Sunday, August 28, 2011

Kuih raya mahal salah siapa?


HHRS 2.0 - Jangan cepat hukum Barisan Nasional. Jangan cepat menghukum minyak masak naik, gula naik, atau bahan api naik akibat tangan pemerintah. Gaji tak naik-naik. Bonus pulak sikit kah kah kah. Kuih raya mahal salah siapa? kenapa nak ikat perut? undi lah BN lagi. Nanti mat2 indon, minah2 indon turun meniaga pulak. Padan muka.


Aidilfitri: Pelanggan ‘ikat perut’, peniaga keluh jualan kuih dingin


TMI - Ketika ramai pengguna mengeluh tentang kenaikan harga makanan, peniaga-peniaga kuih raya turut merasai kesannya apabila produk makanan sempena Aidilfitri kali ini kurang mendapat sambutan berbanding tahun lalu.

Tinjauan The Malaysian Insider di beberapa lokasi sekitar ibu negara mendapati banyak kuih raya tidak laku ketika tinggal tiga hari sebelum Syawal.

Rata-rata peniaga yang ditemui juga mengatakan perniagaan mereka tahun ini “terlalu dingin’ sambil mengakui ia kesan daripada kenaikan beberapa barang keperluan termasuk minyak masak, gula dan bahan api.

Malah tinjauan di kalangan peniaga menggunakan kenderaan bergerak di sekitar ibu negara juga melahirkan pandangan yang sama. Mereka juga berpendapat “kuasa membeli” pada tahun ini tidak memberangsangkan kerana ramai pembeli terlalu berhati-hati dalam berbelanja mendapatkan kuih raya.

“Jualan tahun ini perlahan sangat, saya akui memang harga kuih naik, itu sebab pembeli kurang sebab mereka terlalu berhati-hati untuk berbelanja.

“Harga naik sebab kos lain naik. Sebagai contoh minyak masak, gula dan petrol... lagipun bukan tinggi sangat naik, tapi pembeli yang sudah biasa beli bising,” kata Zulkifly Abu Bakar, 53, yang cuba menggambarkan rungutan di kalangan pelanggan setianya.

Dia menambah, sukar untuk mendapat keuntungan sekiranya perniagan yang diusahakan sejak 25 tahun lalu tidak mendapat sambutan.

Zulkifly berkata, dia menghabiskan sehingga RM300,000 untuk mendapatkan bekalan pelbagai jenis kuih raya.

“Kuasa membeli itu kurang. Kalau macam ini susah untuk pastikan untung atau rugi, kos saya sahaja sebanyak RM300,000.

“Banyak sebab mengapa kuasa membeli kurang. Antaranya termasuk pembeli telah menempah kuih raya dan mungkin buat sendiri,” katanya yang mendapatkan produk kuih raya dari Kedah, Kuala Lumpur, Perak dan Johor.

Difahamkan ada juga yang menempah kuih atas talian dan ada membeli terus daripada kenalan masing-masing.

Selain menjalankan perniagaan di bazar Ramadan Jalan Masjid India, Zulkifly turut mengambil lot gerai di bazar Ramadan Jalan Chow Kit.

Saizamani Dollah, 36, yang turut berniaga di bazar Ramadan Jalan Masjid India juga melahirkan pandangan yang sama.

Katanya, kenaikan harga barang keperluan telah menjejaskan perniagaan kuih raya tahun ini.

“Jika hendak dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini, tahun ini paling perlahan. Peniaga-peniaga terpaksa naikkan harga barang tapi bila kami naikkan (harga) pembeli bising,” katanya yang mengalami nasib yang sama.

Bagaimanapun Saizamani berkata, walaupun harga dinaikkan, namun sekiranya pelanggan membeli dalam jumlah banyak potongan tetap akan diberikan.

“Kalau biasa kita jual tiga bekas (atau bungkusan) RM10, tahun ini kita jual tiga RM12, bukan banyak sangat pun naik. Tapi kalau beli banyak tetap akan ada potongan,” katanya.

Seperti lazimnya peniaga terpaksa melelong kuih-kuih raya menjelang 1 Syawal, dijangka Selasa ini.

Walaupun kurang memberangsangkan namun Ahmad Ariffin Ibrahim sabar melayan pelanggannya. — Foto oleh Choo Choy May
Sementara itu, seorang lagi penjual Musliadi Mohamad, 31, berkata sambutan daripada pembeli tahun ini masih rendah.

“Jika tahun lepas, 15 hari sebelum hari raya kuih dah separuh habis, tapi tahun ini banyak lagi yang ada.

“Boleh dikatakan tahun ini sambutan macam tidak ada, lagi beberapa hari nak raya tapi kuih banyak lagi yang tak laku,” katanya.

Namun Ahmad Ariffin Ibrahim, 40, masih yakin sambutan kuih raya lebih laku menjelang Syawal.

“Kalau nak dibandingkan dengan tahun lepas memang tahun ini tak berapa dapat sambutan, tapi kebiasaannya bila betul-betul dekat nak raya baru orang mula beli.

“Kadang-kadang pada malam raya memang kami tak menang tangan sebab pembeli memang suka datang sasat-sat akhir,” katanya.

Ahmad Ariffin yang sudah hampir 15 tahun berniaga di bazar Ramadan Jalan Chow Kit juga mengakui “kuasa membeli” tahun ini begitu rendah.

Seorang peniaga kuih raya secara bergerak menggunakan lori kecil, yang dikenali sebagai Zulkifli juga berkongsi masalah yang sama.

“Ini sudah tiga minggu, saya mengambil stok kira-kira RM20,000 tetapi setakat ini hasil jualan saya dalam tangan cuma ada RM1,000 lebih... kalau tahun lepas, setakat ini (tiga minggu Ramadan), saya sudah habis jual semua stok,” katanya yang ditemui di kawasan Lembah Pantai.

Free advertising

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template