Thursday, August 11, 2011

Bonus: Isu ranting beri perhatian, akar pejam mata


Harakahdaily - Kerajaan akhirnya bersetuju meng'hadiah'kan bonus kepada 1.27 juta kakitangan awam yang bakal menikmati bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500, manakala setiap pesara kerajaan pula mendapat RM500 yang akan dibayar pertengahan bulan ini. Jumlah pembayaran bonus tahun dianggarkan sebanyak RM2 billion.

Maka kerajaan pun dilihat begitu prihatin dengan beban ditanggung rakyat akibat kenaikan harga barangan, lantaran Perdana Menteri sendiri menyebut pemberian bonus ini tidak lain adalah untuk meringankan beban perbelanjaan rakyat di musim perayaan ini.

Namun, dalam jangka pendek di mana kadar produktiviti pengeluaran adalah malar, maka kesan langsung dari lebihan wang dalam kitaran ekonomi ialah kenaikan harga barang yang berkali ganda mengikut hukum MV=PT dari teori Irving Fisher. Apatah lagi kes ketidakcukupan barang-barang keperluan untuk sambutan perayaan seringkali kita dengar yang sudah pasti mengakibatkan tingkat harga semakin melambung.

Jadi pemberian bonus yg diharap dapat mengurangkan beban perbelanjaan kakitangan awam itu sebenarnya tidak memberikan sebarang manfaat jika harga barang melambung tinggi dari kadar biasa. Logiknya, peningkatan nominal pendapatan kakitangan awam sebanyak 50% pada bulan ini tidak bermakna apa-apa apabila harga barang naik mendadak lebih dari kadar berkenaan hasil dari penguncupan kuasa beli mereka.

Kita juga ingin tahu dari sumber manakah kerajaan memperolehi dana berjumlah RM2 billion untuk pembayaran bonus berkenaan? Saya tidak fikir kerajaan sanggup mencetak wang semata-mata untuk tujuan ini. Jadi saya beranggapan ia hasil dari pinjaman kerajaan. Sudah tentu pemberian bonus ini bakal mengakibatkan jumlah pinjaman kerajaan meningkat sekaligus defisit kerajaan yang lebih tinggi.

Untuk tahun 2009 dan 2010, hutang kerajaan naik mendadak pada kadar lebih 50% dari KDNK (2009-55% dan 2010-54%), paling tinggi sejak krisis kewangan 1998. Malah melebihi purata pinjaman kerajaan sejak 1990 hingga 2010 iaitu pada 47%.

Bajet kerajaan juga masih terbelenggu masalah defisit sejak lebih sedekad lalu. Sejak dari krisis kewangan 1998 purata defisit kerajaan adalah 4-5% dari KDNK negara. Paling kritikal pada 2009 iaitu pada kadar lebih 7%. Walaupun tahun 2010 dapat dikurangkan ke 5.6%, namun pada 2011 ia dianggarkan dalam jajaran 5% juga. Tambah buruk lagi, peningkatan defisit adalah kerana bertambahnya perbelanjan pengurusan, bukannya perbelanjaan pembangunan.

Jika dana RM2 billion ini hasil pinjaman kerajaan, maka keputusan kerajaan memberikan bonus ini seolah-olah cuba menyelesaikan masalah kenaikan harga barang dan penguncupan kuasa beli rakyat sekadar melepaskan batuk di tangga, isu ranting yang diberi perhatian, akar permasalahannya dipejamkan mata. Yang nyata, kita berdepan dengan keadaan kewangan kerajaan yang cacamarba pengurusannya. Kita punya kerajaan yang tidak serius menangani kebajikan ekonomi rakyat.

Jika kerajaan benar-benar mahu mengurangkan beban rakyat, maka tunjukkan keseriusan dalam menangani maslah pembaziran, ketirisan, dan perbelanjaan melampau. Ingatkah anda lagi pada kos RM50 juta untuk melaksanakan program email 1Malaysia? Manakala RM1.8 juta pula disia-siakan untuk membayar kos penyelenggaraan laman Facebook Kementerian Pelancungan Malaysia oleh syarikat yang langsung tiada laman web! Jika anda teliti Buku Jingga oleh Pakatan Rakyat, anda sudah pasti berjumpa dengan pelbagai senarai ketirisan dan salah urus harta Negara hingga mengakibatkan ketirisan lebih RM28 billion. Ini bukan cerita rekaan, semua maklumat ini juga boleh didapati dari Laporan Audit Negara untuk beberapa tahun kebelakangan ini.

Rakyat sebenarnya berhak mendapat kualiti gaji yang memungkinkan kuasa beli yg lebih tinggi. Pemberian bonus secara one-off begini tidak membantu rakyat mencapai tahap itu. Kita perlukan pengurusan yang benar-benar berhemah, yang mahu meletakkan kebajikan rakyat sebagai matlamat utama. Peningkatan ekonomi tidak sekadar pada peratus kenaikan KDNK semata, namun kebajikan dan taraf hidup rakyat patut turut meningkat.

Kalau kita teliti pemberian bonus ini pun, sepatutnya ia berbentuk piramid di mana untuk kakitangan awam di peringkat tertinggi seperti JUSA patut tiada bonus diberikan, bagi kumpulan professional dan kumpulan A mendapat setengah atau sebulan gaji, dan bagi kumpulan sokongan dan pentadbiran sekurang-kurangnya 2 bulan gaji. Ini baru dilihat benar-benar prihatin dengan kebajikan rakyat.

Tidak hairanlah ada pembaca akhbar yang meminta CUEPACS menolak pemberian bonus setengah bulan ini dan mengharap badan penjawat awam itu terus mendesak kerajaan memberikan sekurang-kurangnya bonus dua bulan gaji dan juga menyemak kembali tangga gaji mereka. Atau adakah ini langkah kerajaan mengabui mata penjawat awam memandangkan ura-ura pilihanraya umum yang makin dekat?

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template