Tuesday, June 21, 2011

BN takut, guna SPR untuk halang Perhimpunan Bersih


Keadilandaily - Pelawaan Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) untuk bertemu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), adalah usaha terakhir Umno BN menghalang perhimpunan yang dianjurkan NGO itu, 9 Julai depan.
Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata,  BN bimbang dengan perhimpunan tersebut, yang dijangka mengumpulkan ratusan ribu rakyat untuk turun ke jalan bagi menuntut reformasi sistem pilihan raya.
“BN kini sudah takut dan gentar sehingga menggunakan SPR untuk membatalkan perhimpunan tersebut walhal Bersih tidak dihasut mana mana pihak sebaliknya ia sememangnya keinginan rakyat sendiri (Untuk menuntut pilihan raya bebas),” katanya.
Semalam, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mempelawa gabungan itu untuk berbincang mengenai pembaharuan yang ingin dilaksanakan, dengan syarat NGO itu membatalkan perhimpunan yang ingin dianjurkan.
Bagaimana pun, Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, ia sudah terlambat untuk mengadakan pertemuan kerana SPR dan kerajaan sebelum ini tidak pernah mengendahkan semua tuntutan mereka.
Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu berkata, tindakan SPR itu juga jelas menunjukkan suruhanjaya itu tidak bebas dan mempunyai pemikiran yang mewakili pendirian politik pemerintah.
“SPR tidak mempunyai hak untuk menyuruh kami membatalkan perhimpunan ini dan mereka tidak perlulah memainkan peranan politik” tegasnya ketika dihubungi oleh Keadilandaily.com
Tegas Tian Chua, Perhimpunan Bersih adalah bertujuan untuk menyedarkan SPR dan BN agar memenuhi semua tuntutan bagi mengadakan pilihan raya yang telus dan adil, menjelang PRU-13.
“Dengan itu mereka perlulah menjalankan tugas mereka dengan adil dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik,” tambah beliau.
Bersih 2.0 akan mengadakan perhimpunan aman pada 9 Julai depan, menuntut 8 perkara dan meminta campurtangan Yang Di Pertuan Agung bagi reformasi sistem pilihan raya.
Ia adalah membersihkan senarai pengundi, reformasi undi pos, pengunaan dakwat kekal, tempoh kempen minimum 21 hari, akses media yang bebas dan adil, memperkukuhkan institusi awam, menghapuskan rasuah dan menghentikan politik kotor.
Himpunan Bersih yang pertama kali diadakan pada November 2007, menyaksikan kebangkitan rakyat secara besar-besaran- menjadi antara faktor lima negeri tumbang kepada Pakatan Rakyat pada PRU 8 Mac 2008.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template