Monday, June 27, 2011

Malaysia (Masih) Negara Darurat!


http://www.buletinonline.net/images/stories/berita49/darurat.gifBuletin Online- pengisytiharan darurat sebelum ini tidak pernah ditarik balik!
Pada 9hb Julai ini akan diadakan satu perhimpunan anjuran BERSIH, sebuah pertubuhan bukan kerajaaan yang antara lainnya menuntut pilihanraya yang adil dan bersih. Pelbagai pihak termasuk PERKASA dan pemuda UMNO turut mengumumkan akan mengadakan perhimpunan  pada tarikh tersebut.

Pihak Polis memberi amaran keras akan mengambil tindakan atas alasan perhimpunan itu mengancam keselamatan Negara.

Beberapa tangkapan juga telah dilakukan oleh pihak polis, walaupun perhimpunan BERSIH belum diadakan.
PERKASA meminta kaum cina supaya tidak keluar rumah dan menyimpan bahan makanan, seolah-olah rusuhan kaum akan berlaku.

Adakan Malaysia Negara kita yang tercinta ini berada dalam keadaan huru-hara? . Tentulah tidak, tetapi tahukah anda bahawa sebenarnya Malaysia adalah sebuah negara Darurat. Sila baca perenggan seterus untuk mengetahui secara lebih lanjut.

Tahukah anda bahawa Malaysia (termasuk dulunya Tanah Melayu) telah di isytiharkan  lima  kali  darurat semuanya.

Kali pertama pada 1948 ketika pemberontakan komunis.

Kali kedua pada 1964 ketika  Konfrantasi Indonesia.

Kali ketiga pada 1966. Di Sarawak sahaja, krisis pemecatan Ketua Menteri Stephen Kalong Ningkan.

Kali Keempat 1969. Krisis 13 Mei.

Akhir sekali pada 1977,Di Kelantan sahaja, untuk menyelesaikan krisis politik.

Kesemua pengisytiran tersebut masih tidak ditarik balik sehingga hari ini.

Perkara 150, Klausa 6 of Perlembagaan Persekutuan membenar  Parlimen untuk meluluskan apa-apa undang-undang dan Yang di-Pertuan Agong untuk menggubal apa-apa ordinan ketika darurat dan undang-undang dan ordinan tersebut akan dikira sah walaupun bertentangan dengan mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dengan kata lain ketika darurat apa sahaja undang-undang yang digubal adalah sah. Peruntukan di Perlembagaan Persekutuan tidak lagi terpakai. Hak-hak rakyat yang lazim tidak lagi wujud.

Pelbagai undang-undang darurat telah digubal  dan digunakan sejak 1969. Undang-undang ini memberikan kuasa yang luas kepada pihak polis dan kerajaan. Contohnya.

1.    Seorang boleh ditahan tanpa bicara dan dibuang daerah di sesuatu tempat tanpa bicara

2.    ORDINAN (KUASA-KUASA PERLU) DARURAT, 1969 (Ordinan 1 dan Ordinan 2) PERATURAN (PELUPUSAN MAYAT DAN INKUES & PENYIASATAN KEMATIAN) KUASA-KUASA PERLU, 1969, sebagai contoh, peraturan 3(b) menyatakan seperti berikut: “Bilamana  Magistret atau Koroner bertanggungjawab mengadakan siasatan kematian atau inkues terhadap mayat yang mana telah diputuskan bahawa mayat  tersebut telah dibunuh dalam operasi bagi tujuan menghalang kekacauan oleh polis atau angkatanm tentera Malaysia atau disebabkan oleh kecederaan akibat kekacauan,  Magistret atau Koroner, dalam kes demikian, tidak perlu mengadakan siasatan kematian atau inkues terhadap mayat berkenaan.” Ini menjadikan pembunuhan oleh polis atau tentera tidak boleh dipersoalkan.

3. Menteri Dalam Negeri boleh mengharamkan apa-apa bahan bercetak  yang dianggap merbahaya kepada kepentingan awam. Juga berhak membuka semua apa-apa bahan yang dihantar secara pos, membaca semua telegram, artikel dan bahan bercetak dan menahan kesemua bahan tersebut dibawah PERATURAN (SURAT KHABAR DAN PENERBITAN LAIN) KUASA-KUASA PERLU, 1969.

4. Di bawah PERATURAN (LARANGAN AKTIVITI BERKAIT PILIHANRAYA) KUASA-KUASA PERLU, 1969, pilihanraya boleh digantung, dimana ketika penggantungan, regulation 2 menyatakan: “Walaupun apa jua yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis, selama mana pilihanraya digantung, semua aktiviti berkait dengan  pilihanraya adalah dilarang.”

5. Di bawah ESCAR, iaitu Emergency and Security Cases Regulation yang antara lain:

• Membenarkan Peguam Negara untuk memilih mana-mana mahkamah yang disukai untuk membicarakan kes-kes keselamatan. Mahkamah boleh bersidang di mana-mana tempat atau negeri tidak semestinya tempat jenayah yang di tuduh berlaku.

• Sekiranya  mahkamah berpuas hati  seorang saksi takut memberikan keterangan, saksi tersebut boleh menberikan keterangan dalam keadaan saksi tersebut tidak boleh dilihat atau didengar  oleh peguam tertuduh.

Di atas adalah contoh kuasa-kuasa melampau yang dimiliki oleh negara ketika darurat. Ianya terdedah kepada salah guna kuasa dan tiada cara untuk menimbanginya. Kuasa ini juga tidak boleh dicabar di Mahkamah.

Satu-satunya alasan kenapa pengisytiharan darurat tidak ditarik balik ialah kerana kerajaan ingin mengekalkan undang-undang yang lapuk dan kejam ini.

Undang-undang ini adalah satu jalan pintas kepada pihak polis. Mereka tidak perlu lagi bersusah payah menyiasat kes, kerana mereka mempunyai kuasa untuk menahan mereka yang di syaki tanpa bicara.

Justeru, pihak polis boleh meletakkan undang-undang di tangan sendiri. Keadaan ini perlu berhenti dengan segera. Malaysia bukanlah sebuah negara polis.

Kewujudan undang-undang darurat ini menjadikan Malaysia dalam liga yang sama dengan Mesir, Syria, Aljeria yang mengekalkan undang-undang darurat bagi kepentingan pemerintah kuku besi.

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita49/fathiaziz1.jpgDalam keadaan Perdana Menteri mempromosikan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang toleran dan progresif, hakikat bahawa dengan berterusannya undang-undang darurat ini telah menunjukkan wajah sebenar parti pemerintah yang mengongkong rakyat dengan tidak mengalakkan wujudnya forum yang sihat, menindas masyarakat sivil, menafi proses semak dan imbang. Seterus menghalang rakyat umum sama-sama mengambil bahagian dalam proses pembinaan negara   Malaysia yang sama-sama kita cintai ini.     

*** Tulisan Fathi Aziz Abu Bakar, (gambar kanan) Seorang peguam yang juga Exco Pemuda Terengganu mewakili Lujnah Guaman dan Undang-undang Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, sebagaimana di hantar melalui e-mel  kepada Buletinonline.net

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template