Saturday, July 23, 2011

Reaksi positif SPR terhadap tuntutan Bersih

PETALING JAYA: Empat dari lapan tuntutan Bersih 2.0 mendapat reaksi positif dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hasil pertemuan selama dua jam bersama PAS Selangor semalam.
Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri III, Khalid Abdul Samad, respon positif diterima berhubung tuntutan menghapuskan rasuah, mereformasikan undi pos, akses kepada media dan membersihkan daftar pemilih.
“SPR beri jaminan untuk berusaha memastikan pilihan raya di Malaysia sebersih yang mungkin.
“Kita pun telah sebut persepsi bahawa Bersih dengan SPR ini seolah-olah bertembung harus dihapuskan kerana sepatutnya kita melihatnya sebagai usaha ke arah yang sama iaitu untuk membersihkan proses pilihan raya di Malaysia,” katanya yang juga ahli parlimen Shah Alam.
Dalam pertemuan kira-kira dua jam itu, PAS Selangor mengemukakan fakta dan bukti mengenai daftar pemilih yang tidak bersih iaitu terdapat pertindihan yang berlaku dalam daftar pemilih.
Teknologi maklumat
Menurut Khalid, ianya dapat dikesan melalui pasukan teknologi maklumat PAS Selangor yang menemui pemilih yang mempunyai nombor kad pengenalan lama dan baru sekaligus.
Empat lagi tuntutan Bersih 2.0 yang masih belum dipersetujui SPR adalah, penggunaan dakwat kekal, tempoh kempen minima 21 hari, hentikan politik kotor dan perkukuhkan institusi awam.
“Kita telah serahkan bukti-bukti bantahan seperti berlakunya pertindihan nama dan nombor kad pengenalan dalam daftar pemilih kepada SPR.
“Kebanyakkan isu yang kita bawa dalam pertemuan ini adalah tuntutan bantahan PAS sebelum ini terhadap isu daftar pemilih di negeri Selangor,” katanya.
Khalid berkata SPR menerima baik bantahan seperti ini dan berusaha untuk membuat siasatan bagi menyelesaikan isu daftar pemilih dengan segera.
Turut bersama dalam pertemuan tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr. Abdul Rani Othman dam peguam PAS, Mohd Khairuddin Othman.
Manakala SPR diwakili pengerusinya sendiri Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, timbalannya Wan Ahmad Wan Omar dan setiausaha Datuk Kamaruddin Mohamed Baria.
Sebelum ini, PAS Selangor telah mengadakan beberapa siri bantahan kepada SPR berhubung dakwaan berlakunya pertindihan nama dan pengundi hantu dalam daftar pemilih SPR
Antara peminpin PAS yang membuat bantahan terhadap SPR adalah Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud dengan 125 bantahan.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template