Monday, July 18, 2011

176 doktor Perak desak Putrajaya bebas MP Sg Siput, lima ahli PSM



The Malaysian Insider - Lebih 170 pakar perubatan yang mewakili pertubuhan perubatan Perak mendesak Putrajaya membebaskan Ahli Parlimen Sungai Siput Dr. Michael Jayakumar dan lima anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan di bawah Ordinan Darurat.

Kesemua mereka telah ditahan lebih daripada tiga minggu kerana didakwa cuba memerangi Yang di-Pertuan Agong.

Dalam satu kenyataan yang ditandatangani 176 pakar perubatan, kesemua mereka menyifatkan penahanan keenam-enam individu tidak sah selain mendesak Putrajaya melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) membebaskan mereka dengan segera.

“Kami mengambil berat dan risau akan penahanan Dr Michael Jeyakumar (gambar) yang juga rakan sejawat kami dan kami bimbang kesihatan beliau akan terjejas ekoran penahanan itu.

“Ia satu perkara yang menyedihkan, menyakitkan dan mengecewakan apabila badan kehakiman (yang sepatutnya bebas) menangguhkan tarikh pendengaran permohonan habeas corpus ditangguhkan,” katanya kenyataan itu.

Tambah kenyataan bersama itu, penahanan Jeyakumar dan lima ahli PSM itu tidak sah kerana tiada bukti sahih yang mengaitkan dengan tuduhan yang dikenakan terhadap mereka.

“Malaysia adalah anggota Majlis Hak Asasi Manusia, kerajaan Malaysia seharusnya memberi keadilan selaras dengan kedudukannya dalam majlis ini dengan mengiktiraf hak Michael Jeyakumar dan lima ahli PSM yang ditahan tanpa sah.

“Cara terbaik yang boleh dilakukan adalah berpegang kepada prinsip hak asasi manusia dan tidak melanggarnya.

“Dengan berpegang kepada prinsip ini adalah tidak adil sekiranya penahanan Michael dan lima yang lain dibuat tanpa mendapat pembelaan seadilnya di mahkamah,” katanya.

Minggu lalu, ribuan rakyat Malaysia telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 untuk menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.

Pada perhimpunan itu lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Pakatan Rakyat dan Pemuda Umno ditahan.

Sementara itu, Angkatan Warga Aman Malaysia (Warga Aman) berkata pihaknya menyokong lapan tuntutan Bersih 2.0 yang perlu dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Selain menyokong lapan tuntutan itu, menurut Setiausaha Agungnya Barathidasan Saminathan, pihaknye mengutuk sekeras-kerasnya kegagasan polis yang dilakukan semasa menghuraikan perhimpunan itu.

“Kami mengutuk, kecewa dan kesal dengan tindakan polis dan KDN yang bertindak kejam dengan menggunakan kekerasan terhadap peserta perhimpunan... banyak bukti polis menggunakan kekerasan,” katanya.

Selain itu, beliau juga mendesak agar kesemua individu yang ditahan di bawah Ordinan Darurat dibebaskan selain menuntut keadilan untuk seorang peserta Himpunan Bersih 2.0 yang meninggal dunia semasa perhimpunan itu.


Jom Ubah

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template