Sunday, August 14, 2011

PAS Terengganu berjaya mengesan kira-kira 5,006 warga asing mendaftar sebagai pengundi di negeri ini



ISU PENDATANG JADI PENGUNDI KE SIDANG DUN

PAS Terengganu mempunyai fakta kukuh bagi menyokong dakwaan mereka yang berjaya mengesan kira-kira 5,006 warga asing mendaftar sebagai pengundi di negeri ini, dengan 43 daripadanya turut dikesan tiada rekod dalam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tetapi tersenarai dalam daftar pemilih.

Pesuruhjayanya, Haji Mohd Abdul Wahid Endut berkata, pendedahan itu bersandarkan fakta dan bukti serta bukan omongan kosong.

Justeru, beliau berkata, isu berkenaan juga akan dibangkitkan dalam Sidang Dun Terengganu yang akan bersidang pada 22 dan 23 Ogos ini.

“Selepas ini kita akan dedahkan lagi (beberapa perkara berkaitan). Terdahulu kita turut dedahkan mengenai terdapat seramai 44 orang pemilih di negeri ini mengundi lebih daripada sekali dan kita akan terus mendedahkan (perkara yang tidak betul),” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan dan beramah mesra bersama peniaga dan pengunjung Bazar Ramadan Chukai, di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penafian Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengenai dakwaan kewujudan pengundi warga asing dari Myanmar itu, sebaliknya memberitahu mereka asalnya warga Malaysia yang menjadi pelarian ketika zaman British sebelum dibawa balik ke negara ini dan diberi kerakyatan.

Ahmad turut menyifatkan PAS kini berada dalam keadaan tertekan sehingga membangkitkan isu berkenaan sedangkan isu itu bukan baru.

Mengulas lanjut, Abdul Wahid mendakwa, hakikatnya memang benar terdapat 5,000 lebih warga Myanmar diberi kerakyatan dan proses itu dilakukan di Langkawi, Kedah yang akhirnya mereka turut dibawa masuk ke negeri ini.

“Sebab apa proses dilakukan di Kedah dan mereka kemudian dihantar ke sini iaitu di kawasan Dun Kijal dan Air Putih? Perkara ini rancak dilakukan dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang diberikan kad pengenalan. Ini adalah satu isu besar yang jadi isu negara.

“Soalnya sekarang, angka itu (pengundi warga asing) bertambah dengan banyak seolah-olah kemasukan itu memang dirancang dan satu lagi, saya mahu tegaskan mana ada orang Burma (Myanmar) keturunan Malaysia, paras rupa mereka pun Burma asli,” katanya.

Menurutnya, PAS hanya mahu sistem pilihan raya telus seperti bermain bola di padang yang rata- Sinar Harian

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template