Friday, August 19, 2011

Panel Parlimen: Awal-awal lagi kerajaan BN sudah mula mengarut


Dakwaan tentang warga asing telah diberi hak mengundi perlu ditangani dan diselesaikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan bukan dilonggokkan masalah itu kepada jawatankausa pemilih Parlimen.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata perbuatan menolak tanggungjawab itu tidak boleh diterima dan akan membuktikan panel Parlimen itu hanya helah dan taktik mengalih pandangan rakyat.

Katanya, kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengenai perkara itu tidak masuk akal kerana ia mesti diselesaikan oleh SPR dan bukan oleh panel Parlimen yang akan hanya dibentuk pada Oktober depan.

“Jika Hishammuddin telah mengaku kononnya kerajaan tidak ada apa yang mahu disembunyikan dan tuduhan bahawa warga asing mempunyai hak mengundi adalah tidak berasas, mengapa SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara tidak boleh membuktikan bahawa ia benar-benar tidak berasas, sekarang juga?

“Mengapa perlu menunggu sehingga jawatanakuasa Parlimen itu ditubuhkan? Ada banyak perkara yang perlu jawatankuasa itu cadangkan untuk mewujudkan sistem pilihan raya yang bebas dan adil tanpa perlu terikat dengan tuduhan-tuduhan khusus,” jelasnya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz telah membayangkan jawatankuasa pemilih Parlimen itu hanyalah helah politik dan taktik mengalih pandangan.

“Malah pada pagi ini Muhyiddin sekali lagi mengaitkan perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu dengan rusuhan ganas di United Kingdom.

“Jika pemimpin tertinggi kerajaan dan polis enggan menerima hakikat perbezaan di antara Bersih 2.0 yang disertai berpuluh ribu rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama secara aman, dengan rusuhan di UK di mana pengacau keamanan telah mengganas, siapa yang akan yakin dengan dengan kepimpinan BN yang kononnya sudah berubah hati untuk melaksanakan reformasi pilihan raya sebelum pilihan raya umum akan datang,” tambah beliau.

Malah, katanya, Najib juga salah jika menyangka reformasi pilihan raya dibuat untuk memuaskan hati pembangkang kerana tuntutan pilihan raya yang bebas dan adil adalah desakan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Menurut Kit Siang, perkara yang paling mengecewakan rakyat ialah keengganan BN untuk berunding dengan Pakatan Rakyat sebelum membuat keputusan tentang keanggotaan, bidang tugas, tempoh masa, peranan Bersih 2.0 dan perkara-perkara berkaitan dengan penubuhan jawatankuasa khas Parlimen itu.

Beliau menjelaskan bahawa tanpa sasaran tempoh dan jaminan penuh daripada Perdana Menteri, segala kajian dan keputusan panel Parlimen itu akan sia-sia jika Parlimen dibubarkan lebih awal.

“Malah, jawatankuasa pemilih Parlimen itu akan terbubar secara automatik apabila Parlimen yang ada sekarang dibubarkan,” ujarnya.

Beliau berharap rakyat tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji BN yang selama ini jarang dikotakan, selain dipergunakan sebagai helah politik dan taktik mengalih pandangan rakyat daripada masalah yang dihadapi parti pemerintah. – Roketkini.com

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template