Saturday, June 18, 2011

Suruhanjaya Bebas, Audit Perlu Dibentuk Siasat Kewangan Felda

Selangorkini - Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman sekali lagi mendesak sebuah suruhanjaya bebas mahu pun satu audit menyeluruh dilakukan ke atas anak-anak syarikat Felda yang didakwa tidak mengalami sebarang kerugian oleh menteri yang bertanggungjawab.
Menurut Mazlan, berdasarkan laporan tahunan Felda yang ditelitinya, 43 anak syarikat yang berada di bawah Felda tidak mencatat keupayaan konsisten malah ada yang berada dalam keadaan statik, sekaligus bercanggah dengan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan di parlimen semalam.
“Saya daripada awal lagi telah mencadangkan agar satu suruhanjaya bebas atau audit dapat menyemak dan meneliti perjalanan anak-anak syarikat  Felda dan mengemukakan pandangan tentang kedudukan kewangan anak-anak syarikat adakah wujudnya unsur-unsur yang menyebabkan prestasi tidak meyakinkan,” katanya.
Ahmad semalam mengakui bahawa Felda membuat pinjaman RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), namun menegaskan agensi kerajaan itu mengaut keuntungan tinggi dan tidak akan membebankan peneroka.
Malah Ahmad juga menegaskan bahawa tidak ada anak syarikat dalam Felda yang mengalami kerugian.
Hakikatnya, menurut Mazlan, berdasarkan laporan tahunan Felda yang diterimanya, ia tidak menunjukkan data seperti yang didakwa Ahmad.
Justeru katanya, satu siasatan menyeluruh wajar dilakukan untuk menyiasat kedudukan kewangan anak-anak syarikat di bawah agensi kerajaan itu.
“Mengikut maklumat yang saya terima, Global Ventures mengalami masalah. Saya tidak pasti apakah sudut (jawapan) yang diberikan oleh Datuk Ahmad Maslan. Saya sedang meneliti laporan yang saya terima berkaitan Global Venture,” katanya.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mempersoalkan apakah RM6 bilion yang dipinjam oleh Felda adalah untuk kegunaan anak syarikat Felda, Felda Global Ventures untuk melabur dalam syarikat milik asing.
Pelaburan itu, menurut Anwar, menyebabkan Felda menanggung kerugian berkumpul RM500 juta dari tahun 2007 hingga tahun lalu.
” Kenapakah pinjaman yang dibuat itu tidak pernah dibentangkan di Parlimen yang mewakili rakyat Malaysia?
” Siapakah yang mengarahkan KWSP untuk meminjamkan jumlah besar wang tersebut kepada Kumpulan Felda? Kami juga percaya pelaburan luar negara yang dibuat oleh Kumpulan Felda dengan menggunakan wang yang dipinjam daripada KWSP itu semuanya mengalami kerugian.
“Kami percaya bahawa semua pelaburan luar negara yang dibuat oleh Felda Global dengan menggunakan pinjaman wang KWSP itu dalam Felda Iffco Sdn Bhd, Twin Rivers Technologies US, TRT-ETGO Canada, Felda Global Ventures Middle East dan juga Felda Global Ventures Arabia, semuanya mencatatkan kerugian terkumpul daripada tahun 1997 hingga 2010 hampir RM500 juta dan kebodohan pengurusan Felda Global Ventures adalah setara kalaupun tidak lebih besar daripada salah urustadbir Sime Darby,”soal Anwar.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template