Saturday, August 20, 2011

Naib Presiden PAS: Najib bunuh minat kami sertai panel khas Parlimen


TMI - PAS mungkin tidak akan menyertai jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai penambahbaikan pilihan raya berikutan sikap tidak ikhlas kerajaan yang semakin jelas, kata Naib Presidennya Salahuddin Ayub.

Salahuddin (gambar) berkata kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam telah membunuh “minat” pihaknya ke atas jawatankuasa pilihan khas yang hendak ditubuhkan Oktober ini.

Sebaliknya PAS, kata beliau, akan terus berpegang kepada pendirian supaya Suruhanjaya Diraja ditubuhkan segera bagi memastikan perjalanan dan pengendalian pilihan raya yang adil dan bersih di negara ini..

“Walaupun sebelum ini PAS amat berhati-hati untuk memberikan sebarang komitmen kepada jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang dicadangkan oleh Najib itu, tetapi kenyataan terbaru Najib telah membunuh minat kami untuk memberikan perhatian kepada jawatankuasa tersebut,” kata Salahuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Presiden DAP Kebangsaan Dr Tan Seng Giaw mempersoalkan ikhlasan Najib mengumumkan pembentukan jawatankuasa tersebut.

Bersih 2.0 juga menggesa pilihan raya umum ke-13 tidak wajar diadakan selagi syor-syor jawatankuasa pilihan khas Parlimen berkaitan sistem pilihan raya tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menyifatkan kenyataan Najib semalam bukti keangkuhan Najib dan Umno.

Semalam, Najib berkata, pilih raya umum ke-13 boleh diadakan pada bila-bila masa dan tidak terikat dengan keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai penambahbaikan sistem pilihan raya.

“Kenyataan yang angkuh itu menguatkan keyakinan PAS bahawa Najib hanya melepaskan batuk di tangga apabila mengumumkan cadangan menubuhkan jawatankuasa itu dan hakikatnya beliau dan Umno tidak pernah serius dalam mendepani tuntutan reformasi pilihan raya negara ini,” kata Salahuddin lagi.

Mengenai usaha untuk menghubungi badan-badan di peringkat antarabangsa mengenai tuntutan rakyat yang mahukan pilihan raya yang adil dan bersih, Salahuddin berkata, perkara itu akan diumumkan dalam waktu terdekat.

Jelas beliau, usaha itu adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat antarabangsa mengenai tunturan rakyat yang mahukan pilihan raya yang adil dan bersih dalam negara ini.

Malah tegas beliau, kesedaran mengenai tuntutan itu perlu diperluaskan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) sebelum ini mengemukakan lapan tuntutan ke arah memperbaiki perjalanan dan pengendalian pilihan raya negara ini.

Antara lapan tuntutan tersebut ialah supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pengundi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minimum 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.



KLIK IKLAN TABUNG BULUH BLOG INI Free advertising

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template