Friday, June 17, 2011

Projek mega Terengganu rugikan rakyat

 

- i-SHARP; Korporat Dapat, Rakyat Tanggung Akibat
Buletin Online - Projek-projek mega pertanian, perikanan dan penternakan yang dilaksanakan oleh kerajaan Umno/BN Terengganu tidak menguntungkan rakyat.

Antaranya adalah Projek Taman Akaukultur Udang Bersepadu (i-SHARP) yang dilaksanakan  merangkumi kawasan Kampung Nyatoh dan Kampung Banggol, Permaisuri melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,000 hektar (2,400 ekar).

Bahkan rakyat menanggung akibat dari perlaksanaan projek itu. Kerugian rakyat adalah seperti dibawah;

Rakyat Kehilangan Tanah Pertanian
Seramai 240 penduduk dan peserta RTB Kubang Labi, di Kampuing Banggol Setiu kehilangan 500 ekar tanah. Tanah-tanah tersebut diberikan kepada rakyat untuk membina kehidupan dan masa depan keluarga pada tahun 2002, semasa pemerintahan kerajaan PAS Terengganu.

Pampasan Tanah umpama ‘hampas’

Jumlah pampasan yang dibayar adalah RM5,000 seorang untuk tanah yang diusahakan dan RM3,000 seorang untuk tanah yang tak diusahakan. Ianya tidak ‘berbaloi’ dan umpama ‘hampas’ berbanding dengan tenaga dan wang ringgit yang telah dikeluarkan oleh rakyat yang meneroka dan membangunkan tanah terbabit.

Kemusnahan Habitat Bagi Hidupan Liar

Projek i-SHARP akan ‘menelan’ hutan Gelam Air Tawar adalah habitat bagi spesis kera serta hidupan liar terancam seperti Tapir (Tapirus indicus), Tenggiling (Manis javanica), Kongkang (Nyticebus coucang), Bangau China (Egretta eulophotes dan Burung Botak Kecil (Leptoptilos javanicus). Spesis hidupan liar terancam seperti tuntung juga menerima impak kerana tuntung bergantung kepada kawasan tersebut untuk bertelur.

Pemusnahan Pembiakan Hidupan Laut

Pengaliran sisa buangan) dari projek i-SHARP mengandungi  garam yang tinggi kerana penggunaan air laut sepenuhnya, akan mengubah ekosistem Sungai Chalok dan Sungai Setiu serta Lagun Setiu . Ia akan menjejaskan pembiakan hidupan laut, tempat perlindungan dan asuhan bagi pelbagai hidupan laut seperti ikan, udang, ketam, siput dan kerangan. Tabung Perlindungan Hidupan Liar Dunia (WWF) Malaysia menyatakan kira-kira 60% anak ikan kerapu dan benih tiram untuk ternakan di Malaysia datangnya dari kawasan Setiu terancam.

Air Sungai Menjadi Toksik dan Tercemar

Ubat-ubatan dan baja yang digunakan dalam industri akuakultur mengandungi bahan kimia. Sebahagian daripada bahan kimia ini adalah toksik kepada hidupan laut dan menjurus kepada kemerosotan sumber laut. Selain itu ia akan menyebabkan pencemaran air bawah tanah dan permukaan. Sisa akuakultur yang mengandungi kandungan bahan nutrient, bahan kimia dan ubat-ubatan yang dialirkan ke sungai juga akan menjejaskan kualiti air sungai. Kandungan nutrient daripada najis dan makanan udang yang tidak dimakan menggalakkan pertumbuhan alga (eutrofikasi) yang akan mengurangkan kandungan oksigen di dalam sungai. Kekurangan oksigen di dalam sungai boleh membunuh hidupan di dalamnya.

Penternakan Ikan Penduduk Tempatan Terjejas

Terdapat projek akuakultur dalam sangkar dijalankan penduduk setempat di kawasan hilir Sungai Setiu seperti penduduk Kampung Fikri. Sangkar-sangkar akuakultur milik penduduk tempatan ini akan terjejas akibat dari pengaliran air sisa buangan kolam udang seperti pencemaran bahan kimia, penyebaran penyakit serta peningkatan kadar kemasinan air sungai.

Pantai Penarik Tidak lagi Menarik

Aktiviti pemaju membina prasarana bagi mengepam air laut untuk kegunaan kolam udang telah menjejaskan aktiviti para nelayan dan menghilangkan tarikan pantai Penarik. Hampir satu kilometer sepanjang pesisiran Pantai Penarik yang suatu ketika dahulu adalah kawasan pendaratan bot-bot kecil nelayan pantai kini bertukar menjadi kawasan pembinaan. Paip besar dengan bongkah-bongkah konkrit yang merentang sepanjang hampir satu kilometer sepanjang pantai menafikan hak penduduk untuk menggunakan kawasan pantai yang semenjak turun-turun menjadi laluan mereka turun ke laut mencari rezeki dan mendaratkan hasil tangkapan.

Banjir, Hakisan dan Pemendapan Tanah
Kawasan yang sedang dibangunkan adalah kawasan paya bertanah rendah yang terdedah kepada kesan pasang surut Sungai Chalok dan dilimpahi air ketika musim banjir. Kawasan paya adalah kawasan takungan air. Kerja-kerja tebus guna tanah sedang dilakukan supaya kolam udang berada di aras yang lebih tinggi dari air banjir. Keadaan ini akan menyebabkan aliran air itu beralih ke kawasan yang lebih rendah di sekitar tapak projek dan membanjiri kawasan penempatan penduduk sekitar. Kegiatan pembersihan tanah dan penambakan tanah serta pembinaan infrastruktur i-SHARP telah dan akan menyebabkan berlakunya hakisan dan pemendapan di Sungai Chalok. Hakisan tanah yang disebabkan oleh aktiviti pembukaan tanah ini meningkatkan pengaliran sedimen ke dalam sungai dan menyebabkan pemendapan di dalam sungai sekaligus mengeruhkan Sungai Chalok.

Masalah Sosial

i-SHARP digembar gemburkan akan menjanjikan sebanyak 1,500 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Namun apabila perlaksanaannya kini, kebanyakkannya buruh Indonesia, Bangladesh dan Kemboja.  Ini akan menyebabkan perubahan struktur sosial tempatan dan adalah tidak mustahil akan berlakunya masalah sosial dan kejutan budaya di kawasan setempat.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template