Friday, June 24, 2011

Video seks: Trio jahanam hanya kena denda RM 5500


Mengaku Bersalah, Datuk T Hanya Dikenakan Denda RM5,500

Selangorkini -  Ketiga-tiga individu yang menggelarkan diri mereka trio “Datuk T” mengaku bersalah di atas pertuduhan yang dibacakan ke atas mereka terhadap kesalahan menayangkan video lucah dan bersubahat berbuat demikian pada 21 Mac lalu.
Ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas bendahari Perkasa, Shuib Lazim yang didakwa di bawah Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama seksyen 34 mengaku bersalah atas tuduhan menayangkan rakaman video lucah secara terbuka di Carsosa Seri Negara 21 Mac lalu.
Manakala bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dituduh di bawah seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama bagi perbuatan persubahatan.
Rahim juga mengaku bersalah di hadapan hakim Aizatul Akmal Maharani.
Oleh yang demikian Eskay dikenakan hukuman denda RM3,000, Shuib RM1,500 dan Rahim dikenakan denda RM1,000.
Eskay diwakili peguam Zamani Ibrahim, Shuaib diwakili Suhaimi Salleh manakala Abdul Rahim diwakili Datuk Shafee Abdullah.
Fakta kes yang dibacakan antara lain menyebut kejadian berlaku di sebuah pangsapuri di Ampang di mana seorang lelaki mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita warganegara China.
Turut dinyatakan polis telah memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) merakamkan kelibat individu yang didakwa Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir bersama Eskay dan masuk ke pangsapuri.
Selepas fakta kes dibacakan kepada tertuduh, Eskay kemudian menyatakan kepada mahkamah bahawa terdapat pembetulan pada perenggan terakhir.
“Bukan menyerupai, tapi ianya memang Anwar Ibrahim,” ujar beliau dari dalam kandang tertuduh.
Mahkamah kemudian dipertontonkan rakaman video seks berkenaan melalui dua buah televisyen di dalam galeri mahkamah.
Walau bagaimanapun, hakim Aizatul mengarahkan rakaman video tersebut dipercepatkan dan hanya untuk mengesahkan terdapat kejadian seks oleh dua individu seperti yang didakwa.
Peguam Shafee yang mengemukakan rayuan di hadapan hakim berkata, Eskay dan Shuib terpaksa melakukan kesalahan kecil untuk mendedahkan kesalahan moral yang lebih besar oleh Anwar kepada umum.
Oleh yang demikian katanya, kedua-dua individu itu mengambil keputusan untuk menayangkan rakaman video seks tersebut bertujuan menghalang Anwar daripada terus mengejar cita-cita menjadi pemimpin negara Islam yang tidak bermoral.
Katanya tindakan mereka adalah demi kepentingan awam selain menyelamatkan persepsi rakyat daripada terus ditipu oleh perbuatan hipokrit Anwar.
“Saya rasa terkejut sebab saya ingat ini perkara yang baik untuk dilakukan,” katanya.
Antara lain Shafee menyebut perbuatan yang dilakukan tidak melibatkan kepentingan wang selain mereka telah memilih penonton secara berhati-hati.
Malah Shafee bertegas rakaman video itu telah diteliti oleh pakar dari Amerika Syarikat yang menyatakan 99.9 peratus adalah Anwar.
Beliau sebaliknya menuduh Anwar membuat laporan palsu kepada polis pada 22 Mac sehari selepas kejadian.
“Ketiga-tiga mereka ini tidak sepatutnya berada di sini.. tapi Anwar Ibrahim kerana beliau telah buat laporan palsu,” ujarnya lagi.
Sehubungan dengan itu peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kepada tertuduh berikutan faktor umur dan keluarga.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template