Saturday, July 16, 2011

PAS mahu MB Kedah jelas larangan pusat hiburan ketika Ramadan


The Malaysian Insider - PAS mahu kerajaan negeri Kedah pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) agar memberi penjelasan kepada jawatankuasa kerja pusat parti itu esok rasional larangan penuh ke atas operasi pusat-pusat hiburan semasa Ramadan yang bermula bulan depan.

Kerajaan negeri memutuskan untuk melaksanakan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 sepenuhnya tahun ini.

Nain Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata taklimat khas dipanggil ekoran langkah kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu kini menjadi satu isu kebangsaan ekoran liputan meluas media.

“Ada keperluan untuk diketahui alasan kerajaan negeri,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

“Ada keperluan bagi kami mendengar dan mengadakan satu perbincangan mengenai perkara ini,” kata beliau lagi.

Bagaimanapun menurut Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Azizan yang diminta memberi penjelasan tidak dapat hadir sebaliknya akan menghantar wakil ke mesyuarat esok.

Azizan juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah.

Kelmarin, Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata perkara tersebut akan dibangkitkan pada mesyuarat kepimpinan Pakatan Rakyat minggu depan.

Sementara MCA dan Gerakan membantah langkah itu sejak awal minggu ini, Azizan berkata, peraturan dan undang-undang pusat hiburan yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan di Kedah tertakluk kepada Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan yang wujud sejak 1997, dan bukannya satu dasar baru.

Kata beliau, enakmen itu terpakai sejak Barisan Nasional mentadbir Kedah, cuma tidak dikuatkuasakan sepenuhnya sebelum ini.

Beliau berkata, di bawah enakmen itu, kategori hiburan yang tidak boleh diadakan sepanjang Ramadan ialah pertunjukan pancaragam, persembahan nyanyian di hotel, restoran dan bar, warung kopi, karaoke dan disko.

Kata beliau, terdapat pengecualian untuk pertunjukan berkaitan keagamaan dan kepercayaan sesuatu kaum dengan syarat tidak menimbulkan kekacauan, selain mendapat sokongan daripada pegawai pelesenan.

Langkah kerajaan negeri dipertahankan oleh Dewan Pemuda PAS pusat dan Persatuan Ulama Malaysia.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template