Thursday, July 21, 2011

Mengapa tidak Mahathir Mohammad, Onn Jaafar atau mana-mana tokoh negarawan dan akademik yang lain? Mengapa perlu IBRAHIM ALI?


Rasional Anugerah Ibrahim Ali



Merdeka Review - Anugerah Kepimpinan Ibrahim Ali harus dilihat dari pelbagi sudut dan perspektif, apalagi kita berada dalam satu situasi yang saling kontra dan sudah lama hidup dalam perbezaan.

Samada wujud, secara tidak langsung segregasi dalam "masyarakat" mahupun kelompok-kelompok tertentu dalam institusi politik, agama, pendidikan dan sebagainya, tindakan UiTM melalui Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu, IMPAK, sebagai sebuah universiti terbesar di Malaysia menerima dan menawarkan anugerah ini untuk pelajarnya cuma bersifat pilihan!

Kecenderungan (bias) politik (partisan) dalam pentadbiran institusi pendidikan di Malaysia telah lama wujud dan menjadi amalan dan kita tidak perlu terkejut akan hal ini.

Sudah tentu umum tahu, kecenderungan susuk Ibrahim Ali, harus kita bersetuju bahawa beliau merupakan seorang tokoh terkenal yang memperjuangkan bangsa Melayu; susuk ini sudah menjadi symbol "ketuanan Melayu"-malah, sejak PERKASA ditubuhkan, politically; ia lebih lantang dari UMNO sendiri.

Perjuangan radikal yang dipacu Ibrahim Ali adalah antara ujian besar buat cita-cita murni pembentukan Bangsa Malaysia.  Ia juga merupakan cabaran buat Gagasan 1Malaysia yang diasaskan Najib.

Adapun perjuangan Ibrahim Ali dilihat melanggar semangat Perlembagaan Persekutuan dan berbahaya kepada rakyat pelbagai kaum; kepedulian beliau terhadap permasalahan dan isu-isu Melayu walau bagaimanapun dilandaskan kepada kewajaran-kewajaran tertentu apatah lagi suara-suara beliau dilindungi tangan-tangan politik berautoriti walaupun sebenarnya terkeluar dari pokok pangkal masalah.

Di sinilah peranan kita sebagai rakyat samada non-partisanmahupun sebaliknya untuk berfikir, bertindak, menerima dan merayakan perbezaan yang wujud di celah saki-baki ruang demokrasi sedia ada.

Secara dasarnya, Anugerah Kepimpinan Ibrahim Ali merupakan sebuah justifikasi yang bersifat konstruktif dan heroik dalam meneruskan hayat politiknya, memperluas, menerap dan memperkukuhkan ideologi tempang "ketuanan Melayu" beliau kepada mahasiswa walaupun dilihat ketinggalan zaman, konservatif dan mampu mengancam keselamatan negara.

Bagi pihak UiTM menerusi IMPAK dan tentu sekali Ibrahim Ali (gambar kanan), mungkin ada kewajaran tertentu anugerah ini diwujudkan.  Akan tetapi, dalam konteks Malaysia dan masyarakat pelbagai kaum ketika ini apatah lagi dengan kesedaran dan gelombang baru pemikiran rakyat secara umumnya khusus buat anak-anak muda dan golongan mahasiswa; dengan imej peribadi, ideologi ketuanan dan organisasi yang dipimpin Ibrahim Ali, anugerah ini gagal menemukan rasionalnya yang akhirnya memalukan.

Ramai yang tertanya-tanya mengapa Ibrahim Ali?  Mengapa tidak Mahathir Mohammad, Onn Jaafar atau mana-mana tokoh negarawan dan akademik yang lain?  Mengapa perlu Ibrahim Ali?  Apakah sumbangan terbesar beliau kepada Malaysia? Beliau pernah menjadi aktivis mahasiswa satu ketika dahulu dan pernah ditahan ISA selama dua tahun, kini menjadi ahli Parlimen bebas, presiden PERKASA dan adakah ini cukup sebagai kayu ukur kepada "anugerah" yang ditawarkan oleh sebuah universiti terbesar yang dibanggakan?  Secara tidak langsung anugerah ini telah menjatuhkan imej UiTM itu sendiri.

Sekali lagi; apakah rasional anugerah ini?  Dan apakah anugerah ini mampu untuk membangun minda mahasiswa bumiputera yang segar, hebat, terbuka, tercerahkan dan bersedia untuk bersaing dengan zaman selain kesedaran untuk mandiri?

Lantas mampu untuk mengemudi permasalahan bangsa dan bersikap tidak eskapis justeru menjadi sebagai golongan pendesak yang kuat kepada kerajaan dalam memperjuangkan nasib rakyat anak bangsa Malaysia seluruhnya.

Sehingga detik ini.  Isu anugerah Kepimpinan Ibrahim Ali telahpun mendapat maklumbalas yang meluas dari pelbagai pihak malah maklumat dan butiran untuk anugerah tersebut telahpun dikeluarkan dari laman web IMPAK dan rasanya tidak perlulah Sahol Hamid sebagai Naib Canselor memanjangkan perkara ini ke pihak Senat dan Lembaga kerana ia memang memalukan!
*Hafiz Zainuddin ialah kolumnis MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.



Jom Ubah

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template