Wednesday, July 13, 2011

Takut-takut berani 9 Julai


Pada 9 Julai jam enam petang, kami berada di sebuah restoran mamak bersembang selepas pertembungan antara polis Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan puluhan ribu rakyat, di Jalan Ampang berhampiran KLCC.

Masing-masing antara kami bercerita mengenai pengalaman yang ditempuhi ketika di perhimpunan aman Bersih 2.0 di sekitar Kuala Lumpur.

“Weh, masa dekat Maybank tadi, kau ada dengar tak bunyi ‘ptut, ptut, ptut’?” soal seorang jurugambar yang baru aku kenal.

“Alah… Itu DBKL tembak gagak tu,” kata Syahrul, spontan sambil menjamah makanan.

***

Aku dan teman wanita baru sampai di persimpangan Jalan Hang Tuah dan Jalan Bukit Bintang, dari Stesen LRT Pudu bila di sebelah kiri kami, di bawah stesen monorel Hang Tuah, sekumpulan kecil manusia berarak menghampiri kami.

Menurut seorang pakcik dari kumpuluan kecil ini yang dianggar lebih kurang 50 orang, mereka adalah serpihan dari kumpulan besar yang telah dikepung oleh FRU di sepanjang Jalan Tun Perak.

Cukup lantang suaranya, berjaya sampai ke telinga aku sedangkan di dalam kumpulan kecil ini sudah bermula laungan slogan-slogan yang menaikkan semangat, sambil memanggil orang-orang lain yang berada di bawah bangunan menyertai mereka.

“Bersih, Bersih, pilihan raya!, Turun, turun, Najib kotor.”

Begitulah antara slogan yang dilaungkan ketika aku menyertai kumpulan kecil ini, dan sebelum kumpulan ini berhenti di hadapan Hotel Swiss Garden, Jalan Pudu. Ini disebabkan lebih dari 30 FRU telah bersiap sedia dengan perisai dan topi keledar merah mereka, berbaris menunggu ketibaan kami.

Hujan yang renyai semakin lebat, dan dalam masa sama, aku terima pesanan SMS dari seorang rakan di Masjid Jamek bahawa ratusan polis masih menembak gas pemedih mata terhadap rakyat yang berhimpun di sekitar Jalan Tun Perak.
Maknanya ketibaan kami agak terlewat sedikit untuk menyertai mereka – gerakan yang sedang ‘dibelasah’ dan dikepung anggota penguatkuasa.

Sementara itu, kumpulan kecil kami semakin bertambah bilangannya. Pelbagai kaum dan pelbagai jenis fesyen sudah berada di dalam kelompok kami.

Tanpa disedari kumpulan kami secara spontannya bergerak, mengambil jalan tengah, dari berhadapan dengan FRU. Kami berpecah melalui lorong-lorong kecil menembusi Jalan Tangkat dan sampai di stesen minyak Shell di Bukit Ceylon.

Sesampai di Shell, sisa-sisa gas pemedih mata – kemungkinan ditolak angin dari Menara Maybank – masih terkesan.

Stesen minyak yang ditutup dari beroperasi itu bagaimana pun masih buka kaunternya untuk jual minuman. Dan secara beradabnya, orang ramai beratur panjang membeli minuman mineral, jauh sama sekali dari apa yang aku jangkakan sebelum ini bahawa akan terjadi pecah kedai, dan huru-hara.

Budaya Timur masih dikekalkan nampaknya, walau pun dalam situasi kekacuan dan ‘pancingan’ oleh pihak penguasa, serta media anjuran kerajaan yang kononnya akan berlaku huru-hara yang dahsyat di Kuala Lumpur pada 9 Julai, jelas tidak tepat sama sekali.

Siapa kata rakyat Malaysia yang menyertai perhimpunan aman Bersih ini ‘kotor’?

Sementara semua orang berehat di pinggiran jalan, anggaran orang ramai yang berhimpun bersama sudah berlipat kali ganda. Kelihatan anggota Unit Amal dari PAS yang berikatkan kain merah di lengan, berada di hadapan sekali membantu orang ramai untuk bergerak ke Menara Maybank.

Bagaimana pun, atas sebab yang aku sendiri tidak faham, kumpulan kami berundur dari Shell Bukit Ceylon. Teman wanita ku masih menggenggam rapat beg sendeng ku yang berisi Panasonic Lumix. Katanya, dia takut, jika aku turut berada dalam kekecohan yang mungkin berlaku bila-bila masa, akan meninggalkan dia.

Dari Shell, kumpulan yang kali ini sudah tersusun, mula menghala ke Jalan P Ramlee, menelusuri Jalan Sultan Ismail, belok ke Jalan Ampang dan menuju ke Jalan Gereja: untuk kembali ke Jalan Tun Perak.

Di persimpangan Jalan Dang Wangi dan Jalan Ampang, anggota Unit Amal memberhentikan kumpulan. Lagi. Serta merta dengan si gadis yang dari tadi asyik mengekori aku mencelah di antara orang ramai, mara ke hadapan barisan kumpulan untuk bersama Unit Amal dan lain-lain wartawan serta entah siapa lagi.

Dari depan, barulah aku nampak apa yang terjadi dengan mata kepala sendiri, berbanding berada di dalam ‘crowd’ yang rata-rata hanya menjerit dan mengeluarkan spekulasi yang entah benar, entah salah.

Ada sebuah motosikal yang aku percaya dibonceng oleh seorang polis berpakaian preman berunding dengan salah seorang ketua Unit Amal.

“Belakang sana (belakang kumpulan yang datang dari bangunan Maybank) kami dah bersiap sedia, kalau korang tak berpecah, kita akan guna kekerasan,” katanya sedikit lembut kepada kepala Unit Amal tersebut.

Lantas aku menarik teman wanita keluar dari perbincangan mereka dengan niat untuk menyertai kumpulan yang datang dari Menara Maybank tersebut.

Dalam perjalanan menghampiri kumpulan itu, kelihatan beberapa pelancong Arab juga turut bersama kami berjalan menghala ke arah kumpulan tersebut.

“You’re for the revolution?” aku soal sambil tersenyum.

“What? Revolution?” katanya terkejut sambil berhenti dari menarik bagasinya.

Begitulah betapa amannya perhimpunan Bersih, sehinggakan pelancong pun tidak sedar bahawa Kuala Lumpur, yang menurut akhbar Utusan Malaysia pada hari itu, ‘sedang darurat’.

Ya, kota ini memang darurat. Jalan raya sekitar segi tiga emas ini lengang, dan semua pasar raya diarahkan supaya tidak beroperasi pada hari ini. ‘Darurat’ ini adalah akibat dari kedurjanaan pemerintah yang sengaja memanipulasikan pemikiran rakyat, ditambah pula dengan perkataan-perkataan yang bernada negatif seperti ‘kotor,’ ‘haram,’ ‘ancam,’ dan sebagainya di dalam media.

Dan pelancong Arab tersebut pun berlalu meninggalkan kami, bersahaja. Seolah tiada apa-apa yang berlaku.

“Depa punya revolusi lagi teruk la dari kita. Ni depa siap boleh lenggang kangkong saja. Kita punya ni tak teruk sangat la…” kata teman wanita ku.

***

Seorang sahabat dari Ipoh yang baru aku kenali, Khail, juga turut dengan aku meninggalkan Unit Amal yang masih mengawal kumpulan dari maju ke hadapan.

“Ah, sudah,” katanya, “Sepatutnya kita semua join group yang depan, patah balik ke Maybank,” kata Khail kepada aku.

“Yalah, alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan,” sampuk teman wanita aku.

“Betul, bersatu kita teguh, bercerai kita kahwin lain,” balas Khail sambil ketawa, entah sama ada dia memperli aku atau kumpulan yang masih berbincang dengan anggota polis itu.

Sebaik mengampiri kumpulan kecil tersebut, kumpulan itu pula semakin maju menghampiri kami.

“Ah! pulak! Dah lah kita datang lewat, nak join crowd sana tak boleh pulak. Ini apa hal ni?” tiba-tiba pula saudari aku (yang sebelum ini takut-takut manja) lantang bersuara.

Terdetik dalam fikiran aku, kenapa dalam mana-mana perhimpunan, kecuali perhimpunan sekolah, sangat senang emosi manusia dihayun sehingga boleh menimbulkan perasaan yang kalau bukan radikal, mungkin bersemangat?

Bagaimanapun, aku tinggalkan persoalan itu dengan berundur kembali dan bergabung bersama kumpulan asal tadi. Sehingga sampai di KLCC, beberapa pemimpin NGO dan Pakatan Rakyat memanjat sebuah kotak Telekom/pencawang kecil.

Empat mereka yang terdiri dari dua bangsa mula bersuara sebaik petugas-petugas Unit Amal menyuruh orang ramai duduk, betul-betul di lampu isyarat Jalan Ampang-Jalan P Ramlee di KLCC.

“Apa kejadah pula suruh duduk ni? Orang nak revolusi,” ada suara-suara belakang menjerit. Bagaimanapun, ia tak diendahkan sangat kerana semua yang mula duduk di atas jalan raya itu sedang menumpukan perhatian kepada pemimpin politik tersebut.

“Kita sudah menang!” jerit Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli, “Perhimpunan aman ini berjaya! Ada tak kedai-kedai yang dipecah?” soalnya kepada hadirin yang cepat membalas dengan jawapan, “Tidak!”

Jarak aku tidaklah berapa jauh hanya beberapa meter sahaja dari empat pemimpin ini yang antaranya ialah pemimpin Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shahrin (Cikgu Bard); Ahli Majlis Tertinggi PKR Dr Chua Jui Meng; dan Ketua Pemuda PAS Nasrudin Tantawi. Masa itu dengarnya kawan-kawan dari DAP disekat di kawasan Pudu dekat Hospital Tung Shin.

Kerana bosan dengan ceramah kemenangan tersebut, saudari aku beri isyarat kepada aku yang masih setia, untuk beredar dari ‘majlis’ santai di tengah jalan raya ini.

Sebaik bangun, barulah aku tersedar dan terpegun dengan jumlah orang ramai yang sudah berada di sekeliling kami. Anggaran aku, hampir 30,000 orang ramai dari pelbagai lapisan usia, bangsa, jenis fesyen serta status sedang mengelilingi kami!

Err… maksud aku, puluhan ribu rakyat ini sedang mengelilingi empat pemimpin yang aku sebut sebelum ini.

Dalam masa yang sama juga, sebuah puyuh polis terbang dengan kipas yang kuat betul-betul berada di atas kepala kami.

Ketika inilah, beberapa concerned citizens mula mengeluarkan telefon bimbit canggih mereka, merakam gambar helikopter itu. Kemungkinan untuk Facebook dan blog, untuk diceritakan kepada rakyat lain yang tak berkesempatan menyertai perhimpunan paling aman dan paling bersejarah ini untuk sebaran kepada penduduk kampung masing-masing, mungkin.

Dan angin helikopter itu juga sungguh menyenangkan. Cuaca yang tadinya mendung sudah cerah, dan polis serta FRU juga tidak ada.

Beberapa gadis hipster yang ikal rambutnya berterbangan mengurai bagaikan iklan pencuci rambut, sementara gadis-gadis yang berpurdah, kainnya terbang melayang a la gambar terkenal Marilyn Monroe itu ada berhampiran kami.

Sebaik menoleh ke belakang, pertama kali dalam sejarah sebagai rakyat yang tidak pernah melakukan jenayah, terlihat di hadapan mata sendiri, hampir enam orang anggota polis berpakaian preman dan seragam sedang memijak-mijak seorang lelaki.

Cepat-cepat dirakam gambar itu dari jarak jauh. Tapi Nampak kabur atas skrin. Kerana kelemahan dan malas belajar tentang ilmu kamera ini, aku terpaksa menghampiri polis yang sedang sibuk membelasah lelaki tersebut.

Jejaka yang dibelasah itu seolah-olah diperlakukan seperti makhluk yang paling dibenci galaksi oleh polis-polis itu. Aku terfikirkan, bagaimanalah kalau anak polis-polis itu yang berada di tempat mangsa tersebut, dan apa reaksi jika bapanya melihat perilaku tidak berperikemanusiaan tersebut.

Bagaimana pun, sebaik aku hampiri, melihat dari skrin kamera, seorang polis wanita yang agak jelita menunjuk-nunjuk ke arah aku.

Serta-merta sebahagian lirik dari NOFX terngiang di telingaku: “Got maced by female police/

In hot black uniforms and boots/ I got one’s e-mail address.”

Terasa bagai hendak mengurat, tetapi teringat pula saudari ku yang dari tadi asyik mengekori aku. Tambahan pula rasa bersalah melihat lelaki yang terus dibelasah di hadapan ku.

Aku tinggalkan polis jelita itu, sambil berjalan untuk mengambil gambar trak meriam air yang waktu itu sedang bergerak mendahului barisan FRU menuju ke arah kumpulan yang sedang berhimpun di depan bangunan Avenue K itu.

Kasihannya, pancutan meriam air tersebut terlampau lemah. Air yang ditujukan kepada orang ramai langsung tidak mengena sesiapa. Seolah-olah sekeping CD yang sudah rosak, sudah tak boleh main.

Dalam masa sama, laungan pembesar suara datang entah dari ceruk mana berbunyi: “Jangan bergerak, atau kami akan gunakan kekerasan.”

Orang ramai buat tidak peduli dan terus bergerak membelakangi polis menuju Ampang Park, Jalan Tun Razak dan sebagainya…

Begitulah detik-detik akhir perhimpunan aman Bersih. Seperti apa yang diterangkan Dr Hatta, memang tiada kekacauan, kerosakan harta benda awam, atau apa-apa jenis huru-hara seperti yang acap kali kita tonton di filem-filem Hollywood. Kecuali polis menyerang orang, menembak gas pemedih mata, menembak pancutan air dan memaki-hamun orang ramai.

***

Selepas Syahrul bercerita tentang gagak tadi, aku dan beberapa kawan-kawan lama yang secara kebetulan terjumpa, terus menikmati minuman sambil bercerita mengenai pengalaman masing-masing.

“Weh, masa dekat Maybank tadi, siapa yang mula dulu,” soal aku.

“Alah… buat-buat bodoh pulak. Macam kau sendiri tak tau siapa yang mula dulu,” kata Syahrul spontan sambil menjamah makanan.

Rasa seronok dalam satu pesta demokrasi. Masa itu kami tidak sedar pun seorang insan tak berdosa telah menjadi korban mangsa huru-hara yang dicetuskan polis. Dengarnya begitulah…

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template