Thursday, August 25, 2011

Nasib malang 12 individu Muslim dianggap murtad



FMT - Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menggesa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mendakwa golongan yang terlibat dalam usaha memurtadkan 12 individu Muslim yang ditahan pihak berkuasa terbabit ketika menghadiri majlis makan malam di
Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Seksyen 13 pada 3 Ogos lalu.
Menulis dalam entri blognya, Khalid berkata akibat pembohongan yang dilemparkan di dada akhbar, 12 individu Muslim tersebut menerima nasib malang sehingga timbul anggapan kononnya mereka sah murtad.
“Bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan serta andaian yang bukan-bukan, Jais perlu mendakwa golongan yang dianggap terlibat dalam usaha memurtadkan orang Islam ini dengan kadar segera dan sekiranya mereka ini didapati bersalah, maka mereka perlu dihukum.
“Ekoran dari pembohongan ini, maka ada yang beranggapan bahawa 12 orang Melayu telah sah murtad dan oleh itu, kononnya, darah mereka sudah halal. Maka inilah akibatnya apabila akhbar sebegini bertindak secara tidak bertanggungjawab dengan bertujuan untuk mengapi-apikan semangat golongan yang jahil,” katanya.
Jelas beliau, pada dasarnya hanya mahkamah syariah yang boleh mengisytiharkan seseorang individu murtad mahupun sebaliknya dengan menetapkan hukuman yang perlu dilaksanakan.
“Malah proses untuk mengisytiharkan seseorang individu tersebut sudah murtad bukan semudah yang disangka.
“Ianya perlu bermula dengan adanya satu pertuduhan terhadap orang berkenaan dan pihak yang dituduh juga diberi peluang untuk memberi respon terhadap pertuduhan tersebut.
Setakat ini, tiada apa yang dilakukan oleh sesiapa, khususnya oleh pihak Jais,” jelas beliau.
Beliau juga menasihati agar semua pihak bersabar dan tidak membuat sebarang kesimpulan awal memandangkan tiada maklumat yang tepat dan lengkap berhubung hal tersebut.

Hubung kait dengan Umno

Khalid acap kali mendakwa bahawa kejadian tersebut berhubung kait dengan Umno.
Beliau turut meluahkan rasa bimbangnya memandangkan Umno sejak dulu lagi berusaha mengadu domba sesama rakyat Selangor dengan menjadikan kumpulan agama Kristian sebagai sasaran mereka.
“Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh) merupakan mangsa terawal apabila beliau ditahan di bawah ISA atas tuduhan melarang azan dikumandangkan pada waktu Subuh. Beliau ditahan selama tujuh hari dan dibebaskan setelah terbukti dirinya difitnah.
Ahli Jawatankuasa Masjid berkenaan membuat kenyataan akhbar menjelaskan bahawa sistem PA mereka rosak dan oleh itu azan tidak kedengaran.
Usaha kedua ialah demonstrasi kepala lembu yang menyaksikan betapa tindakan ahli dan penyokong Umno memalukan umat Islam.
Ketiga ialah apabila ditimbulkan isu penggunaan kalimah Allah oleh pihak Kristian sebagai sesuatu yang berniat jahat.
“Pada ketika itu mereka sibuk dengan usaha mengapi-apikan semangat adu-domba sehingga ke tahap usaha membakar Gereja, tetapi Alhamdulillah PAS dan rakyat Selangor tidak dapat dilagakan.
Kejahatan Umno terserlah pada ketika itu dengan hebatnya. Kita khuatir ini adalah usaha keempat. Niat yang sama, dalang pun sama.
“Didakwa adanya usaha memurtadkan orang Islam oleh orang Kristian tetapi hingga ke hari ini tidak disokong oleh bukti yang nyata dan tindakan yang menyakinkan.
“Sehingga hari ini tiada dakwaan untuk memuktamadkan persoalan ini dan laporan pun masih tidak dikeluarkan oleh pihak Jais,” katanya.


Free advertising

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template