Thursday, June 2, 2011

Jadilah Pendengar Yang Baik Wahai Para Pemimpin!


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Mendengar adalah sesuatu yang memenatkan, apatah lagi kalau kita tidak berminat dengan apa yang diperkatakan.

Dalam keadaan mengantuk macam mana sekalipun, kita akan menjadi segar apabila bicara yang kita dengar itu mendapat perhatian minda kita.

Bagi orang yang bertanggungjawab pula, dia akan rasa berdosa, kalau tidak mendengar setiap perkataan pengikut atau orang yang sedang dipimpin.

Wanita dikatakan seorang pendengar yang baik. Namun lelaki pemimpin, seharusnya diberi peluang untuk meningkatkan mutu mendengarnya. Meminjam teknik-teknik kaunseling, sangat membantu pemimpin untuk menjadi pendengar yang baik.

Mengatur apa yang difokus oleh pemimpin sangat membantu apa yang perlu didengarinya. Pemimpin yang berserabut dengan lambakan isu di hadapannya, akan lebih memburukan keadaan.

Lambakan isu sudah menjadi lumrah seorang pemimpin. Amat malang kalau pemimpin itu mengangkat tangan mengaku kalah dengan lambakan itu. Pemimpin sebegini, sekali lagi memerlukan bantuan, latihan menyusun isu.

Sekali sekala dia perlu dibantu untuk “switch off” atau “switch on” dan tahu pula “turn the right channel” ketika meneliti apa yang didengar. Apabila dia fokus apa yang dia dengar, kemudian dia pandai memasukkan setiap isu ke dalam bilik atau beg mindanya, mengikut topik, dia telah mula berjaya mengatur.

Pemimpin yang bijak ketika mendengar, dia juga akan mengklaskan apa yang dia dengar itu kepada tiga bahagian:

  1. Apa yang terjadi? Apa yang berlaku? Akhirnya dinamakan semua kejadian itu sebagai sejarah.
  2. Apa perasaan orang yang sedang bercakap? Samada terungkap, tersirat atau tersembunyi. Kebijaksanaan pemimpin meneroka dan mengagak sangat penting. Tetapi tidak sampai ke peringkat menghukum, kerana masih di peringkat mendengar. Memadai memasukkan ke beg-beg minda yang dibinanya sendiri. Dia dapat mengesan, orang yang bercakap dengannya itu sedang marah? sedih? gembira? takut? malu?
  3. Apa pula harapan orang yang sedang bercakap itu? Apa sebenarnya yang dia minta? Kekadang pemimpin tidak dikira “mendengar” kerana gagal memahami apa yang sedang dihajati oleh orang yang sedang berbicara dengannya. Pemimpin yang baik tidak boleh menyalahkan pengikutnya yang gagal menerangkan apa yang dihajati. Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang menyalahkan dirinya kerana gagal memahami apa maksud pengikutnya, walau bicaranya berbolak balik. Kalau tidak dia bukan seorang pemimpin yang baik.

Seni membahagikan apa sahaja yang kita dengar kepada sejarahperasaan danharapan adalah tanda kita akan menjadi pendengar yang baik.

Mari kita lihat kehebatan Nabi Sulaiman sebagai pemimpin yang tajam bila mendengar. Kita tidak mampu menjadi pemimpin seperti baginda a.s. tetapi memadai belajar meniru darinya; adalah satu kejayaan ketika memimpin.

حَتَّىٰ إِذَا أَتَوْا عَلَىٰ وَادِ النَّمْلِ قَالَتْ نَمْلَةٌ يَا أَيُّهَا النَّمْلُ ادْخُلُوا مَسَاكِنَكُمْ لَا يَحْطِمَنَّكُمْ سُلَيْمَانُ وَجُنُودُهُ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ

(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke “Waadin-Naml”, berkatalah seekor semut: “Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari”. Ayat 18 surah 27 an-Naml

Kehebatan mendengar itu adalah salah satu simbolik kepada kehebatan pemimpin seperti Nabi Sulaiman a.s.

Walau sedang sibuk memimpin bala tenteranya dalam satu operasi besar;  tentera udara yang terdiri dari pelbagai burung, tentera daratnya yang terdiri dari pelbagai manusia dan tentera ghaibnya yang terdiri dari para pelbagai jin, kehebatan itu tidak membuat baginda alpa mendengar aduan rakyatnya yang sekecil semut.

Wakil Rakyat semut, hanya mampu mengurus semut-semutnya. Selamatkanlah diri masing-masing. Pemimpin yang besar dan gagah barangkali tidak perasan boleh mencederakan pengikutnya  tanpa disedari.

Pemimpin kena sedar, tidak sekadar tubuhnya malah bicaranya, arahannya, penguatkuasaannya dan “auranya” boleh mencedera dan membinasakan pengikutnya. Pemimpin yang bertaqwa seperti Nabi Sulaiman a.s pun boleh mencederakan rakyat tanpa disedari, mengikut tanggapan sang semut, bagaimana pula pemimpin yang belum cukup taqwanya?

Bagaimana pula dengan pemimpin yang memang sengaja menzalimi rakyatnya. Mengambil segala kesempatan dari apa yang ada di bawahnya. Membunuh? Rasuah? Fitnah? Sudah tentu mereka tidak berminat langsung untuk mendengar dari rakyat mereka.

فَتَبَسَّمَ ضَاحِكًا مِّن قَوْلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:” Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmatMu – dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh”.
Ayat 19 surah 27 an-Naml

Tersenyum kegembiraan seorang pemimpin kerana sayang kepada rakyatnya. Tersenyum seorang pemimpin kerana walau berkuasa, mampu mendengar keluhan rakyatnya. Tersenyum seorang pemimpin kerana bersyukur kepada Allah, tidak lupa batas kuasanya.

Tersenyum dan terbahak ketawa seorang ketua mungkin  kerana berjaya merasuah, menipu dan memutarbelitkan berita. Terbahak ketawa mungkin  kerana puas dengan pembazirannya. Terbahak mungkin kerana berjaya memperbodohkan rakyatnya.

Pemimpin yang bertaqwa yang sentiasa mendengar keluhan dan aduan pengikutnya akan sentiasa berdoa:

  • Mohon berterusan pandai bersyukur atas segala kurniaan Allah ketika memimpin itu
  • Tidak lupa nikmat yang Allah berikan untuk keturunan sebelum ini
  • Kekal iltizam dan istiqamah dengan pelbagai amal-amal solih yang diredhai Allah
  • Merayu kekal dengan jemaah Islam, bersama hamba-hamba Allah dalam jaringan mata rantai yang luas

Kenapa pemimpin boleh dan sanggup menjadi pendengar yang baik? Ini kerana doa sebegini menjadi permainan hariannya.

Fikiran dan hatinya mendesak untuk dia mendengar dengan baik dan mendengar dengan betul. Menyusun apa yang didengar dan menyusun apa tindakan yang sepatutnya.

Moga Allah mengampunkan, memberi hidayah dan memberkati kepada setiap yang bernama pemimpin. Moga Allah mengganti dan menurunkan pemimpin yang menolak hidayahNya.

حـسـن الـديـن  مـحـمـد  يـونـس
Ahli Dewan Perwakilan Nasional Pertubuhan IKRAM Malaysia
AJK Perhubungan Antarabangsa IKRAM
Ahli Darussyifa’

“UKHUWAH TERAS KEGEMILANGAN”
“IKRAM WADAH PERJUANGAN”

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template