Sunday, July 10, 2011

Kematian Baharuddin cungkil kemarahan ramai



Merdekareview - Kira-kira 500 orang menghadiri upacara pengebumian Allahyarham Baharuddin Ahmad, yang meninggal dunia selepas menyertai perhimpunan BERSIH 2.0, semalam.  Allahyarhan Baharuddin Ahmad, pada usia 59 tahun, meninggal kerana sesak nafas, dipercayai terhidu gas pemedih mata yang keterlaluan, semalam.

Menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Lee Khai Loon, kematian Baharuddin mencungkil kemarahan orang ramai.  Pengerusi BERSIH 2.0, Ambiga Sreenevasan, dan anggotanya Maria Chin, Zaid Kamaruddin, Pesuruhjaya SUHAKAM Muhammad Sha'ani B. Abdullah, Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Naib Presidan PKR Tian Chua, Bendahari Agong PKR William Leong, Setiausaha Agong PSM Arutchelvan hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Selain itu, Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu turut hadir walaupun dalam keadaan cedera, akibat pertembungan yang berlaku ketika penangkapan polis, dalam perhimpunan BERSIH 2.0, semalam.

Jenazah Allahyarham Baharuddin telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 Keramat setelah disolatkan.  Baharuddin adalah suami kepada Ketua Wanita Cabang Titiwangsa, Rosni.

Lee Khai Loon ketika dihubungi MerdekaReviewberkata, AMK kesal dengan kejadian ini, kerana menganggap pihak polis tidak perlu menyuraikan perhimpunan aman BERSIH 2.0 dengan meriam air kimia dan gas pemedih mata.  Ketika menyanggah kenyataan Ketua Polis Negara Ismail Omar bahawa polis bertindak dengan profesional tanpa menggunakan kekerasan yang tidak wajar, Lee Khai Loon berkata kejadian kematian Allahyarham Baharuddin membuktikan bahawa polis benar menggunakan kekerasan sehingga ada yang tercedera, malah menyebabkan kematian.

Lee menambah, jelas peserta tidak mempunyai senjata, "paling banyak baju kuning yang berada dalam tangan".  Lee juga mengkritik bahawa polis melepaskan gas pemedih dan meriam air berkimia di Hospital Tong Shin, malah masuk ke dalam perkarangan hospital untuk menangkap orang.

"Tindakan polis untuk menekan bercanggah dengan hak asasi manusia, malah melanggar etika polis," tambahnya, sambil membidas bahawa Ismail Omar berbohong secara terbuka.
Polis: Tiada kaitan dengan kematian

Sementara itu, menurut laporan media, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Amar Singh berkata laporan bedah siasat awal menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat penyakit jantung yang dialaminya.
Beliau berkata, siasatan mereka tidak menemui sebarang kecederaan luaran, ataupun kecederaan dalaman.
Dalam satu sidang media yang diadakan semalam, Ismail Omar menafikan bahawa polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air berkimia ke dalam perkarangan Hospital Tong Shin, mendakwa ia "khabar angin" semata-mata.  Malah, Perdana Menteri Najib Razak mengucap "tahniah" kepada pasukan keselamatan, "khususnya polis yang telah bertindak untuk menyuraikan perhimpunan itu dengan sebaik-baiknya dan saya berharap apa yang telah berlaku hari ini dijadikan iktibar kepada rakyat Malaysia."

Baca: Peserta perhimpunan meninggal kerana sesak nafas terhidu gas pemedih

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template