Monday, August 1, 2011

Demokrasi Malaysia hanya dinikmati parti pemerintah


Roket Kini - Demokrasi di Malaysia hanya hebat pada nama sahaja kerana ia telah dirangka untuk memberi kelebihan kepada pemerintah sahaja sahaja, dan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat jelata.

Naib Pengerusi DAP, M Kula Segaran berkata, di Malaysia walau pun sudah lebih 50 tahun bebas dari penjajahan, demokrasi masih lagi dibelenggu dengan pelbagai akta zalim.

“Akta Ordinan Darurat, Akta Polis, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Rahsia Rasmi dan undang-undang darurat yang masih belum dilupuskan sejak lebih 40 tahun tidak melambangkan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi.

“Apa yang rakyat Malaysia perlukan ialah semua sistem demokrasi dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya kepada Roketkini.

Kula Segaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat berkata lapan tuntutan Bersih 2.0 yang telah menggembleng lebih 50,000 rakyat melalui perhimpunan aman 9 Julai lalu adalah petanda rakyat mahukan demokrasi tetapi ditolak oleh kerajaan UMNO-BN.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dipetik oleh media sebagai berkata: “…tidak ada siapa yang boleh menafikan bahawa sistem demokrasi berparlimen itu tetap wujud di negara ini.”

Kula Segaran berkata bahawa Perdana Menteri hanya mahu memperbodohkan rakyat Malaysia dengan kenyataan yang tidak cukup asas itu.

“Pendirian Najib langsung tidak menghairankan kita. Beliau telah putar belit demokrasi. Cuma dia sahaja yang merasai nikmat demokrasi itu.

“Jika benar Najib tahu tentang demokrasi yang masih ada di Malaysia, beliau akan mengkaji dan menerima tuntutan Bersih 2.0 sebagai lambang demokrasi.

Kula Segaran turut menyentuh mengenai sistem biometrik untuk pilihan raya yang dianggapnya membazirkan wang rakyat, dengan kos yang melebihi RM80 juta.

“Sistem biometrik tidak membawa kepastian untuk rakyat Malaysia bahawa seseorang itu hanya boleh mengundi sekali sahaja. Sebabnya ialah, sehingga sekarang, masih ada lagi rakyat Malaysia yang mempunyai lebih dari satu kad pengenalan,” katanya.

Menurutnya, Najib bukan saja boleh menjimatkan wang rakyat dengan memenuhi tuntutan Bersih 2.0 tetapi juga memulihakn imej negara yang tercemar akibat pelanggaran hak asasi terjadap rakyat pelbagai kaum di negara ini

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template