Tuesday, July 19, 2011

Info palsu: Kumpulan NST perlu tanggungjawab, kata Kit Siang

Lim berkata New Sunday Times dan Berita Minggu telah melanggar etika kewartawanan. — Foto fail

The Malaysian Insider - Pengurusan dan wartawan kanan Kumpulan New Straits Times (NST) perlu bertanggungjawab atas maklumat palsu menggambarkan seorang anggota Unit Amal PAS ketika perhimpunan Bersih 2.0.

Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, gambar tersebut disiarkan di muka hadapan akhbar terbabit pada 10 Julai lalu menunjukkan Abdul Razak Endut, 32, dari Temerloh sebagai seorang pengganas dan penunjuk perasaan bersenjatakan pisau.

“Akhbar itu menggambarkan anggota Unit Amal tersebut bersenjatakan pisau sedangkan dia hanya memegang bendera Malaysia dan dia juga tidak membaling batu ke arah pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen ini berkata, tindakan akhbar tersebut juga telah melanggar prinsip asas dan etika kewartawanan yang mana ia berperanan sebagai satu medium untuk menyampaikan perkara yang benar dan adil.

Tambah Lim, New Sunday Times dan Berita Minggu telah melanggar etika kewartawanan secara terang-terangan dan oleh itu kumpulan tersebut harus bertanggungjawab.

“Tindakan akhbar ini merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab dan perbuatan menghina, bukan sahaja terhadap profesion wartawan, tetapi ia juga merugikan pembangunan negara,” katanya.

Pada 10 Julai lalu, akhbar Berita Minggu dan New Sunday Times memaparkan gambar Abdul Razak yang dengan kemeja-T putih dan menggunakan kain berwarna hitam untuk menutup mukanya.

Selain itu, gambar tersebut juga menunjukkan Abdul Razak diselubungi asap dan dilihat sedang membaling sebuah objek menggunakan tangan kirinya manakala tangan kanannya didakwa memegang sebilah pisau.

Akhbar itu menyiarkan gambarnya dengan tajuk: “Seorang perusuh membawa pisau dalam perhimpunan haram” manakala tajuk kecilnya pula berbunyi, “Perusuh guna senjata, batu, lawan polis”.

Gambar yang sama juga dimuatkan di halaman utama New Sunday Times dengan tajuk: “Peaceful?”

Abdul Razak pada Sabtu lalu juga tampil mendedahkan perkara sebenar.

Beliau menafikan membawa pisau dan memberitahu bahawa apa yang dipegang olehnya merupakan bendera Malaysia dan tidak membaling batu ke arah polis.

“Apabila polis menembak gas pemedih mata, saya ternampak angin meniup ke arah orang ramai... saya mengambil kanister (yang dilepaskan polis) dan membalingnya ke arah sebuah padang dengan harapan orang ramai akan selamat.

“Ketika itu (saya baling kanister gas pemedih mata) gambar saya dimanipulasikan. Mana logiknya saya bawa pisau dari Temerloh? Saya terpaksa lalui tiga sekatan jalan (untuk sampai ke ibu negara),” katanya.

Lim juga menyelar tindakan Kementerian Dalam Negeri memanggil tiga editor kanan akhbar berbahasa Cina minggu lalu — dipercayai berhubung liputan media yang didakwa memihak kepada penganjuran himpunan Bersih 2.0.

Lim berkata, apa yang dilaporkan oleh akhbar berbahasa Cina berkenaan adalah benar.

“Tidak seperti New Sunday Times, Berita Minggu dan Mingguan Malaysia yang menggunakan gambar yang diubah suai untuk menimbulkan rasa kebencian masyarakat kepada himpunan 9 Julai itu,” katanya.

Beliau juga bertanya sama ada Kementerian Dalam Negeri akan turut memanggil New Sunday Times dan Berita Minggu kerana menggunakan gambar palsu di muka hadapan akhbar tersebut.

“Adakah semua berita di media cetak memerlukan gambar-gambar yang diubah suai dan laporan yang berat sebelah bagi menjadikan mereka “akhbar pembohong” berbanding akhbar-akhbar lain di bawah pentadbiran program transformasi 1 Malaysia (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Razak)?”soalnya.

Jom Ubah

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template