Sunday, July 17, 2011

Hadi: Pusat hiburan operasi macam biasa, Kedah betulkan enakmen era BN


The Malaysian Insider — Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini berkata pusat hiburan di Kedah boleh beroperasi seperti biasa pada bulan Ramadan namun ia terhad kepada orang bukan Islam sahaja.

Jelas Presiden PAS, kekeliruan telah berlaku berhubung perkara itu ekoran media arus perdana yang tidak menyiarkan laporan tepat sehingga membangkitkan rasa kurang senang di kalangan orang bukan Islam.

Ini kerana kata beliau, kerajaan negeri Kedah pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak hanya melaksanakan undang-undang yang digubal oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Bagaimana kata Hadi (gambar), undang -undang itu telah “diperbetulkan” agar hak orang bukan Islam tidak dinafikan dalam pentadbiran negerai Pakatan Rakyat.

Ujar beliau, pusat hiburan di Kedah dibenarkan untuk beroperasi pada bulan Ramada dengan syarat tidak membenarkan orang Islam memasuki premis itu.

“Kita sudah dapat maklum balas daripada pihak pengurusan premis hiburan dan rakan-rakan pemimpin Pakatan Rakyat dan mendapati laporan media yang disiarkan tidak tepat.

“Media BN sengaja gunakan isu ini, jadi PAS ambil jalan menyelesaian iaitu hak orang bukan Islam walaupun diharamkan dalam Islam tapi mereka ada hak dan yang kedua hak orang Islam tidak boleh melakukan maksiat.

“Jadi orang bukan Islam sahaja boleh masuk (pusat hiburan), jangan bagi orang Islam masuk,” katanya pada sidang media di sini sambil menambah tindakan akan diambil ke atas mana-mana pusat hiburan yang membenarkan orang Islam memasuki premis mereka.

Jelas Hadi, berdasarkan keterangan yang diberikan Setiausaha Politik kepada Azizan, Muhammad Sanusi Md Nor dalam mesyuarat jawatankuasa kerja PAS pusat hari ini, pusat hiburan boleh ditarik lesen sekiranya didapati membenarkan orang Islam memasuki premis pada bulan Ramadan.

Sebelum ini Azizan berkata pihaknya memutuskan untuk melaksanakan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 sepenuhnya tahun ini.

Azizan berkata, peraturan dan undang-undang pusat hiburan yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan di Kedah tertakluk kepada Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan yang wujud sejak 1997, dan bukannya satu dasar baru.

Kata beliau, enakmen itu terpakai sejak BN mentadbir Kedah, cuma tidak dikuatkuasakan sepenuhnya sebelum ini.

Tambah Azizan, di bawah enakmen itu, kategori hiburan yang tidak boleh diadakan sepanjang Ramadan ialah pertunjukan pancaragam, persembahan nyanyian di hotel, restoran dan bar, warung kopi, karaoke dan disko.

Hari ini, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, undang-undang BN membenarkan pusat hiburan dibuka namun tidak melarang orang Islam memasuki premis itu.

“BN buka pusat hiburan tapi tak tengok orang Islam masuk atau tidak,” kata sambil menegaskan tidak tunduk kepada desakan mana-mana pihak.

Sementara itu, Sanusi berkata premis-premis pusat hiburan sudah memberi jaminan tidak akan membenarkan orang Islam masuk sepanjang bulan Ramadan.

Tambah beliau, premis pusat hiburan juga secara sukarela bersetuju dengan tindakan yang boleh dikenakan ke atas mereka.

“Operator (pusat hiburan) sudah janji tidak akan benarkan orang Islam masuk dan mereka sedia maklumkan tentang tindakan yang boleh dikenakan.

“Ini adalah hal pentadbiran dan ia tidak ada kena-mengena dengan ahli politik... dan kita serah kepada pihak penguatkuasa untuk memantau,” sambil menambah pihak penguat kuasa yang dimaksudkan adalah polis dan pihak berkuasa tempatan.

Sebelum ini, Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata perkara tersebut akan dibangkitkan pada mesyuarat kepimpinan Pakatan Rakyat minggu depan.

Sementara MCA dan Gerakan membantah langkah itu sejak awal minggu ini.


Jom Ubah

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template