Tuesday, August 16, 2011

Air laici restoran Mamak RM5.30 segelas?


TMI - Sebuah restoran Mamak di ibu negara didapati cuba mengambil keuntungan secara berlebihan dengan mengenakan harga RM5.30 bagi segelas air laici.

Dipetik Bernama Online, seorang pengadu memberitahu hari ini, ketika mendapat bil setelah makan di sebuah restoran Mamak di sini baru-baru ini, beliau terkejut dengan harga bagi segelas air laici itu.

Katanya apabila ditanya seorang pekerja, beliau diberitahu bahawa harga itu ditetapkan oleh pengusaha restoran seperti yang tercatat pada senarai harga makanan dan minuman di restoran itu.

Pengadu berkenaan berkata beliau hairan dan kesal kerana harga segelas air laici yang ditetapkan itu lebih mahal daripada setin laici hancur yang harganya tidak melebihi RM3 satu tin.

Sehubungan itu, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) ketika dihubungi menggesa pengusaha restoran India Muslim di negara ini bertindak lebih rasional dalam meletakkan harga makanan dan minuman agar tidak mengaut keuntungan berlebihan sehingga membebankan pengguna.

Pengarah Komunikasinya, Mohd Yusof Abd Rahman berkata, walaupun harga makanan dan minuman bukan di bawah barangan kawalan, ini tidak bermakna peniaga boleh sewenang-wenangnya meletakkan harga yang tidak berpatutan kepada para pelanggan yang datang menjamu selera ke restoran mereka.

“Mereka juga perlu sedar, bahawa jika didapati bersalah dalam hal ini (mengaut keuntungan berlebihan) mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan yang dikuatkuasakan April lepas,” katanya.

Mohd Yusof turut menasihatkan pengguna supaya memboikot mana-mana restoran yang didapati meletakkan harga yang tidak munasabah sebagai pengajaran kepada pengusaha restoran tersebut.

“Jika ramai daripada pengguna yang tidak lagi pergi ke restoran mereka, sudah pasti mereka akan menanggung kerugian sekaligus ini dapat memaksa mereka menurunkan harga atau meletakkan harga yang lebih setimpal,” katanya.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan India Muslim Malaysia, Datuk Jamarul Khan Kader turut berpandangan bahawa pengguna seharusnya lebih bijak dalam memilih restoran yang menyediakan harga makanan dan minuman yang berpatutan.

“Sekiranya tidak pasti, pelanggan boleh merujuk kepada menu yang disediakan, dan jika ada masalah seperti harga tidak sama seperti dalam menu, harga tidak jelas atau tiada tanda harga di restoran tersebut, mereka boleh terus mengadu kepada KPDKNN bagi memastikan mereka tidak teraniaya.

“Kita mengakui, mungkin ada segelintir restoran yang mengenakan kadar harga yang agak tinggi, tapi ini bergantung kepada lokasi restoran, kualiti serta kuantiti makanan dan minuman yang disediakan.

“Justeru, kita nasihatkan, kalau pengguna rasa terbeban atau teraniaya boleh mengadu terus kepada kerajaan, sebab kita pun tak seronok mahu berniaga jika pelanggan mengalami kerugian atau akhirnya memboikot untuk tidak ke restoran Mamak lagi,” katanya ketika dihubungi.

1 comments:

Anonymous said...

boikot je restoren mamak ni...dah le mahal...sesetengah tu kotor ya rabbi...pekerja impot dr india...penah sekali kawan teman test...x boleh mengucap.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template