Monday, August 1, 2011

Pak Samad rasmi kempen ‘Jom Baca Media Alternatif’

Free Malasia Today  - Kempen ‘Jom Baca Media Alternatif’, anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), yang akan dirasmikan oleh Sasterawan Negara Datuk A Samad Said Ahad ini bertujuan menjadikan media alternatif sebagai akses utama maklumat rakyat di negara ini.
Selain memberi pendedahan, memberi persepsi terbuka dan mendidik rakyat mengutamakan kesahihan berita, kempen yang bertemakan “Baca dan Banding” ini turut memberi peluang kepada mereka melihat realiti Malaysia melalui dimensi yang berbeza.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Sekretariat Media SMM Ahmad Shukri Kamarudin berkata program serta kempen bermula hari Sabtu 6 Ogos ini.  Selain edaran risalah turut disertakan buah tangan kepada warga kota pada hari tersebut.
Program pada 6 Ogos (Sabtu) bermula jam 3.00 petang menjurus kepada ‘Flash Mob’ sekitar Kuala Lumpur dengan memakai baju khas kempen yang turut tertera alamat laman sesawang media alternatif.
Kemuncak kempen pada 7 Ogos (Ahad) akan dirasmikan oleh Samad Said atau lebih dikenali sebagai Pak Samad, di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) bermula jam 2 petang.
“Beliau (Pak Samad) mengesahkan kehadirannya pada perlancaran kempen ‘Jom Baca Media Alternatif’ Ahad ini.
Perlancaran ini dijangka akan diadakan selepas siri wacana ‘Mahasiswa Selamatkan Rakyat’ yang akan memfokuskan kepada isu pembinaan loji Lynas yang turut menjadi isu utama diperjuangkan oleh SMM dan Gerakan Mahasiswa Selamatkan Rakyat (GMSR),” katanya.
SMM merupakan ikatan kerjasama beberapa pertubuhan mahasiswa di seluruh Malaysia seperti Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Kelab Rakan Islah Malaysia (Karisma), Pro Mahasiswa Nasional (Pro-M), Kumpulan Anak Muda Independen (Kami) serta ‘Malaysian Student and Youth Democratic Movement’ (Dema).

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template