Saturday, August 13, 2011

Bawa ke mahkamah jika ada bukti Muslim dimurtadkan, PAS gesa Jais


TMI - PAS mengumumkan pendirian rasminya mengenai serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah gereja minggu lalu sambil menegaskan, agensi itu harus mengambil tindakan segera jika ada bukti penganut Kristian memurtadkan Muslim.

Pemimpin-pemimpin PAS berkata keputusan tersebut selari dengan kedudukan parti itu yang diasaskan mengikut prinsip Islam.

Malah kata mereka, PAS tidak akan berkompromi dalam isu-isu yang menyentuh hal ehwal Islam.

“PAS sebuah parti Islam. Perlembagaan kami mengatakan bahawa Islam adalah asas kami dan al-Quran.

“Keutamaan PAS adalah mempertahankan kesucian Islam, tiada kompromi apabila ia berhadapan untuk mempertahankan kepercayaan (kami),” kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu (gambar) selepas mempengerusikan mesyuarat biro politik di sini petang ini.

“Kami mengambil pendirian bahawa jika Jais ada bukti yang secukupnya, mereka harus mengambil tindakan segera ke atas mereka yang mahu menukar agama orang Islam atau merosakkan kepercayaan Islam mengikut peruntukan Enakmen Islam Negeri Selangor,” kata Mohamad.

Kata beliau, biro politik mengadakan mesyuarat petang ini untuk memutuskan pendirian parti itu berhubung kontroversi semasa.

Bagaimanapun ketika ditanya sama ada parti itu merestui serbuan Jais ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub yang turut hadir berkata, “tidak.”

Kemudian, Mohamad menambah, PAS hanya akan menyokong tindakan Jais jika ia ada bukti kukuh wujudnya usaha mahu memurtadkan orang.

Sebelum ini pemimpin-pemimpin PAS kelihatan berbelah bahagi berhubung pendirian mereka dalam isu ini.

Mengenai rancangan PAS mahu mengadakan pertemuan dengan pengurusan gereja, Setiausaha Agung parti Datuk Mustafa Ali mengesahkan sudah menerima surat untuk mengadakan pertemuan Selasa ini.

Bagaimanapun menurut beliau, Jais menolak untuk mengadakan pertemuan, dipercayai atas nasihat Sultan Selangor memandangkan siasatan mengenai insiden 3 Ogos lalu belum lengkap.

“Kami menghormati keputusan mereka,” kata Mustafa.

Dalam pada itu seorang lagi Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar menggesa Jais mempercepatkan siasatan bagi mengelakkan pelbagai spekulasi mengenai isu sensitif terbaru ini.

Ketika ditanya sama ada keputusan hari ini akan menjejaskan hubungan parti itu dengan rakan-rakan bukan Islam dalam Pakatan Rakyat, Mohamad tidak bersetuju dengan andaian sedemikian.

“Ini adalah asas kepada perjuangan parti. Tiada sebab ia akan menjejaskan hubungan,” katanya lagi.

Beliau juga menafikan khabar angin dalam blog-blog pro-Umno mendakwa pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat cuba campur tangan bagi mengelak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) daripada menyita bangunan Gereja Methodist Damansara Utama.

Blog itu menambah, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Exco Kerajaan Negeri Teresa Kok dan Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad telah menghubungi MBPJ agar menghentikan kerja menyita bangunan gereja itu.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template