily - Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Lembah Klang menegaskan bahawa pemberian wang raya sejumlah RM200 hingga 400 kepada peneroka bukan penyelesaian yang diinginkan oleh mereka.
Sebaliknya, mereka menegaskan, sememangnya lebih daripada jumlah itupun peneroka berhak menerimanya, hasil penat lelah mereka mengusahakan ladang-ladang mereka.
Timbalan Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Cawangan Lembah Klang, Mohd Nasaie Ismail menegaskan, namun mereka mendesak Perdana Menteri menjawab persoalan hutang peneroka Felda yang menanam semula dengan Felda sehingga jumlahnya hampir RM100,000, malah ada yang lebih daripada itu.
Menurut beliau, terdapat perbelanjaan tidak munasabah di pihak Felda seperti dalam penyata yang diberikan kepada sebahagian peneroka dan jumlah yang besar itu tidak dapat ditampung dengan gula-gula raya sebanyak RM400 itu.
Katanya, antaranya kos kawat letrik yang dimasukkan dalam perbelanjaan, tetapi tiada sebarang kawat elektrik pun dipasang di ladang-ladang peneroka.
"Begitu juga dengan kos meracun dan membaja yang dijalankan secara tidak efisyen. Ini dapat dilihat daripada kebun sawit dan getah yang semak seolah-olah tidak diracun untuk tempoh yang lama.
"Amat pelik apabila setelah lebih 30 tahun membayar hutang dengan Felda dan kini peneroka memiliki geran tanah sendiri, kemudian terpaksa berhutang kembali dengan Felda akibat kos tanam semula yang dikenakan dan tidak munasabah," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.
Anak Lembah Klang, menurut beliau, pelik dengan perbelanjaan besar tersebut memandangkan hasil kelapa sawit peneroka yang diambil Felda setiap bulan.
"Jadi ke mana disalurkan keuntungannya? Adakah dengan jumlah hasil yang diterima setiap bulan masih kurang untuk dipotong hutang Felda sehingga meninggalkan jumlah hutang yang besar?
"Ladang sawit 10 ekar yang pokoknya berusia 7 hingga 15 tahun berpotensi menghasilkan pendapatan RM5,000 ke RM10,000. Adakah dengan jumlah ini tidak cukup untuk menampung kos buruh dan penyelenggaraan ladang yang dikendalikan oleh Felda? Sedangkan umum mengetahui harga komuniti sawit yang tinggi mutakhir ini?" tanyanya.
Justeru, Anak Cawangan Lembah Klang melihat ada sesuatu 'tidak kena' dengan pengurusan perbelanjaan Felda yang bebannya dikenakan kepada peneroka.
Tidak cukup dengan gula-gula wang raya sebanyak RM400 setiap peneroka, katanya, kerana beban hutang tidak munasabah dikenakan kepada peneroka berlipat kali ganda lebih besar berbanding wang raya tersebut.
"Kita mendesak Perdana Menteri menjawab segera isu ini dan mengarahkan Felda mengeluarkan penyata yang telus kepada setiap peneroka Felda.
"Tiada harapan kita hendak berikan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan untuk menjawab isu ini kerana setiap jawapan beliau sebelum ini sekadar jawapan politik, merapu dan tidak masuk akal. Oleh itu Perdana Menteri mesti bertanggungjawab," tegasnya yang juga Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template