Friday, August 12, 2011

Kes Tajuddin-GLC: Nasihat Nazri tetap satu arahan, kata pakar




TMI - Datuk Seri Nazri Aziz tidak boleh “melarikan diri” dengan membuat helah bahawa beliau hanya memberi nasihat dan bukannya arahan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ekoran kontroversi berhubung langkah Putrajaya mahu menyelesaikan kes saman Tan Sri Tajuddin Ramli di luar mahkamah, kata seorang pakar perlembagaan.

Dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider, Prof Abdul Aziz Bari (gambar) berkata, di bawah konteks Perlembagaan Persekutuan sama ada Nazri, selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri, memberi nasihat ataupun arahan tidak penting.

Ini kerana jelas beliau, sebagai seorang anggota jemaah menteri Nazri memikul tanggungjawab kepada Parlimen, bermakna kepada rakyat mengenai apa yang berlaku ke atas GLC.

“Sekarang ini oleh kerana portfolio kewangan dipegang oleh Perdana Menteri, maka GLC diletakkan di bawah Nazri. Ini menyebabkan kebanyakan negara tidak meletakkan portfolio kewangan di tangan Perdana Menteri.

“Jadi susah. Tapi, tidak salah kerana siapa pun yang memegang portfolio itu Kabinet secara keseluruhan bertanggungjawab atas apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan,” kata beliau dalam satu kenyataan menerusi e-mel.

Dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider semalam, Nazri mengesahkan Putrajaya memutuskan untuk menyelesaikan kes saman dan saman balas membabitkan Tajuddin di luar mahkamah tetapi menafikan ia akan mengakibatkan usaha menyelamatkan hutang besar bekas pengerusi eksekutif Malaysia Airlines (MAS) itu.

Nazri berkata, semua GLC telah diarah agar menarik balik kes saman ke atas Tajuddin awal bulan ini untuk menamatkan kes saman melibatkan beliau.

Beliau menegaskan langkah itu bukan usaha “menutup dan menyembunyikan” sesuatu tetapi bagi mencari jalan penyelesaian selepas dicadangkan oleh “orang Tajuddin” kira-kira enam bulan lalu.

Justeru mengulas lanjut, Aziz yang juga pensyarah Universiti Islam Antarabangsa memberitahu, oleh kerana GLC adalah milik rakyat dan yang boleh dipertanggungjawabkan ialah kerajaan, maka Nazri tidak boleh melarikan diri dengan membuat helah bahawa beliau hanya “memberi nasihat dan bukan arahan kepada GLC.”

“Itu hanya istilah. Baik ia nasihat atau cadangan itu semua adalah perintah dan jika ia mengakibatkan kerugian umpamanya, maka kerajaan yakni Kabinet perlu menjawab kepada Parlimen,” kata beliau sambil menambah, dalam demokrasi yang sebenar pertanggungjawaban itu boleh membawa maksud meletak jawatan.

Aziz menambah, isu arahan menteri dalam soal GLC perlu difahami dalam konteks kerajaan berkabinet dan di bawah prinsip ini, kerajaan bertanggungjawab iaitu yakni memikul beban ke atas segala dasar dan tindakan kerajaan.

“Khususnya yang menyebabkan kerugian dan seumpamanya,” kata beliau lagi.

“Prinsip perlembagaan itu mempunyai implikasi bahawa seluruh Kabinet bertanggungjawab dan memikul segala tindakan dan kesannya.

“Logiknya memanglah menteri kewangan kerana beliau bertanggungjawab dalam soal fiskal. Tetapi seluruh Kabinet termasuk Perdana Menteri dan menteri-menteri lain pun terikat sama. Ini yang dimaksudkan dengan tanggungjawab bersama,” kata beliau lagi.

Kes berkaitan dengan Tajuddin telah ditangguhkan sehingga 29 September.


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template