Thursday, July 21, 2011

Ibu tolak laporan suruhanjaya kata Beng Hock bunuh diri


The Malaysian Insider - Ibu kepada mendiang Teoh Beng Hock, menolak hasil siasatan dan keputusan Suruhanjaya Diraja Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock, bahawa kematian anaknya berpunca daripada bunuh diri.

Suruhanjaya siasatan terdiri daripada lima anggota diketuai oleh seorang hakim Mahkamah Tinggi telah menjalankan prosiding siasatan selama 50 hari dan memanggil 70 saksi.

Teng Huw Hoi, 58, berkata dia tetap yakin bahawa Teoh tidak membunuh diri atas alasan anaknya itu seorang yang baik.

“Saya seorang ibu, saya tidak boleh terima anak saya mati bunuh diri,” katanya dipetik Bernama Online.

Teng yang enggan mengulas lanjut, sebaliknya menyerahkan kepada pihak peguam untuk mengeluarkan kenyataan.

Kata Teng, beliau dan suaminya Teoh Leong Hwee serta anggota keluarga lain akan ke Kuala Lumpur pada petang ini untuk menemui peguam mereka.

Kematian Teoh Beng Hock, pembantu khas seorang anggota Exco kerajaan negeri Selangor dikenal pasti berpunca daripada bunuh diri.

Keputusan mengenai punca kematian Teoh itu terkandung dalam laporan setebal 124 muka surat prosiding Suruhanjaya Diraja Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock yang didedahkan kepada umum pada Khamis.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan.

Sementara itu, Karpal Singh, peguam bagi keluarga Teoh, berkata beliau mempertimbangkan untuk mencabar keputusan suruhanjaya diraja itu di mahkamah.

“Memandangkan keluarga ini tidak menerima keputusan suruhanjaya diraja bahawa anak lelaki mereka membunuh diri, satu daripada pilihan yang mereka ada ialah untuk membawa perkara ini ke mahkamah,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mempertimbangkan untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi mengetepikan keputusan berkenaan.

Jom Ubah

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template